20,000 pek Munif Cocoa habis dijual - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

20,000 pek Munif Cocoa habis dijual

MEMULAKAN perniagaan dengan menjual produk wangian pada 2010, Munif Hijjaz Marketing Sdn Bhd (Munif Hijjaz), mengorak selangkah lagi dengan memberi tumpuan kepada segmen makanan.

Pengarah Urusan Munif Hijjaz, Abdul Malek Manap berkata, pihaknya menyedari produk makanan mempunyai permintaan tinggi dan akan sentiasa bertambah apabila pelanggan mula menggemarinya.

“Kewujudan kedai-kedai yang membantu menjual produk halal Muslim dan Bumiputera seperti halal mart turut memudahkan memasarkan produk keluaran kami.

“Kerana itulah, Munif Hijjaz mengambil peluang pada pertengahan April lalu melancarkan minuman berasaskan coklat malt yang dikenali sebagai Munif Cocoa,” katanya ketika ditemui di Alam Damai, Kuala Lumpur.

Abdul Malek berkata, Munif Cocoa merupakan minuman alternatif coklat malt yang berbeza daripada produk sama di pasaran kerana ia mengandungi Arabic Gum yang baik untuk usus.

“Arabic Gum merupakan sejenis getah daripada pokok berasal dari Sudan dan mengandungi probiotik iaitu nutrisi yang diperlukan oleh bakteria baik untuk usus,” katanya.

Menurutnya, hampir dua tahun masa diambil untuk mengeluarkan minuman coklat malt tersebut supaya dapat memberi rasa yang sedap kepada pelanggan.

Dari segi sambutan orang ramai selepas hampir tiga bulan berada di pasaran tempatan, Munif Cocoa menerima sambutan luar biasa.

“Masa mula-mula produk dilancarkan di pasaran kami hanya sediakan 20,000 bungkus pek Munif Cocoa seberat satu kilogram setiap pek dan apa yang memeranjatkan dalam masa dua bulan ia habis dijual.

“Ini menunjukkan pengguna di luar mula menggemari Munif Cocoa dan saya menjangkakan dengan pengiklanan produk di radio dan akhbar akan merancakkan lagi jualan dan permintaan,” katanya.

Untuk tempoh tujuh bulan akan datang, Munif Hijjaz turut menyasarkan RM1 juta kutipan jualan bagi produk baharu mereka Munif Cocoa.

0 Komentar untuk " 20,000 pek Munif Cocoa habis dijual "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ