KPPM mencarta kejayaan masa depan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

KPPM mencarta kejayaan masa depan

SATU perlima penduduk negara ini bersamaan 50 peratus penduduk dewasa adalah ahli koperasi, yang menyumbang kira-kira 10 peratus Keluaran Negara Kasar.

Dari segi aset, kira-kira 11,000 koperasi yang berdaftar di Malaysia dianggarkan memiliki lebih RM100 bilion. Gerakan koperasi di Malaysia, yang bermula sejak 1922, telah memberi sumbangan cukup besar kepada perkembangan ekonomi dan pembangunan negara.

Ini mendorong Koperasi Pembangunan Pondok Malaysia (KPPM) yang baharu ditubuh dan didaftarkan tiga bulan lalu, untuk turut memainkan peranan dan menyumbang kepada kemajuan gerakan koperasi.

Sebagai langkah pertama, KPPM telah menghantar kesemua anggota Lembaga Pengarah untuk mengikuti kursus wajib di Maktab Koperasi Malaysia (MKM) di Petaling Jaya bagi memperluas dan mempertajam pengetahuan mereka mengenai pentadbiran dan pengurusan koperasi, selain mendalami undang-undang berkaitan.

Turut dihantar mengikuti kursus di MKM adalah beberapa pengurus dan juru audit dalaman bagi meningkatkan keupayaan dan kemahiran mengendalikan koperasi.

Kepimpinan yang berkebolehan, berintegriti dan berwawasan adalah antara faktor utama bagi menjamin kejayaan sesebuah koperasi.

Pengurusan yang kompeten dan berkesan sangat penting memastikan sesebuah koperasi berjalan lancar dan memenuhi aspirasi ahli. Kajian menunjukkan semua koperasi berjaya mempunyai kepimpinan dan pengurusan yang mampu mengatasi cabaran dan masalah secara berkesan serta melaksanakan strategi yang dirancang.

Tanpa pengecualian, semuanya memiliki Ahli Lembaga Koperasi (ALK) berpengetahuan dan berpengalaman, staf pengurusan yang baik dan cekap, mampu berkomunikasi dengan ahli secara berkesan dan meyakinkan, serta melaksanakan latihan dan program pendidikan secara konsisten.

Oleh kerana undang-undang koperasi menentukan bahawa 30 peratus ALK perlu digugurkan setiap kali diadakan Mesyuarat Agung Tahunan untuk membuka laluan kepada pelantikan baharu, maka adalah penting memastikan ALK yang mengambil alih juga berpengetahuan, berkebolehan, berintegriti dan memiliki daya kepimpinan.

Ini akan memberi kestabilan kepada koperasi dan keyakinan kepada ahli. Sudah tentu kepercayaan dan sokongan kuat ahli sangatlah penting bagi memastikan semua aktiviti perniagaan dan perkhidmatan yang dijalankan koperasi didokong sepenuhnya.

(Kajian Sushila Devi Rajaratnam, Nurizah Noordin, Mohd Shahrom Anuar Said, Rafedah Juhar dan Farahaini Mohd Hanif dalam “Success Factors of Cooperatives in Malaysia: An Explanatory Investigation”, Malaysian Journal of Cooperatives Studies, Jilid 6, 2010).

Dalam sejarah koperasi di Malaysia, banyak yang menjadi contoh. Paling menonjol ialah Bank Rakyat, yang dapat memberi dividen sehingga lebih 20 peratus kepada ahli selain merupakan penyumbang terbesar kepada tabung pembangunan dan pendidikan, termasuk lebih RM40 juta setiap tahun kepada MKM.

Kejayaan National Land Finance Cooperative Society (NLFCS), Koperasi Serbaguna Makmur (Kosma) Berhad, Koperasi Adik Beradik Kg Pulau Rusa Kuala Terengganu Bhd (Kodika) dan Koperasi Pelancongan Mukim Batu Puteri Kinabatangan Berhad (Kopel) Homestay Miso Walai menjadi tauladan kepada banyak koperasi baharu.

Juga membanggakan ialah Koperasi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), yang diurus oleh para pelajar tapi sudah memiliki perniagaan dobi, rumah inap dan resort peranginan.

Barangkali yang paling mengujakan ialah Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad. Bermula pada 1963, koperasi ini ditubuhkan untuk menjaga kebajikan penduduk beberapa buah kampung daripada diusir. Bertahun-tahun ahli koperasi yang kebanyakannya nelayan, petani, penternak, penanam sayur dan buruh memperjuang nasib mereka.  

Akhirnya, dengan bantuan kerajaan Pusat dan negeri, mereka berjaya kumpul lebih RM2 juta untuk beli tanah yang mereka diami. Nasib koperasi dan ahli cukup baik. Pembukaan kawasan perindustrian dan pembangunan bandar yang membabitkan tanah milik koperasi membawa keuntungan yang sangat besar.

Pada tahun 1984, koperasi ini membuat kejutan kepada gerakan koperasi apabila mengumumkan rumah percuma kepada ahli. Dengar berita, koperasi ini sedang merancang untuk memberi percuma rumah untuk kali kedua kepada semua ahlinya.

Walaupun masih baharu, ini tidak menghalang KPPM untuk mengharapkan kejayaan seperti yang dicapai koperasi lain. ALK harus mampu membuktikan kebolehan, sanggup bekerja kuat, sentiasa mengikuti perkembangan dan keperluan semasa, serta fokus kepada matlamat.

Mesti dipastikan juga pengurusan dan staf KPPM mempunyai komitmen dan kaliber bersesuaian, serta mampu mengatasi masalah melalui saluran komunikasi yang berkesan. Pokok pangkal kejayaan dan kelestarian KPPM terletak di tangan semua ahli. Sokongan mereka mestilah kuat, padu dan berterusan.

Semangat bekerjasama dan berkoperasi mesti sentiasa hidup dan bernyala.

* Datuk Dr Mashitah Ibrahim Pengerusi Eksekutif Yayapan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM)

0 Komentar untuk " KPPM mencarta kejayaan masa depan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ