Cina Muslim perlu bangkit - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Cina Muslim perlu bangkit

MACMA adalah sebuah NGO Cina Muslim yang terbesar di Malaysia. Macma Pusat akan menghadapi pilihan raya AGM pada 12 hingga 15 Jun ini.

Kita lihat bagaimana parti-parti politik Melayu Muslim menghadapi krisis dalaman. Sebut sahaja Melayu Muslim, saudara-saudara Cina Muslim akan tabik terkenang jasa terbesar taiko-taiko Melayu Muslim yang telah bersungguh-sungguh menyampaikan Islam kepada mereka, menunjukkan kepada mereka jalan yang lurus menuju al-Haq.

Bagi Cina Muslim yang memeluk Islam kerana cintakan kebenaran, sudah tentu akan rasa sedih, keliru, kecewa dengan krisis yang melanda Melayu Muslim.

Cina Muslim melihat Melayu Muslim kini yang makin terhakis jiwa Melayu dan jiwa Muslim. Pemimpin politik tidak berani bersoal jawab dengan rakyat.

Ulama politik pula makin menggadaikan maruah agama demi menjaga status quo. Ini bukan taiko-taiko Melayu Muslim yang Cina Muslim kenal dan tabik selama ini.

Ini adalah mualaf Melayu!

Berdasarkan latar belakang ini, Macma memerlukan kepimpinan yang tidak lagi menganggap peranannya hanya sekadar mualaf, kelas kedua Muslim yang hanya sekadar mendramatiskan segmen: Mengapa Saya Peluk Islam!

Dalam pilihan raya Macma pusat kali ini, Cina Muslim perlu bangkit sebagai khairu ummah ukhrijat lin-Naas iaitu umat terbaik yang diutuskan untuk masyarakat global.

Kelemahan taiko-taiko Melayu telah menghasilkan perspektif Islam yang sangat negatif iaitu Islam adalah agama monokultural, agama yang tidak mampu menyatukan rakyat multikultural, agama yang tidak mampu mendidik umatnya menjadi 'global citizen' iaitu rakyat dunia yang mempunyai mindset global.

Islam yang dibawa sekarang adalah Islam yang terlalu sempit iaitu memenangkan satu kasta atau monokultural sahaja, bukan untuk menegakkan Islam sebagai rahmat kemanusiaan sejagat.

Berpegang pada mesej Surah al-‘Asr, Cina Muslim perlu bersifat bokia (tidak takut) iaitu berani, dan jujur menegur, bukan untuk menghina, tetapi demi untuk membangunkan kembali semangat ‘ketuanan yang bertolak ansur’ dalam taiko-taiko Melayu Muslim tanpa taksub pada mana-mana parti politik.

Pada masa sama, Macma perlu bokia (tidak takut), iaitu mencungkil keberanian melangkah keluar dari zon mualaf. Selepas lima tahun peluk Islam, label mualaf patut diganti dengan muhajir.

Kita lihat bagaimana tokoh-tokoh seperti Lim Jooi Soon yang begitu tegas perjuangannya sehingga beberapa jabatan agama sudah pun menerima seseorang yang memeluk Islam tanpa menukar nama ayah kepada Bin/Binti Abdullah. Adalah satu penghinaan menyamakan seorang muhajir Cina kepada status anak haram yang juga bin/binti Abdullah.

Kita lihat seorang lagi tokoh Cina Muslim, iaitu Dr Yamin Cheng yang diiktiraf kepakarannya sehingga beliau mengajar perbandingan agama di universiti Amerika dan UIA.

Kita lihat bagaimana Sharin Low sebagai ahli perniagaan yang berjaya membina rangkaian-rangkaian perniagaan yang mampu menaja aktiviti-aktiviti dakwah.

Dan juga kita lihat bagaimana Macma Ipoh di bawah kepimpinan Dr Fadzli Cheah dan Ustaz Hafiz Ng berjaya pada hampir setiap program menarik beratus-ratus Cina bukan Muslim untuk mendengar taklimat tentang salah faham terhadap Islam dan menjadi liputan semua mass media Cina arus perdana.

Baru-baru ini Prof Taufiq Yap yang telah pun diiktiraf sebagai saintis kimia dunia oleh IUPAC, sekarang diberi anugerah pula sebagai Fellow Akademi Sains Malaysia. Prof Taufiq Yap mampu memimpin untuk membina umat yang bermindset global kerana beliau sendiri adalah saintis dunia.

Perwakilan-perwakilan Macma seluruh Malaysia perlu memikirkan secara serius dan memilih kepimpinan Macma Pusat yang bersifat bokia, iaitu tidak takut untuk keluar dari zon kelas kedua sebagai mualaf atau bin Abdullah, berani melangkah ke depan sebagai ‘global citizen’ yang bakal mengubah landskap pemikiran dakwah, memperkasakan maruah Islam sebagai agama global dan membawa wacana yang lebih realistik dalam masyarakat multikultural.

Saya ingin melihat kelahiran ulama-ulama Cina Malaysia satu hari nanti yang fasih bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin dan Arab dan mampu menjadi duta Islam di pentas dunia. Bangsa Cina yang bersifat kiasu sudah pun menguasai dunia. Bila lagi Cina Muslim yang bersifat bokia?

* Abdul Naser Tun Rahman tokoh pendakwah Perak

0 Komentar untuk " Cina Muslim perlu bangkit "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ