Kisah tirai besi: Saya ingin hapus air mata ibu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kisah tirai besi: Saya ingin hapus air mata ibu

LIMA tahun meringkuk di Penjara Kajang sudah cukup mengajar Zafirul (bukan nama sebenar) erti sebenar sebuah pengorbanan keluarga.

Setiap kali Aidilfitri menjelang, hatinya tersentuh hebat. Matanya pasti bergenang panas teringat keriuhan keluarga di pagi raya.

Zafirul, 20, mengakui hampir lupa suasana menyambut Syawal di rumah. Tempoh hukuman penjara yang dilalui agak lama menyebabkan dia benar-benar lupa makna sebenar Aidilfitri yang disambut meriah oleh masyarakat Islam di seluruh dunia.

Apa yang kekal di ingatan hanyalah air mata ibu yang ingin dihapus apabila dia keluar dari penjara nanti.

“Bila saya dengar takbir raya di sini (penjara), hati saya tersentuh. Saya menangis teringatkan rumah. Saya menangis bila teringatkan air mata kecewa emak akibat perbuatan saya. Teringatkan suara emak, ayah dan adik.

“Saya rindu dengan leteran emak yang memaksa saya mandi dan memakai baju raya sebelum solat sunat raya. Saya rindu dengan biskut dan kuih raya di atas meja makan di rumah.

“Beraya di sini amat berbeza suasananya dengan luar sana (luar penjara). Selepas solat sunat raya, aktiviti kami berjalan seperti biasa. Tidak ada kunjung mengunjungi sesama sahabat dan jiran, tidak ada suasana bermaaf-maafan sesama sanak saudara. Saya rindu semua itu,” katanya kepada penulis.

Ditanya hubungannya bersama ibu dan ayah serta adik lelakinya yang kini menginjak umur 16 tahun, Zafirul berkata, kesemua keluarganya masih menyokong dan melawatnya di penjara.

Katanya lagi, keluarganya masih melawatnya di penjara setiap bulan.

“Kadang-kadang terpamer wajah kecewa ayah. Menatap mata ayah buat saya bungkam. Saya hilang kata-kata. Bila emak menangis, saya pujuk emak, saya pujuk ayah dengan kata-kata.

“Saya minta mereka tawakal dan yakin pada Dia. Percayalah, pasti akan ada kemaafan olehNYA,” katanya lagi.

Zafirul merupakan Tahanan Limpah Sultan yang di penjara atas kesalahan merompak dan membunuh pada lima tahun lalu.

Pada usianya 16 tahun, Zafirul yang berasal dari Utara dikatakan telah merompak dan membunuh salah seorang pekerja kedai perjudian di negeri tersebut.

Hakim mahkamah menetapkan hukuman penjara ke atasnya dan dia hanya akan dibebaskan di atas pengampunan  Sultan.

Manakala sepupunya yang turut terlibat kini berhadapan dengan hukuman gantung.

“Kalau emak saya baca kisah saya ini, saya nak emak tahu bahawa saya benar-benar berubah. Saya akan jaga emak dan ayah. Saya sudah janji dengan diri sendiri, saya sudah janji dengan ALLAH.

“Saya bertawakal kepada ALLAH dan yakin peluang akan diberi kepada saya. Satu hari nanti bila saya sudah boleh keluar, saya akan buktikan kepada emak dan ayah bahawa saya benar-benar berubah,” katanya dengan senyuman.

0 Komentar untuk " Kisah tirai besi: Saya ingin hapus air mata ibu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ