ETS: Teruja naik bullet train Malaysia - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

ETS: Teruja naik bullet train Malaysia

AKHIR-akhir ini ramai yang teruja dengan perkembangan kereta api elektrik baharu dari KL Sentral ke Padang Besar.

ETS atau Perkhidmatan Tren Elektrik telah dilakukan perjalanan percubaan oleh pengendalinya, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di beberapa laluan berkembar sejak enam bulan lalu.

Ada yang cakap seperti ‘bullet train’ di Jepun, ada yang cakap seperti perkhidmatan komuter seperti sedia ada sejak lebih sepuluh tahun lalu.

Bagi mendapatkan gambaran sebenar, Sinar Online merasai sendiri perjalanan dari KL Sentral ke Perlis pada 11 Julai lalu; sehari selepas perjalanannya diumumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Untuk permulaan, perkhidmatan itu dilakukan sebanyak dua kali sehari iaitu perjalanan sehala dari Kuala Lumpur-Padang Besar dan dari Padang Besar-Kuala Lumpur.

Katanya, tren yang mempunyai enam gerabak ini boleh memuatkan 312 penumpang dalam satu-satu masa, selain turut berhenti dan mengambil penumpang di semua stesen utama termasuk Ipoh dan Butterworth.

Pengalaman yang mengujakan

Itu yang dapat digambarkan sepanjang lima jam 15 minit perjalanan dari KL Sentral ke Arau.

Sejak awal Jun lalu, penulis telah menanam hasrat untuk menjadi kumpulan awal merasai pengalaman perjalanan pulang ke kampung dengan menggunakan ETS.

Dek kerana terlalu teruja, penulis sanggup memilih untuk merasai sendiri pengalaman menggunakan kenderaan awam baharu ini sedangkan ketika itu tiket penerbangan penulis telah dibeli sebulan lalu bagi penerbangan pagi keesokannya.

Rasa ingin berkongsi dengan pembaca membuatkan penulis tidak berfikir panjang dan mengambil perjalanan pada 9.30 pagi dari KL Sentral dan tiba di Arau pada jam 2.41 petang.

Bermula dengan perkhidmatan Komuter dari Stesen Shah Alam pada jam 7.38 pagi, sebaik tiba di KL Sentral, penulis bergegas ke kaunter tiket bagi mendapatkan tiket ETS dengan harga RM76 sehala ke Arau.

Layanan mesra dengan senyuman kakitangan KTMB memudahkan penulis berinteraksi dengan mereka dan bertanya keperluan bagi seseorang menaiki ETS.

Ketika itu, tiket masih berbaki melebihi 200 mengikut paparan skrin komputernya di kaunter.

Perjalanan panjang

Mungkin kerana tidak terlalu ramai penumpang, suasana menjadi tenang membuatkan perjalanan panjang tidak begitu terasa.

Menaiki kereta api bukan sesuatu yang asing bagi penulis.

Sebelum ini, pernah menaiki Ekspress Senandung Langkawi dari KL Sentral ke Padang Besar atau Padang Besar ke KL Sentral yang mengambil masa melebihi 10 jam perjalanan sehala.

Pengalaman menggunakan perkhidmatan ETS memberikan suatu kelainan buat penulis.

Dalam perjalanan, mata terpandang skrin yang disediakan setiap hujung koc yang menayangkan beberapa filem bagi mengelakkan penumpang berasa bosan.

Pada bahagian atas sebelah kirinya terdapat paparan kelajuan ETS antara 130 km/h ke 140 km/h sepanjang masa.

Berhenti 12 destinasi

Menurut salah seorang kakitangan KTMB yang mengendalikan tiket sepanjang perjalanan, dalam perjalanan itu, sebanyak 12 destinasi ditetapkan untuk berhenti menurun dan mengambil penumpang.

“Ia lebih kurang daripada perkhidmatan antara bandar sebagaimana Ekspress Senandung Langkawi,” katanya.

Lebih menarik perkhidmatan ETS juga menyediakan tandas yang cukup selesa kepada penumpangnya sepanjang perjalanan ke mana-mana destinasi.

Selain itu, keadaan kerusinya juga cukup kemas sebagaimana penerbangan tambang murah, bagi penulis ia jauh lebih baik kerana jarak antara kerusi agak jauh dan mampu memberi keselesaan kepada penumpang.

Penumpang gembira

Bagi Mohd Ikbal Mohd Sharif, 31, berkata, perjalanannya amat berbaloi dan menjimatkan masa.

“Kalau saya memandu masa perjalanan lebih kurang sama, tetapi dengan ETS saya dapat berehat malahan dapat merancang kerja.

“Saya boleh berfikir urusan pejabat yang ditinggalkan ketika pemandu,” katanya yang juga seorang usahawan.

Katanya, setakat ini, dia amat berpuas hati dengan mutu perkhidmatan yang ditawarkan KTMB kepada pengguna.

Sementera itu, Anis Suraya, 26, berkata, sebagai pelajar, dia berasa selesa dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh ETS.

“Saya dapat merasai sesuatu pengalaman yang baharu apabila menggunakan perkhidmatan ini.

“Saya rasa ETS akan menjadi pilihan saya sepanjang tempoh pengajian saya di Universiti Putra Malaysia nanti,” katanya.

0 Komentar untuk " ETS: Teruja naik bullet train Malaysia "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ