Kereta antik jana pendapatan lumayan buat pesara - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kereta antik jana pendapatan lumayan buat pesara



KUALA LUMPUR: Memiliki 'hobi mewah' seperti mengumpul dan membaik pulih kereta antik sering dilihat sebagai pembaziran namun bagi seorang pesara guru, ia adalah sumber pendapatan yang sangat lumayan. Shukri Ali, 69, berkata sejak bersara pada 2001, beliau menumpukan sepenuh perhatian kepada hobi membaik pulih kereta-kereta antik yang dibeli daripada pelbagai pihak. Beliau berkata, walaupun terpaksa mengeluarkan modal besar untuk proses membaik pulih itu, beliau cukup berpuas hati kerana sering mendapat tawaran lumayan daripada peminat tegar kereta antik. "Saya meminati kereta jenis Volkswagen dan semua koleksi saya adalah daripada jenama itu. Buat masa ini hanya tinggal tiga van dan empat kereta kerana dah banyak yang saya baik pulih dan jual," katanya. Walaupun kos baik pulih sebuah kenderaan mencecah RM30,000 hingga RM40,000, Shukri berkata beliau masih boleh memperoleh keuntungan yang sangat tinggi. Shukri berkata, kereta pertama yang dimilikinya adalah jenis VW Beetle 1002 yang dibelinya sekitar 1970-an, setelah bergelar guru.

"Kereta itu kemudiaannya saya jual setelah mendapat tawaran lumayan daripada peminat kereta antik dan dari situ saya sedar tak rugi memiliki kereta antik kerana harganya semakin meningkat," katanya. Beliau berkata, kerja baik pulih kereta antik dilakukannya sendiri di bengkel yang terletak di rumahnya dengan bantuan serta nasihat peminat-peminat Volkswagen di seluruh dunia. "Saya menyertai kelab Volkswagen Alor Setar, selain mengikuti perkembangan di laman-laman web luar negara bagi mendapatkan nasihat mengenai cara membaiki kereta dan selain itu, ilmu membaik pulih juga saya peroleh bersumberkan buku," kata lelaki itu yang berasal dari Kampung Kepala Bukit, Tobiar, Kedah. Katanya, untuk mendapatkan alat-alat ganti, kadang kala beliau terpaksa menempah sehingga ke luar negara seperti Thailand, Amerika Syarikat dan United Kingdom kerana tidak semuanya boleh diperoleh di negara ini.

Bagaimanapun, Shukri berkata walaupun mengambil masa agak lama, setiap alat ganti yang diinginkan pasti akan dimiliki. "Saya melakukan semua kerja baik pulih sehingga kepada proses mengecat dan ia sangat mengujakan kerana selain mengisi masa lapang, ia dapat memenuhi minat dan saya rasa puas," katanya. Sementara itu, katanya walaupun beliau hanya mempunyai kesempatan untuk menumpukan kepada hobi mewahnya itu selepas bersara, beliau tidak pernah rasa terlewat, malah berasa lebih bebas untuk menyertai pelbagai aktiviti seperti berkonvoi. Menurut Shukri, kereta antik yang dikumpulnya bukan sahaja dijual malah turut digunakan ketika menjalankan aktiviti harian selain bersiar dan berkonvoi bersama rakan-rakan kelabnya. "Kami sering berkonvoi sama ada dalam negara atau ke luar negara seperti Thailand," katanya. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/69062
0 Komentar untuk " Kereta antik jana pendapatan lumayan buat pesara "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ