Jom sertai #MalaysiaNgaji - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jom sertai #MalaysiaNgaji

DUA hari lagi, lusa @ Sabtu 11 Julai 2015 @ 24 Ramadan 1436H, luangkan masa sejam, dari 12 tengah hari hingga 1 petang. Jom ramai-ramai kita membaca al-Quran, serentak di seluruh negara.

#MalaysiaNgaji dilancarkan pertama kali tahun ini pada tarikh dan waktu berkenaan, dan akan diulangi setiap tahun pada hari ke-24 al-Mubarak, bulan bermula turunnya ayat-ayat ALLAH.

Ini adalah kempen anjuran bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Unit Penerbitan al-Quran Karya Bestari, dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). Tujuannya: untuk mengajak ummah menghayati kitab suci.

Sebelum ini ramai pernah turut serta dalam kempen matikan elektrik selama sejam, seluruh dunia. Pernah terlibat dalam kempen Hari Tanpa Rokok, Hari Tanpa Gula, dan sebagainya. Kali ini kita sama-sama sertai gerakan membaca al-Quran serentak.

Memang tanpa kempen seperti ini pun ramai antara kita telah membiasakan diri membaca ayat-ayat suci dari semasa ke semasa. Malah, semakin ramai yang kini dapat menghafal seluruh kandungan al-Quran.

Cuma sebagai tambahan kepada bacaan yang telah dilakukan selama ini kita mahu selama sejam tengah hari Sabtu ini kita ajak anak-beranak, tok wan, tok ki, saudara-mara, teman sekerja, jiran, siapa sahaja untuk membaca ayat-ayat suci.

Beribu-ribu orang dari lebih 800 Rumah Ngaji WUI yang diaktifkan seluruh negara melalui kerjasama dengan agensi kerajaan, syarikat korporat, pusat pengajian persendirian, masjid, hospital, penjara, sekolah dan universiti, akan menyertai kempen ini.

Tetapi sekiranya tiada Rumah Ngaji di kawasan anda, boleh juga anda menyertai kempen berpahala ini. Tidak kira siapa, di mana juga, dalam 60 minit itu bukalah kitab suci, dan ramai-ramai membacanya.

Tidak ada bayaran, juga tidak ada paksaan. Semua dilakukan dengan kesedaran, kerelaan dan keinsafan. Sekiranya anda petani, habiskan waktu rehat selama sejam dengan mengaji al-Quran.

Pemandu teksi, nelayan, penjawat awam, anggota korporat, peniaga di pasar borong, penjaja di bazar Ramadan, pendek kata siapa sahaja disyorkan turut serta.

Hatta sekiranya anda sedang membeli-belah hari raya pun berehatlah untuk sejam itu dan baca al-Quran, sama ada di tempat solat di pusat-pusat membeli-belah atau di mana sahaja ruang yang sesuai.

Bayangkan sekiranya setiap orang – tidak kira di taman awam, stesen keretapi, pondok menunggu bas, lapangan terbang, ruang menunggu mana-mana pejabat, dan sebagainya – serentak membaca ayat-ayat suci, pasti orang lain akan sedar bertapa hebatnya Islam.

Sekiranya setiap orang Islam di negara ini menghabiskan sejam itu, serentak ramai-ramai membaca al-Quran, pasti rakan-rakan kita yang bukan Islam akan membuka mata, kagum melihat kesatuan dan kesepakatan pengikut Nabi Muhammad SAW.

Tetapi, matlamat sebenar kempen sejam ini bukan untuk mengagumkan orang bukan Islam, jauh sekali untuk menunjuk-nunjuk. Natijah kempen murni ini adalah untuk kita membangkitkan kesedaran, dan menjadikan ngaji al-Quran sebagai budaya ummah.

Semua telah mengetahui kitab suci terakhir itu adalah panduan paling lengkap untuk kehidupan. Setiap huruf, perkataan dan rangkaian-rangkaian ayat melengkapi apa sahaja keperluan manusia dan seluruh alam. Apa yang terkandung di dalamnya relevan setiap masa.

Tetapi, tanda-tanda jelas bahawa kita semakin menjauhkan diri dari al-Quran. Malah menyedihkan apabila dikatakan sebahagian orang Islam di tempat kita tidak mengenal huruf-huruf ALLAH, dan tidak tahu membaca kitab suci.

Rumah Ngaji WUI boleh membantu mereka mendekati al-Quran, termasuk yang tidak mengenal ‘alif’, ‘ba’, ‘ta’. Memang menjadi matlamat Rumah Ngaji untuk mengajar orang membaca al-Quran. Hubungi 03 5101 3789.

Setelah mengenal huruf, mulakan membaca. Sudah boleh membaca, fahamkan ertinya dalam bahasa Melayu. Setelah faham, hayati ertinya, dan yang lebih penting amalkan dalam kehidupan setiap saat.

Setiap ayat ALLAH, adalah petunjuk. Menghayati dan mengamalkannya menjamin kita tidak akan tersilap jalan. Sekiranya setiap orang kembali kepada al-Quran, negara dan bangsa pasti aman.

Maka mulakan langkah pertama menerusi #MalaysiaNgaji Sabtu ini, dan setiap hari selepas itu terus membaca – malah kalau boleh menghafal – lirik-lirik ALLAH. Jangan leka dengan hanya mengingati lirik-lirik lagu pujaan.

Masa sudah tiba untuk seluruh umat Islam di negara ini kembali kepada asas dengan menghafal, menghayati dan mengamalkan lirik-lirik ALLAH. Yakinlah tiada yang lebih besar dan lebih bermakna selain lirik-lirik dari langit.

0 Komentar untuk " Jom sertai #MalaysiaNgaji "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ