Industri koko terus berkembang - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Industri koko terus berkembang

“INDUSTRI koko di negara ini masih lagi relevan dan akan terus berkembang dengan permintaan yang semakin meningkat, demikian jawapan Ketua Pengarah, Lembaga Koko Malaysia (LKM), Datuk Dr Lee Choon Hui.

Beliau berkata, perkembangan industri koko negara masa ini boleh dianggap baik dan positif daripada beberapa sudut dengan perubahan ketara berbanding satu masa dahulu.

“Jika dahulu sekitar 1980-an, Malaysia merupakan pengeluar bahan mentah biji koko, tetapi kini negara kita antara negara pengisar koko utama di Asia dan turut mengeksport produk berasaskan koko.

“Pada peringkat hiliran pula, selain pengukuhan pengisaran koko, tumpuan turut diberikan dalam meningkatkan pengeluaran produk berasaskan koko agar Malaysia menjadi pengeluar produk utama coklat di Asia,” katanya.

Choon Hui berkata, setiap tahun Malaysia perlu mengisar 360,000 tan biji koko bagi memenuhi permintaan pasaran, tetapi malangnya buat masa ini negara hanya mampu mengisar antara 250,000 hingga 300,000 tan biji koko sahaja.

“Pada 2013, kita mengisar sebanyak 285,608 tan biji koko berbanding 244,423 pada tahun sebelumnya disebabkan  faktor seperti kekurangan permintaan dunia dan  pertumbuhan ekonomi dunia yang menurun.

“Untuk tahun ini LKM menjangkakan pengisaran biji koko negara akan meningkat kepada 290,000 dengan keadaan pasaran dijangka baik berbanding tahun lalu,” katanya.

210 usahawan coklat hujung 2015

Menurut Choon Hui, program pembangunan keusahawanan di bawah LKM terus bertambah di mana permintaan untuk mengikuti Kursus Pembuatan Coklat anjuran LKM terus meningkat pada tahun lalu.

“Kami menerima lebih 400 permohonan penyertaan bagi individu yang berminat untuk mengikuti kursus tersebut pada 2014 berbanding 380 pada 2013.

“Permintaan untuk menyertai program pembangunan usahawan coklat juga amat menggalakkan, di mana pada 2014 seramai 185 usahawan pembuat coklat telah berdaftar dengan LKM berbanding 160 pada 2013,” katanya.

Katanya, usahawan pembuat coklat yang berdaftar tersebut berjaya mengeluarkan 191,222 kilogram coklat dengan hasil jualan RM12 juta pada tahun sama.

“Kami di LKM turut menjangkakan seramai 25 lagi usahawan akan berdaftar bagi menyertai program pembangunan usahawan coklat sehingga hujung 2015 dan menjadikan jumlah usahawan pembuat coklat berdaftar dan aktif di bawah LKM seramai 210 usahawan.

“Peningkatan jumlah dan permintaan ini adalah kerana rakyat Malaysia telah sedar coklat merupakan satu makanan atau hidangan yang boleh dibuat sendiri dengan mudah dan dijadikan sebagai perniagaan sampingan menjana pendapatan isi rumah,” katanya.

Perkembangan dan pembangunan usahawan pembuat coklat terutamanya coklat buatan tangan di luar bandar juga boleh dipertingkatkan dengan adanya kreativiti menghasilkan cita rasa coklat yang unik di setiap kawasan.

“Misalnya coklat 'Spicy' dari Serian, Sarawak yang memberikan rasa pedas,” katanya.

17,827 hektar tanaman koko

Ditanya mengenai keluasan penanaman koko di negara ini, Choon Hui berkata, sehingga kini keluasan kawasan tanaman koko adalah berjumlah 17,827 hektar dengan 7,500 daripadanya masih lagi muda dan belum mengeluarkan buah.

“Perkembangan industri koko sekarang memang diakui baik dan positif dari sudut pengisaran, tetapi dari segi penanaman dan pengeluaran biji koko kering kita masih kekurangan.

"Saya akui persaingan guna tanah untuk tanaman lain seperti kelapa sawit merupakan faktor koko terjejas, di mana sehingga 2012 keluasan hanya tinggal 11,748 hektar, kerana ramai petani beralih menanam kelapa sawit,” katanya.

Katanya, peningkatan keluasan tanaman koko sebanyak 7,500 hektar antara 2012 hingga 2015 adalah hasil daripada inisiatif kerajaan  dalam merancakkan kembali industri koko.

“Oleh itu, LKM berharap melalui Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), kerajaan akan mengekalkan tanaman baharu tidak kurang dari 1,000 hektar setahun dan akan menjadikan jumlah keluasan tanaman sebanyak 22,827 hektar pada 2020.

“Antara kawasan yang LKM kenalpasti bagi penambahan tanaman baharu tersebut adalah di Sabah, Sarawak dan Semenanjung dengan nisbah 9:9:2,” katanya.

Choon Hui turut berkongsi mengenai eksport koko negara, di mana beliau melihat peningkatan eksport dalam tempoh lima tahun kebelakangan dan yakin negara mampu mencapai RM4.8 bilion perolehan eksport koko tahun ini.

0 Komentar untuk " Industri koko terus berkembang "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ