Sakura Malaysia sasar Eropah, Dubai - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Sakura Malaysia sasar Eropah, Dubai

PENGELUAR beg tangan bermotifkan batik dan tekat, Sakura Malaysia Sdn Bhd (Sakura Malaysia) menyasarkan Eropah dan Dubai untuk mengembangkan perniagaannya pada tahun hadapan. 

Pengarah jenamanya, Suraya Sharifuddin berkata, pemilihan itu dilihat kerana ada permintaan tinggi dari negara tersebut dan optimis produknya boleh berada dalam pasaran kedua-dua negara berkenaan.

Menurutnya, penyertaan Sakura Malaysia pada pameran perdagangan London, United Kingdom pada tahun lalu membuka ruang untuk Sakura Malaysia menembusi pasaran negara luar.

“Ketika kami sertai pameran perdagangan ini, ramai yang bertanyakan mengenai produk tekat sebab kami hasilkan beg tangan tekat warisan dari Perak.

“Mereka begitu berminat dengan produk ini. Jadi kita akan lihat semula bagaimana untuk menembusi pasaran Eropah dan Dubai tahun depan,” katanya yang menubuhkan Sakura Malaysia pada 2011.

Suraya berkata, pada tahun ini, syarikat itu akan memberi tumpuan untuk mewujudkan kesedaran umum terhadap beg tangan Sakura Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Kesedaran jenama amat penting bagi membolehkan sasaran pelanggan mengenali produk dan kualiti barangan yang dihasilkan.

“Berdasarkan kajian saya, untuk tempoh dua tahun pertama, pelanggan tidak akan beli sangat produk, sebaliknya mereka mahu lihat dulu jenama yang kita bawa dan kualiti produk. Selepas itu, barulah produk kita diterima baik,” katanya.

Suraya berkata, Sakura Malaysia juga berhasrat untuk meluaskan kilangnya bagi menambah kapasiti pengeluaran beg tangan.

“Sebelum ini, kami tidak memandang sangat jumlah jualan memandangkan kami ada mengambil kontrak pengilangan untuk buat beg tangan jenama lain termasuk dari Singapura.

“Bagaimanapun, sejak April lalu, kami sudah membuat pengeluaran secara besar-besaran untuk beg tangan jenama kami sendiri. Setakat April hingga Mei lalu, sebanyak 2,000 beg tangan telah terjual,” katanya.

Pada tahun hadapan, syarikat itu menyasarkan untuk membuka lima cawangan atau menjalin kerjasama dengan rakan peruncitan bagi meluaskan platform penjualan beg tangan Sakura Malaysia.

“Ketika ini, produk kami dijual di 11 cawangan termasuk secara atas talian (online) antaranya di butik kami di Kota Damansara, Petaling Jaya dan platform membeli-belah online, Fashion Valley.

“Kami juga berhasrat untuk menyertai program francais pada 2016 untuk meluaskan pasaran di seluruh Malaysia terutama Sabah dan Sarawak,” katanya. 

Sehingga kini, Sakura Malaysia mempunyai sembilan asas rekaan beg tangan.

0 Komentar untuk " Sakura Malaysia sasar Eropah, Dubai "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ