Hari raya tepati konsep ibadah, bukan bawa padah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hari raya tepati konsep ibadah, bukan bawa padah


SUASANA hari raya di negara ini masih meriah dengan aktiviti Aidilfitri seperti rumah terbuka dan menziarahi sanak-saudara serta sahabat handai. Walaupun hakikatnya Aidilfitri disambut sehari sahaja, namun budaya masyarakat Islam di Malaysia meraikannya selama sebulan. Ungkapan 'Selamat Hari Raya' meniti di bibir sebagai mengucapkan selamat. Adalah lebih baik andai kalimah diajarkan Nabi Muhammad SAW iaitu 'Taqabbalallahu minna wa minkum' yang bermaksud semoga Allah menerima amalan dan ibadah kita pada Ramadan menjadi ucapan semua kita. Tiada masalah untuk menggunakan apa juga kalimah, asalkan ia mempunyai maksud yang sama. Namun, lebih baik kita mengamalkan apa yang termaktub dalam sunah Rasulullah SAW. Itulah saranan Ustaz Pahrol Mohd Juoi ketika berkongsi ilmu menerusi program Islam Itu Indah.

Budaya bersendikan syariat 

Beliau memetik pepatah Minangkabau yang terkenal ada menyatakan, "Adat basandi syarak, syarak basandi Kitabullah". Katanya, budaya bersendikan syariat dan Islam adalah lebih wajar diutamakan, bukannya bersandarkan adat semata. Selamat Hari Raya menggambarkan sebuah harapan dan doa. Sesungguhnya setiap yang diingini oleh fitrah manusia, pasti Islam ada jawapannya. Perkataan Islam berasal daripada bahasa Arab iaitu 'salima' bererti selamat sentosa atau kedamaian. Daripada perkataan 'salima' itu dibentuk perkataan 'aslama' yang bermaksud memelihara dalam keadaan selamat sentosa. Ia juga memberi erti menyerah diri, tunduk patuh dan taat. Oleh itu, Islam adalah selamat dan menyelamatkan. Adakah hari raya yang disambut benar-benar sejahtera, jelas mendamaikan dan betul-betul selamat di dunia juga akhirat. Selamat di dunia bermaksud terhindar daripada malapetaka yang menimpa fizikal, material dan emosi. Tenang dan senang berhari raya, terhindar daripada kesedihan, berserabut serta perasaan marah. Wujud kebaikan, terhindar daripada keburukan dan kemudaratan terhadap agama, nyawa, jiwa, akal, keturunan dan harta. Satu lagi dimensi selamat bagi orang beriman adalah selamat pada kehidupan selepas mati yang hakiki dan abadi. Selamat ini merangkumi selamat daripada kemurkaan Allah SWT, mendapat keredaan dan pengampunan seterusnya selamat daripada seksaan neraka. Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka." (Surah at-Tahrim, ayat 6) Menepati suruhan Allah SWT menerusi firman-Nya: "Dan antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan pada akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka." (Surah al-Baqarah, ayat 201)

Hari raya sangat berkait rapat dengan ibadah kerana ia perayaan yang berteraskan agama. Apabila hari raya dikira ibadah, ia akan membabitkan ketaatan mahupun kederhakaan kepada Allah SWT. Berlaku pertimbangan antara pahala dan dosa. Justeru, terdapat syarat serta konsep yang perlu dipatuhi supaya hari raya menepati konsep ibadah bukannya membawa padah. Dari sudut fitrah, sememangnya hari raya ingin disambut dan dirai dengan gembira serta meriah. Diungkapkan oleh Anas: "Adalah mereka (penduduk Madinah) memiliki dua hari raya, hari di mana bermain dan bergembira, sampai Rasulullah SAW hijrah ke Madinah. Rasulullah SAW bertanya: Apakah tujuan dan erti dua hari ini? Mereka menjawab: Pada zaman jahiliah dulu kami bermain pada dua hari raya ini. Rasulullah SAW berkata: Sesungguhnya Allah SWT telah mengganti dua hari itu dengan hari raya yang lebih baik, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (Riwayat Nasa'i dan Ibnu Hibban) Islam tidak menghalang umatnya bergembira meraikan hari raya, tetapi bergembira itu perlu dalam acuan ibadah yang dianjurkan oleh Islam. Utamakan niat yang ikhlas kerana Allah SWT mengikut didikan serta sunah Rasulullah SAW.

Laksana perintah Tuhan 

Teras kepada kegembiraan umat Islam adalah dapat melaksanakan perintah Allah SWT menerusi puasa sebagai hadiah daripada Allah SWT. Perlu gembira walau dalam keadaan tiada apa kerana itulah yang diajar dalam Islam. Oleh itu, ketika hari raya digalakkan bertakbir yang terkandung tasbih, tahmid, takbir dan tahlil. Ia takbir keceriaan, kemenangan dan kemegahan kerana beragama. Ia mendidik diri untuk membesarkan Allah SWT. Pada hari raya memperbanyakkan syukur menerusi tahmid. Syukur dengan nikmat Allah SWT dan gunakan nikmat itu untuk melaksanakan ketaatan. Dalam bersyukur dengan nikmat hari raya usah terlupa untuk solat dan ibadah lain kerana itu juga tanda syukur. Akhir sekali, ada tahlil dalam takbir raya yang mengajar manusia tiada cinta selain daripada cinta Allah SWT. Semua itu perlu terangkum dalam sambutan hari raya supaya ia menjadi ibadah. Penulis ialah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/71182
0 Komentar untuk " Hari raya tepati konsep ibadah, bukan bawa padah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ