Pilih pemimpin berkelayakan, pastikan hidup rakyat terjaga - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pilih pemimpin berkelayakan, pastikan hidup rakyat terjaga



STRUKTUR pemerintahan kerajaan di Malaysia dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan. Kerajaan Persekutuan akan di terajui oleh Perdana Menteri bersama barisan menteri Kabinet. Kerajaan negeri akan diketuai Menteri Besar atau Ketua Menteri bersama barisan exconya, manakala kerajaan tempatan dipimpin Datuk Bandar atau Yang Dipertua bersama barisan Ahli Majlis mereka. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama bagi Kerajaan Persekutuan, kuasa yang dinyatakan dalam Undang-undang Tubuh Negeri pula asas kuasa pemerintahan pada peringkat negeri. Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) adalah undang-undang utama yang wajib dipatuhi dan diguna pakai oleh sesebuah kerajaan tempatan. Sejarah penggubalan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) bermula pada 1957 apabila Suruhanjaya Reid (pihak yang menggubal Perlembagaan Persekutuan Malaysia) berpendapat kerajaan tempatan perlu diletakkan di bawah pentadbiran kerajaan negeri. Pada tahun 1963, satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan dan pada tahun 1973 telah mengesyorkan kepada kerajaan Persekutuan satu Akta Khas untuk kerajaan tempatan bagi memastikan kerajaan tempatan mendapat kuasa mentadbir, menggubal undang-undang kecil, mengurus kewangan dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat turus dalam pentadbiran kawasan masing-masing.

Diiktiraf sebagai 'Badan Berkanun' 

Akta itu mendapat perkenan kelulusan oleh Yang Di-Pertuan Agong di Parlimen pada 18 Mac 1976. Maka bermula pada tarikh itu kerajaan tempatan di Malaysia diiktiraf sebagai sebuah 'Badan Berkanun' yang boleh disaman dan menyaman seperti satu badan korporat. Apa yang perlu diambil perhatian ialah kerajaan tempatan adalah kerajaan paling hampir kepada rakyat kerana bidang kuasanya meliputi kehidupan seharian masyarakat seperti kebersihan, keindahan, pengurusan sisa pepejal, perancangan pembangunan bandar dan kampung. Pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya dan lalu lintas, lesen perniagaan, permit kerja tanah, keselamatan struktur rumah serta bangunan antara tanggungjawab kerajaan tempatan dalam memastikan kehidupan rakyat terus dijaga melalui tadbir urus yang betul. Kerajaan tempatan dibahagikan kepada tiga komponen iaitu pentadbiran dan kewangan; perundangan, penguatkuasaan dan kawal selia serta pembuat dasar kerajaan tempatan. Mengikut Seksyen 10 Akta 171, segala lantikan jawatan seperti Datuk Bandar/ Yang Dipertua dan Ahli Majlis akan ditentukan oleh pihak kerajaan negeri dan tempoh jawatan itu tidak lebih daripada tiga tahun sahaja. Mengikut Seksyen 10(2) Akta 171, memberi tanggungjawab kepada kerajaan negeri memilih Ahli Majlis berdasarkan, "Pengalaman luas dalam bidang kerajaan tempatan, atau mempunyai pencapaian terbaik dalam profesion, perdagangan atau industri atau yang mampu mewakili rakyat dan komuniti dalam kawasan pentadbiran kerajaan tempatan itu." Seksyen 10 Akta 171 itu selaras dengan apa yang dituntut dalam agama Islam seperti dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman yang bermaksud: "Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil, sesungguhnya Allah dengan (suruhannya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya terhadap kamu, sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat." (Surah an-Nisa', ayat 58)

Lantikan Ahli Majlis adil 

Kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar atau Ketua Menteri wajib menilai dan memastikan pelantikan semua Ahli Majlis dilakukan dengan adil selaras peruntukan Seksyen 10 Akta 171 yang bersesuaian dengan firman Allah SWT itu. Adalah satu dosa dan tidak amanah bagi ketua pemimpin yang cuai melantik pemimpinnya yang tidak sesuai serta bertanggungjawab. Arahan Allah SWT itu merujuk kepada pemilihan seseorang hendaklah berdasarkan kelayakan atau kepakaranmenguruskan tugas diamanahkan. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling baik untuk kamu ambil sebagai pekerja ialah yang kuat (kemampuannya) lagi amanah." (Surah al-Qisas, ayat 26) Konsep keadilan di Malaysia membabitkan keputusan kerajaan tempatan ini boleh dirujuk di Mahkamah Tinggi yang dikenali sebagai 'Semakan Kehakiman'. Persoalannya sekarang, adakah rakyat mempunyai kuasa untuk membuat bantahan jika yang di lantik sebagai Ahli Majlis itu tidak berkelayakan dan tidak amanah. Penulis ialah Naib Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/71184
0 Komentar untuk " Pilih pemimpin berkelayakan, pastikan hidup rakyat terjaga "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ