Berdakwah menerusi Pelayaran Islamik - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Berdakwah menerusi Pelayaran Islamik

WALAUPUN dihina dan dikutuk, ia sedikitpun tidak melemahkan semangatnya sebaliknya Pengarah Urusan IntraTama Travel Consultant & Tours Sdn Bhd (IntraTama), Suhaimi Abd Ghafer nekad untuk membuktikan konsep dakwah itu luas dan tidak terhad kepada ceramah di masjid atau surau sahaja. Bermula dengan program Kembara Ustaz Kazim Elias (Kembara UKE) yang kini ditukar kepada Pelayaran Islamik, konsep penganjuran program agama di atas kapal mewah sudah boleh diterima dan mendapat sambutan daripada mereka yang ingin menikmati pelayaran sambil menuntut ilmu. Memasuki siri keenam baru-baru ini, peluang belayar membelah lautan luas dengan kapal mewah Star Cruise Libra bersama assatizah jemputan, peserta bukan sahaja dapat mengikuti sesi majlis ilmu malah turut menyumbang kepada golongan yang memerlukan. Cantik sekali atur cara yang dirancang penganjur iaitu mengajak peserta menunaikan ibadah di atas kapal untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dan menjalinkan silaturahim dengan saudara Islam di dua destinasi dituju iaitu Phuket serta Krabi di Thailand. Bagaimana tercetusnya idea itu, dengan rendah diri Suhaimi memberitahu idea itu milik Allah SWT dan beliau hanya memikul amanah untuk menterjemahkannya dalam bentuk program dakwah sebagai alternatif kepada program sedia ada dianjurkan selama ini. "Awalnya saya dihina dan dikutuk kerana kapal ini ada kasino serta menghidangkan arak. Namun bagi saya ia adalah satu kejayaan apabila rumah milik bukan Islam disamak serta dibersihkan untuk memenuhi keperluan umat Islam. "Kita berjaya berdakwah kepada syarikat pengurusan untuk menyamak kapal mengikut tuntutan hukum Islam, membina surau sementara di atas kapal untuk menunaikan solat, menghentikan jualan arak sepanjang program dijalankan. "Malah, kita juga mampu meminta kapal yang sedang belayar dikemudikan ke arah kiblat. Bukan mudah kerana ia memerlukan persetujuan pihak maritim dua negara tetapi berkat kesungguhan serta pertolongan Allah SWT, semua itu dapat dilakukan," katanya. Oleh itu, beliau tidak perlu terkesan dengan kritikan atau cemuhan pihak lain kerana niatnya adalah untuk berdakwah dan caranya ialah menerusi percutian Perlayaran Islamik yang menawarkan pakej belayar sambil menuntut ilmu. Program pelayaran bersama Ustaz Kazim Elias (Kembara UKE) yang pertama dianjurkan pada 24 hingga 27 Ogos 2014 membabitkan 760 peserta, diikuti UKE 2.0 pada 25 hingga 28 Januari 2015 bersama 1045 peserta. Kemudian ditukar kepada Pelayaran Islam 3.0 (1 hingga 4 Februari), Pelayaran Islamik 4.0 (8 hingga 11 Mac), Pelayaran Islamik 5.0 (3 hingga 6 Mei) dan terkini ialah Pelayaran Islamik 6.0 yang dianjurkan pada 7 hingga 10 Jun lalu. Menurut Suhaimi, asalnya beliau dijemput untuk memberi idea bagaimana untuk mempromosikan pelayaran kapal mewah untuk orang Islam kerana Star Cruise Libra mendapat pengesahan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Melihat kepada impak dakwah menggunakan kemudahan yang ada itu, IntraTama mengambil inisiatif menganjurkan program berkonsepkan keagamaan dan pihak pengurusan kapal menyambut baik cadangan itu serta bersedia memenuhi keperluan ditetapkan. Walaupun sudah memasuki siri keenam, beliau mengakui masih ada penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi memastikan kelancaran perjalanan program dan peserta berpuas hati dengan pengisian sepanjang empat hari tiga malam mereka mengikuti Pelayaran Islamik. "Bagaimanapun, manfaat ilmu menjadi keutamaan dalam program ini dan sebab itu saya terpaksa menolak cadangan untuk memasukkan acara membeli belah kerana untuk pelayaran membeli belah mereka boleh ikut pakej lain. "Harga yang ditawarkan tidak tinggi malah kita mengambil sedikit daripada bayaran dikenakan itu untuk disumbangkan kepada sekolah tahfiz, rumah anak yatim dan masjid atas nama Pelayaran Islamik. Sambil belayar, belajar, peserta turut menyumbang kepada pihak memerlukan," katanya. Katanya, pihaknya berurusan dengan Majlis Agama Islam tempatan untuk mendapatkan nasihat mereka seperti pihak berkuasa agama di Phuket dan Krabi yang menjadi destinasi pelayaran kapal mewah berkenaan. Sebelum menubuhkan IntraTama, Suhaimi yang berasal dari Selangor pernah bekerja di Bank Islam sebelum berhenti pada 1996 untuk membuka syarikat menjual kereta terpakai. Namun perniagaan itu tidak berjaya, maka beliau beralih menjadi perunding untuk syarikat jualan langsung. Pernah bekerja di agensi pelancongan serta menjadi penyelia resort, beliau menggunakan pengalaman yang ada untuk menubuhkan IntraTama pada 2003 yang menawarkan khidmat penganjuran serta program korporat. Mengenang liku-liku kehidupan dilalui, beliau bersyukur kerana mendapat kasih sayang Allah SWT yang memudahkan urusan penganjuran Pelayaran Islamik yang turut mendapat sokongan anak, isteri, keluarga serta kakitangan IntraTama yang komited. "Allah beri rahmat untuk saya menjadi insan yang lebih baik, oleh itu saya perlu istiqamah. Ini bukan idea saya, ia datang daripada Allah SWT dan saya diamanahkan untuk merealisasikannya. Saya buat untuk mendapatkan keredaan Allah SWT, jadi niat kena betul. "Saya tidak tinggi agama tetapi itu tidak bermakna saya tidak boleh menjadi pendakwah. Kita buat apa yang kita pakar dan menggunakan kreativiti yang berbeza. Syurga milik Allah dan Allah pilih hamba-Nya yang bertakwa. Saya pikul amanah ini untuk mencari keredaan Allah," katanya. Berurusan dengan peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan warga emas, memang tidak dinafikan memerlukan kesabaran serta daya tahan yang tinggi. Justeru, Suhaimi sentiasa mengingatkan krew pelayaran supaya melayan peserta seperti ibu bapa sendiri. Bercerita lanjut mengenai perancangan akan datang, Suhami memberitahu sedang mengusahakan program pelayaran yang seratus peratus Islamik menggunakan kapal yang benar-benar patuh syariah. Andai semua berjalan seperti dirancang, usaha itu dijangka bakal dilaksanakan pada tahun 2016. Beliau turut mensasarkan untuk menganjurkan pelayaran kapal mewah ke Makkah bagi menunaikan umrah dan kursus diadakan di atas kapal.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/66048
0 Komentar untuk " Berdakwah menerusi Pelayaran Islamik "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ