Generasi muda perlukan bimbingan untuk terus melayari kehidupan berpaksikan kepada kehendak agama. Namun, kaedah biasa seperti bimbingan melalui komunikasi bersemuka atau menghadiri kelas khusus di sekolah, institusi latihan dan masjid mungkin kurang berkesan. Biasanya generasi muda yang menyertai kelas seumpama itu agak terhad. Mereka berasa tidak selesa atau tidak berkesempatan untuk menghadirinya. Tambahan, situasi biasa orang muda tidak suka kepada sesuatu yang diadakan secara formal kerana sukar untuk memberi komitmen dan pengurusan masa. Jadi, cara alternatif perlu disediakan untuk menjadi medan bagi remaja mendapatkan sesuatu yang bermanfaat untuk dijadikan panduan hidup. Umum ketahui, landasan paling sesuai untuk berkomunikasi dan mendekati generasi muda ialah di internet dan laman sosial. Anjakan paradigma usaha dakwah secara maya membolehkan dakwah itu sampai kepada semua golongan di mana sahaja mereka berada. Ini bersesuaian dengan hobi generasi muda yang lebih banyak menghabiskan masa di laman sosial. Justeru, kita perlu memanfaatkan sepenuhnya internet untuk melakukan dakwah secara tidak langsung. Dakwah maya lebih terbuka dan tidak mensyaratkan seorang pendakwah mahir dalam komunikasi, sebaliknya yang lebih utama ialah ilmu yang disampaikan. Sabda Rasulullah SAW: "Sampaikan daripadaku walaupun hanya satu ayat." (Riwayat Ahmad, Bukhari dan Tirmizi) Namun, tidak semua boleh menjadi pendakwah khususnya dalam menyampaikan ilmu agama. Orang yang berdakwah mestilah mempunyai ilmu mengenai apa yang disampaikan. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Inilah jalanku (agama), aku dan orangyang mengikutku mengajak (kamu) kepada Allah SWT dengan hujah yang nyata (ilmu). Maha Suci Allah dan aku tidak termasuk orang yang musyrik." (Surah Yusuf, ayat 108) Penyebaran ilmu atau maklumat yang tidak tepat akan merosakkan niat murni untuk berdakwah. Namun, ia tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk sesiapa ingin berdakwah di internet. Banyak usaha yang boleh dilakukan untuk melaksanakan tugas itu. Bagi mereka yang tidak mendalami ilmu agama, sudah memadai dia melakukan tugas dakwah di internet dengan cara menyalin atau membuat pautan ke laman tertentu yang disediakan oleh mereka yang alim atau arif mengenainya. Ia membolehkan bahan tersebar lebih meluas. Jika ia dimuatkan di laman sosial seperti Facebook, individu dalam rangkaian sahabat dapat berkongsi sama maklumat itu. Kaedah 'salin dan tampal' memang mudah dilakukan. Medium kongsi maklumat Usaha itu biarpun nampak mudah, tetapi kesannya amat besar kerana internet sudah menjadi medium utama perkongsian maklumat masa kini. Boleh dikatakan semua golongan muda mendapat capaian internet sama ada menggunakan komputer, telefon pintar atau gajet lain. Menyediakan bahan untuk disebarkan itu perlu kepada penyertaan golongan berilmu dalam kalangan ustaz, pegawai agama, guru, pensyarah dan mereka yang terbabit secara langsung dalam ilmu agama. Bahan yang disediakan itu dapat dikongsikan oleh orang lain. Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa menyeru manusia kepada sesuatu kebaikan, dia akan beroleh pahala sebanyak pahala orang yang mengikutnya dan berkekalan selagi orang itu terus melakukan perkara kebaikan itu." (Riwayat Muslim) Agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan agama perlu memainkan peranan utama untuk menyediakan bahan dakwah di internet. Mereka mempunyai pakar dan tenaga terlatih untuk mengendalikan laman web masing-masing secara lebih menarik dan bermanfaat. Agensi agama mempunyai autoriti dalam bidang agama boleh mengetengahkan isu dan persoalan ummah kontemporari. Sebarang permasalahan semasa dijawab dengan cepat dan mudah. Pelayar laman itu lebih yakin dan menerima kandungan yang dimuatkan. Selain dalam bentuk tulisan dan gambar, internet juga boleh berkongsi audio video. Pengunjung dapat merasakan seperti menghadiri majlis ilmu. Banyak pendakwah kini memuatkan video ceramah dalam laman maya seperti Youtube. Dakwah melalui internet sangat berkesan. Tugasan dakwahnya dijalankan selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun. Maklumat di internet menjadi perpustakaan terbesar di dunia. Pengunjungnya boleh keluar masuk pelbagai laman tanpa batasan. Menariknya keistimewaan berdakwah melalui internet ialah halangan bahasa tidak begitu ketara kerana pencari maklumat mudah untuk mengalih bahasa atau terjemahan melalui aplikasi yang disediakan. Keistimewaan ini mesti direbut dan digunakan oleh pendakwah semaksimum mungkin. Jika kemudahan ini tidak digunakan sepenuhnya, pengunjung internet akan lebih tertumpu kepada laman tidak berfaedah. Manfaat laman web Jika lebih banyak laman web menyediaka bahan berfaedah kepada remaja, tidak sukar untuk mereka mencari rujukan apabila diperlukan. Dengan ilmu diperoleh melalui internet diharapkan dapat menambah jati diri dan kesedaran dalam soal beragama golongan muda. Generasi muda perlu diperkasakan dengan kefahaman agama kerana mereka adalah modal insan untuk ejen pembangunan negara pada masa hadapan. Sesiapa sahaja di antara kita yang berkebolehan berinteraksi di alam maya, jangan lepaskan peluang untuk menjadi pendakwah. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat menasihati dengan kebenaran dan kesabaran." (Surah al-Asr, ayat 1-3) Dakwah perlu disampaikan pada masa, tempat dan sasaran yang tepat supaya berjaya.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/67660
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/67660
0 Komentar untuk " Berdakwah menerusi alam maya tarik perhatian generasi muda "