Apabila saraf membelenggu kesihatan diri - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Apabila saraf membelenggu kesihatan diri


KUALA LUMPUR: Orang yang sedang dalam kesakitan memang mudah naik marah dan keadaan ini juga menjejaskan tahap kesihatan serta daya pengeluarannya. Hasil tinjauan Merck Sdn Bhd, syarikat farmaseutikal yang tidak asing lagi mendapati rasa sakit serta tidak selesa yang paling biasa dialami kebanyakan orang sebenarnya berpunca daripada saraf yang tidak sihat. Tinjauan yang dibuat di Lembah Klang pada tahun lalu mendapati seorang daripada dua orang yang berusia 21 tahun ke atas menunjukkan tanda-tanda kerosakan saraf. Separuh daripada responden ada berasa seakan dicucuk jarum di bahagian anggota badan mereka termasuk rasa kebas dan panas. Sebagai tambahan, pemeriksaan saraf yang dijalankan ke atas lebih 13,000 rakyat Malaysia di seluruh negara tahun lalu mendapati saraf 26 peratus daripada mereka yang diperiksa sudah rosak. "Kebanyakan yang terlibat dalam tinjauan ini dan diperiksa beranggapan rasa sakit dan tidak selesa yang mereka alami berpunca daripada gaya hidup mereka atau tekanan yang ada kaitan dengan kerja. "Mereka tidak langsung menyangka mereka mungkin menderita apa yang dipanggil sebagai neuropati iaitu kerosakan saraf," kata syarikat farmaseutikal ini dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Sistem saraf 

Dr Goh Khean Jin, Perunding Ahli Neurologi Pusat Perubatan Universiti Malaysa baru-baru ini memberi taklimat kepada media berhubung fungsi saraf dan neuropati. Sistem saraf bermula daripada otak sehingga ke saraf tunjang. Serupa seperti pendawaian elektrik yang membekalkan kuasa elektrik ke seluruh bangunan, saraf menghantar isyarat elektrik ke tubuh badan manusia. Ia mengawal organ deria yang membolehkan manusia berasa sejuk, panas atau tajam serta lain-lain sensasi. Saraf juga menggerakkan otot, bukan sahaja untuk menggunakan tangan atau berjalan tetapi juga untuk perbuatan seperti batuk, membongkok, mengunyah serta melihat ke kanan atau ke kiri. Sistem saraf juga mengawal fungsi penting yang berlaku di luar kawalan seperti degupan jantung, pencernaan dan pernafasan. "Pada asasnya kita ada sistem saraf pusat yang memberi kesan terhadap otak dan saraf tunjang. "Kita juga ada sistem saraf perifer di luar otak dan saraf tunjang. "Penyakit saraf di luar otak dan saraf tunjang, kami panggil sebagai neuropati perifer," jelas Dr Goh.

Perdayaan sakit 

Gejala kerosakan saraf boleh melibatkan rasa berdenyut-denyut serta kebas kepada rasa sensitif yang melampau kepada sentuhan atau sakit yang mencucuk-cucuk serta sukar berasa panas atau sejuk atau hilang rasa sensasi. Menurut beliau, pesakit neouropati lazimnya mengadu rasa berdenyut-denyut, kebas, rasa sakit atau panas di kaki atau hujung jari. "Sekiranya anda tidak merawat masalah ini, ia mungkin menjadi lebih buruk. Ia akan naik ke kaki atau tangan. "Anda juga boleh mendapat ulser. Ini berlaku apabila pesakit tidak sedar yang dia mempunyai luka dan akibat jangkitan, luka itu menjadi teruk. " katanya sambil menambah kawasan kebas biasanya bermula dari tempat yang paling jauh dari bahagian tengah badan," katanya. Menurut beliau, pesakit juga mungkin mengadu lemah otot. "Sekali-sekala otot akan menjadi 'atropid' yang bermakna otot mengecut kerana saraf di otot berada dalam keadaan teruk," tambah Dr Goh. Sakit akut yang biasa adalah baik kerana ia tanda amaran, justeru melindungi seseorang itu daripada mengalami lebih banyak kerosakan terhadap tubuh badannya. Bagaimanapun, menurut Dr Goh, sesetengah pesakit mengalami kesakitan tanpa sebarang punca yang diketahui. Saraf menghantar isyarat palsu ke otak menunjukkan ada kesakitan tetapi secara realitinya tidak ada apa-apa yang menyebabkan punca kesakitan itu. "Kesakitan ini akibat kerosakan kepada saraf dan kerap berlaku," katanya.

Punca neuropati perifer 

Kira-kira 30 peratus neuropati berpunca daripada faktor yang tidak dikenali sementara 30 peratus lagi disebabkan diabetes dan keadaan ini dipanggil neuropati diabetik. Pilihan gaya hidup seperti pengambilan alkohol yang berlebihan, menghisap rokok, gaya hidup yang banyak duduk, ketidakseimbangan diet dengan kekurangan vitamin B1, B2 dan B12 terutama dalam kalangan mereka yang hanya mengambil sayuran adalah faktor biasa yang boleh menyebabkan neuropati perifer. Duduk terlalu lama, memakai kasut tinggi serta pakaian ketat di samping melakukan kegiatan yang berulang-ulang seperti menaip, memasak dan 'texting'juga memberi tekanan kepada saraf. Saraf juga boleh rosak akibat lebihan berat badan dan trauma fizikal seperti kemalangan kenderaan, jatuh atau kecederaan sukan. Punca lain termasuk jangkitan virus atau bakteria, penyakit buah pinggang, penyakit hati, kecelaruan otoimun dan pendedahan kepada toksin.

Rawatan untuk neuropati 

Setakat ini tidak ada ubat untuk menyembuhkan neuropati. Bagaimanapunm, penyelidik telah menemui cara untuk melegakan ketidakselesaan dan meningkatkan mutu kehidupan pesakit. Menurut Dr Goh, rawatan penyakit saraf ini bergantung kepada puncanya. "Jika puncanya boleh dikenalpasti, bolehlah cuba menangani punca itu. Apakah ia berkait dengan imun atau kekurangan vitamin? "Sekiranya ia penyakit sistemik seperti diabetes atau tiroid, penyakit itu perlu dirawat. Ini akan memperbaiki atau menstabilkan neuropati mereka," katanya. Bagaimanapun, sekiranya punca utama tidak dapat dikesan atau dirawat, doktor perlu merawat gejala yang ada pada pesakit. Antaranya termasuk ubat untuk mengawal kesakitan saraf serta fisioterapi atau sesi terapi pekerjaan. Dalam kes di mana pesakit berada dalam tekanan yang kuat akibat kesakitan, beliau digalakkan berjumpa ahli psikologi. "Dalam hal ini kita bukan bercakap tentang penyembuhan pesakit tetapi cuba memperbaiki mutu kehidupan pesakit kerana dia mengalami kesakitan yang teruk dan memerlukan banyak sokongan," kata Dr Goh. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/69060
0 Komentar untuk " Apabila saraf membelenggu kesihatan diri "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ