Usahawan tani sumber pendapatan negara - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Usahawan tani sumber pendapatan negara

PASAR tani terkenal dengan pelbagai jenis produk pertanian, perikanan dan perladangan. Menurut portal rasmi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), idea ini tercetus daripada keperluan masyarakat sebagai ruang pasaran tersendiri bagi petani atau pengeluar asas tani bermula 31 Januari 1985 di Johor Bahru.

Golongan ini memasarkan hasil keluaran sendiri terus kepada pengguna tanpa pihak ketiga.

Bahkan Pasar Tani dijadikan ‘Medan Pertemuan Pengeluar Pengguna’ secara langsung.

Ia menjadi institusi pemasaran utama negara menggunakan konsep pasar mudah alih dan suasana karnival.

Ia menjadi platform penting buat golongan petani melahirkan lebih ramai usahawan tani dan menjadi medium penting bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara dan mempercepatkan proses pembangunan sosioekonomi masyarakat tani, selaras dengan
Dasar Pertanian Negara (DPN).

MOA laksana pelbagai program IAT 

Kementerian Pertanian dan Indsutri Asas Tani (MOA) merupakan institusi penting berperanan membantu golongan usahawan terutamanya perindustrian asas tani seperti perikanan, pertanian dan juga perladangan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program utama dijalankan adalah program  pembangunan usahawan industri asas tani (IAT) yang diterajui Bahagian Industri Asas Tani.

Program yang merangkumi lima skop utama berperanan meningkatkan potensi usahawan tani membantu pertumbuhan ekonomi negara.

"Skop pertama, Peningkatan Bina Upaya Modal Insan yang mana Kementerian, Agensi dan Jabatan terlibat menawarkan kursus teori dan praktikal kepada usahawan.

"Kedua, Peningkatan Keupayaan Pengeluaran, menyediakan tawaran khidmat nasihat dan pembiayaan melalui Skim Geran Pemadanan," katanya.

Katanya, skop seterusnya kementerian fokus dalam aspek peningkatan kualiti produk yang dihasilkan usahawan.

Katanya Skim Geran Pemadanan membantu meringankan beban usahawan mendapatkan tambahan mesin dan penambahbaikan premis usahawan.

Skop keempat merangkumi pembangunan dan pengembangan produk yang mana usahawan diberi bimbingan dalam proses pengembangan produk, seperti aspek pelabelan dan pembungkusan produk.

"Skop terakhir iaitu penjenamaan dan penggalakan pasaran antara usaha penting dijalankan supaya usahawan terlibat lebih aktif.

"Mereka diberi peluang mempromosi produk di media, pasar raya, ekspo dan karnival," katanya.

Beliau berkata kementerian lebih tertumpu kepada industri pemprosesan makanan selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3) 2006-2020.

"IAT berasaskan makanan adalah tertumpu pada pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan usahawan mikro khususnya dalam penambahan nilai produk berasaskan tanaman, perikanan dan ternakan serta produk berasaskan tepung dan bijirin yang diimport.

"Perbelanjaan isi rumah bagi produk makanan terproses dijangka meningkat daripada RM61 bilion pada 2010 kepada RM154 bilion pada 2020. Peningkatan taraf hidup dan perubahan gaya hidup serta kesedaran kesihatan mengubah tabiat pemakanan pengguna," katanya.

MOA membuka peluang pasaran bagi makanan sejuk beku, kepingan snek rendah kalori dan minuman kesihatan.

Katanya, eksport produk IAT berasaskan makanan dijangka mencatat peningkatan daripada RM17.6 bilion pada 2010 kepada RM53.8 bilion pada 2020 iaitu peningkatan sebanyak 11.8 peratus setahun.

"Pasaran untuk produk makanan juga dijangka meningkat di rantau Asia Pasifik terutama negara China dan India, Timur Tengah, Amerika Selatan dan Afrika.

"Selain itu, permintaan terhadap makanan proses halal juga bakal meningkat dalam pasaran global," katanya.

0 Komentar untuk " Usahawan tani sumber pendapatan negara "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ