Pembinaan sekolah baharu ubati kesedihan mangsa Taufan Haiyan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pembinaan sekolah baharu ubati kesedihan mangsa Taufan Haiyan

TERKEDU, terkejut dan terpaku kebingungan, Jovita Donor, apabila melihat sekolahnya hancur musnah dilanda Taufan Haiyan. Bukan tidak pernah sekolah tadbirannya dilanda ribut, tetapi kali ini amat dahsyat hingga memusnahkan struktur bangunan. Tidak semena-mena air matanya mengalir deras, apabila memikirkan ke mana anak muridnya ingin meneruskan pembelajaran. Taufan ragut 8,000 nyawa Segar dalam ingatan pengetua sekolah berkenaan, wilayah Ormoc City terjejas teruk dalam kejadian taufan pada 8 November itu, dengan menyaksikan lebih 8,000 kematian dan ramai lagi masih hilang. Sebanyak 93 daripada 97 sekolah mengalami kerosakan dan Nasunogan Elementary School yang ditadbirnya paling teruk terjejas. "Mom... bagaimana nasib anak kita. Ke mana mereka hendak pergi belajar... inilah satu-satunya sekolah yang ada di Kampung Barangay.. semuanya sudah musnah," kata tenaga pengajarnya, Mary, yang masih terngiang-ngiang di telinga Jovita. Lebih pilu katanya, apabila melihat anak muridnya membersih dan menjemur buku teks serta bahan bacaan lain yang basah dipenuhi lumpur. Malah, ada di antaranya turut membantu membuang serpihan kayu serta sampah sarap yang memenuhi padang sekolah berkenaan. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan bangunan baharu sekolah itu yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin. DARI kanan, Shahril Azuar bersama Danapalan, Marina dan Umar melihat sesi pembelajaran di bilik darjah yang baharu dibina. - Foto Zulfadhli Zulkifli Yang turut hadir, Duta Malaysia ke Filipina, Datuk Mohd Zamri Mohd Kassim; Datuk Bandar Ormoc, Edward Codilla; Ahli Lembaga Amanah Yayasan Maybank, Datin Paduka Marina Mahathir, Umar Juoro dan Datuk V Danapalan serta Setiausaha Persatuan Perubatan Malaysia (MERCY), Raja Riza Shazmin Raja Badrul Shah. Mary yang masih lagi trauma dengan kejadian itu, bagaimanapun bersyukur apabila mengetahui semua anak muridnya selamat tanpa sebarang kecederaan. Katanya, dalam kekalutan memikirkan masa depan anak muridnya, beliau dihampiri wakil MERCY Malaysia di Pulau Leyte, Macmara dan memberitahu ada badan bukan kerajaan (NGO) luar ingin bertemunya serta menghulurkan bantuan. "Pada mulanya saya beranggapan, rombongan yang diketuai Pengarah Negara bagi Filipina, Norazam Ab Samah dan sukarelawan, Dzulkarnaen Ismail ke sekolah berkenaan sekadar hendak memberi bantuan makanan, minuman, pakaian dan sedikit kewangan seperti NGO lain. BANGUNAN sekolah yang baharu dibina. - Foto Zulfadhli Zulkifli Pembinaan sekolah baharu "Tetapi sangkaan saya meleset, kedatangan mereka (MERCY) bukan sekadar memberi barangan keperluan, malah menjanjikan pembinaan sekolah yang musnah. "Saya menarik nafas lega ketika itu dan amat bersyukur sekali," katanya. Jovita berkata, seminggu selepas pertemuan itu beliau berasa gusar kerana rombongan MERCY Malaysia masih tidak muncul, hinggalah keesokannya mereka datang semula bersama beberapa jurutera bagi membina semula bangunan dan kemudahan Nasunogan Elementary School. "Tanpa saya sedari air mata kegembiraan jatuh berderai. Saya terus memberitahu ibu bapa dan penduduk kampung bagi bersama-sama membantu mereka. "Inilah realitinya MERCY Malaysia dan Yayasan Maybank memberi sinar baharu kepada kami serta anak kami di Barangay. Diharapkan hubungan ini berkekalan dan kami amat menghargainya," katanya. Sementara itu, Norazam berkata, pada hari pertama menjejakkan kaki ke daerah Barangay, hati beliau terusik melihat kemusnahan rumah penduduk kampung dan paling teruk sekolah Nasunogan. BANGUNAN sekolah musnah akibat Taufan Haiyan yang melanda Pulau Leyte, Filipina, pada tahun 2013. Bina sekolah sementara "Demi kelangsungan pendidikan anak Nasunogan, kami bersama penduduk kampung membina sekolah sementara menggunakan papan lapis, tanpa dilengkapi lampu kalimantang dan kipas angin. Pada masa sama, kami mengenal pasti penduduk yang mempunyai kemahiran bertukang diajak bersama membeli segala bahan binaan, peralatan pertukangan dan lain-lain keperluan," katanya. Beliau berkata, pembinaan bermula 24 Januari 2014 dan siap sepenuhnya minggu ketiga Disember tahun lalu. PELAJAR menjemur buku yang basah selepas sekolah dilanda Taufan Haiyan. Bangunan batu kalis taufan "Pembinaan semula itu membabitkan empat blok bangunan batu kalis taufan yang mengandungi tujuh bilik darjah dilengkapi setiap satu bilik air, papan hitam, papan kenyataan, bekalan air dan elektrik. "Turut dibaik pulih bangunan kantin sekolah. Yayasan Maybank turut menyerahkan tiga unit komputer untuk kegunaan pentadbiran serta pembelajaran 246 pelajarnya," katanya. Katanya, reka bentuk bangunan baru dan penggunaan bahan adalah idea beliau berdasarkan pengalaman beberapa kali melawat kawasan musibah taufan di tempat lain. "Reka bentuk seni bina pula dirancang dalam grid mudah dengan hujung bumbung dihadang palung konkrit kerana apabila taufan melanda angin akan mengangkat bumbung. Struktur bangunan direkabentuk dengan mengambil kira bencana gempa bumi dan ribut taufan. "Sekolah ini juga berfungsi sebagai pusat penempatan ketika bencana. Diharapkan ia dapat menjadi tempat selamat bagi penduduk berteduh dan berlindung ketika bencana dan sekiranya rumah penduduk mengalami kerosakan," katanya. Yayasan Maybank dan MERCY menyerahkan sumbangan RM35,000 untuk bahan membaik pulih sekolah, tambahan RM80,000 lagi bagi bangunan baharu.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/59976
0 Komentar untuk " Pembinaan sekolah baharu ubati kesedihan mangsa Taufan Haiyan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ