Syaaban, bulan menuai pahala sebanyak mungkin - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Syaaban, bulan menuai pahala sebanyak mungkin

PUTARAN bulan dalam tahun hijriah mula memasuki bulan kelapan yang mana satu daripada bulan yang diagungkan dan mempunyai kelebihan dalam kalendar Islam iaitu Syaaban. Nabi Muhammad SAW bersabda: "Syaaban adalah bulanku, Ramadan adalah bulan ALLAH. Syaaban adalah bulan yang menyucikan dan Ramadan adalah penghapusan dosa (Riwayat Al-Dailami)

Kenapa namanya Syaaban?

Adakah kamu ketahui mengapa dinamakan dengan Syaaban? Ini kerana bulan ini terpancar cabang-cabang kebaikan yang banyak bagi bulan Ramadan.

Syaaban juga dikatakan satu bulan yang akan diangkatnya semua amalan manusia kepada ALLAH SWT. Nabi SAW bersabda lagi: "Dari Usamah bin Zaid, beliau berkata: "Ya Rasulullah, saya melihat engkau berpuasa seperti demikian dalam bulan yang lain." Rasulullah SAW berkata: "Bulan mana?" Saya berkata: "Bulan Syaaban." Rasulullah SAW menjawab: "Bulan Syaaban adalah antara bulan Rejab dan Ramadan yang banyak manusia lalai daripadanya. Dalam bulan Syaaban diangkatnya amalan manusia."

Keutamaan dalam Syaaban adalah malam Nisfu Syaaban iaitu malam termulia setelah malam Lailatul Qadar.

Sebahagian ulama mengatakan bahawa kemuliaan bulan terletak pada 10 awalnya, Syaaban terletak pada 10 kedua dan Ramadan terletak pada 10 akhirnya. (Al-fasyani, Ahmad bin Hijazi, Tuhfat al-ikhwan fi iraat al-miad fi rajab wa sya’ban,cet.ii (mesir: al-kastaliyah,1297 H) hal.60)

Aisyah RA menceritakan, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya ALLAH turun pada malam pertengahan (nisfu) Syaaban ke langit dunia dan mengampunkan dosa-dosa orang yang lebih banyak daripada bilangan bulu-bulu kambing Bani Kalb." (Riwayat At-Tirmizi & Ibnu Majah)

Siapkan diri

Menjadi satu tradisi bagi masyarakat Islam kini apabila memasuki Syaaban mereka mempersiapkan diri sedaya upaya untuk mempertingkatkan amal ibadah.

Seolah-olah Syaaban adalah fasa pemanasan beribadah bagi menyambut kedatangan Ramadan.

Tetapi, adakah amalan ini dilakukan pada zaman Rasulullah SAW atau hanya sekadar amalan yang ditambah dalam masyarakat sendiri?

Terdapat segelintir pihak tertentu mempertikaikan amalan yang lazim dilakukan umat Islam di Malaysia pada  Syaaban, contohnya seperti amalan puasa sunat Syaaban, membaca Surah Yaasin  sebanyak tiga kali diselangi doa tertentu pada malam Nisfu Syaaban, solat sunat malam Nisfu Syaaban, kerana tiada nas daripada al-Quran dan hadis menyuruh berbuat demikian.

Mereka berpendapat amalan seperti itu tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW, ia adalah amalan yang diada-adakan atau direka-reka. Perbuatan mengada-adakan amalan yang tidak pernah dilakukan atau diperkatakan oleh Rasulullah SAW adalah bidaah dholalah (sesat). Tiap bidaah adalah sesat dan masuk neraka.

Amalan yang paling terkenal dalam kalangan masyarakat umat Islam pada malam Nisfu Syaaban, apabila mereka mengamalkan bacaan Yaasin secara beramai-ramai dan dibaca sebanyak tiga kali.

Pendapat mereka berdasarkan hadis dalam sahih Muslim yang diriwayatkan daripada Jabir RA, Nabi Muhammad SAW bersabda dalam khutbah Baginda SAW: "Tetaplah kamu dengan suruhan dan sunnah khulafa ar-Rasyidin serta berpegang teguhlah padanya.

erwaspadalah terhadap  perkara yang baru diada-adakan, kerana setiap perkara baru adalah bidaah dan setiap perkara bidaah itu adalah sesat. Setiap yang sesat akan masuk neraka."

Selain itu, dapat kita lihat umat Islam di Indonesia pula mereka mengamalkan ziarah kubur, kenduri doa selamat, bersalaman dan bermaaf-maafan. Ini sebagai ungkapan kegembiraan kerana gembira menyambut datangnya bulan istimewa iaitu Syaaban.

Tambahan itu juga, umumnya kegiatan bidaah atau tambahan ini didasari daripada hadis dhaif (lemah) yang mana banyaknya tersebar dalam kalangan masyarakat. Ia lebih berkait dengan amalan Nisfu Syaaban. Antara yang sering dilakukan solat sunat berjemaah atau mengadakan kegiatan ibadah khusus pada malam Nisfu Syaaban.

Terdapat hadis sahih yang menyebutkan amalan tertentu di bulan Syaaban, namun tidak diketemukan satu hadis pun yang menyebutkan amalan tertentu.

Oleh itu, ulama menegaskan terlarangnya mengkhususkan malam nisfu Syaaban untuk melaksanakan ibadah tertentu.

Perkara yang menjadi pertikaian pihak tertentu ialah pengkhususan bulan atau hari tersebut untuk satu-satu ibadah, bukan pada pengisian atau aktiviti amalan yang dilakukan.

Kepentingannya di sini adalah bagaimana cara kita meningkatkan amal ibadah kita, meningkatkan ketakwaan dan melakukan amalan. Menurut Imam Syafie RA, jika sesuatu amalan yang membawa kebaikan dan tidak bertentangan dengan syariah ia adalah bidaah hasanah.

Justeru, keistimewaan dan kemuliaan Nisfu Syaaban tidak boleh dibiarkan begitu sahaja, gunakan waktu sebaiknya dengan penambahan amalan sebanyaknya dan sebaik mungkin.

Sama-samalah kita menghidupkan Syaaban termasuk Nisfu Syaaban dengan melakukan ibadat seperti tadabur al-Quran, bertaubat, beristighfar, berdoa, menunaikan solat hajat dan sebagainya. Ia adalah ibadah yang sangat baik bagi mendekatkan diri kepada Maha Pencipta.

NUR HUDA KAMARUL ZAMAN
(Penulis adalah penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

0 Komentar untuk " Syaaban, bulan menuai pahala sebanyak mungkin "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ