USIA yang baru menjangkau 32 tahun bukan penghalang kepada seorang usahawan wanita dari Kuala Lumpur untuk mengembangkan perniagaan berasaskan makanan sehingga berjaya membuka kilang pembuatan coklatnya sendiri. Terletak di Kedah Halal Park, Kawasan Perusahaan Sungai Petani, kilang Inang Suri Enterprise sudah beroperasi sejak Januari 2013 lalu dengan menghasilkan coklat pelbagai perisa menggunakan jenama Hazleen. Usahawan berkenaan, Hazleen Syafiza Mansor, berkata minatnya untuk berniaga kira-kira 15 tahun lalu ketika negara dilanda kegawatan ekonomi, membuahkan hasil sehingga berupaya menguruskan sebuah kilang selepas aktif dalam perniagaan berasaskan coklat pada tahun 2009. Terima geran RM1.5 juta Impian wanita muda ini untuk menguruskan kilang pembuatan coklat pastinya tidak mampu menjadi realiti tanpa bantuan daripada kerajaan melalui pemberian geran berjumlah RM1.5 juta. Umpama suatu keajaiban, anak kedua daripada lima beradik ini tidak menyangka sama sekali dipilih sebagai pemenang kedua pertandingan Rural Bussines Challenge (RBC) pada 2012 lalu, sekali gus berkelayakan menerima geran berjumlah RM1.5 juta. Hazleen yang kini adalah Pengurus Besar Inang Suri menerima penghargaan itu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada satu majlis anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 31 Ogos 2012. HAZLEEN menunjukkan anugerah yang diterima syarikatnya. - Foto Sharul Hafiz Zam Pada pertandingan itu, syarikat miliknya dipilih berdasarkan tiga kriteria membabitkan perusahaan yang dijalankan di luar bandar, membantu pekebun mengatasi lambakan buah tiap kali tiba musim buah dan memberi peluang kepada Orang Kurang Upaya (OKU) berkhidmat di kilangnya. Hasilnya, Hazleen yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kepujian Komunikasi Massa, Pengajian Media dan Pengiklanan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) memperoleh geran berbentuk pembelian dan ubah suai mesin dan pemasaran bernilai RM1.5 juta. Rentetan itu, syarikat Inang Suri berpindah dari Bengkel Daya milik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke kilang yang beroperasi di Kedah Halal Park, Kawasan Perusahaan Sungai Petani pada Januari 2013. BAR coklat dan mini coklat Hazleen yang didatangkan dalam pelbagai perisa. - Foto Sharul Hafiz Zam Transformasi operasi Bermula dari detik itu, Hazleen berkata, beliau mentransformasikan keseluruhan operasi pembuatan produknya dengan menggunakan mesin berbanding kaedah manual sebelumnya. Katanya, beliau memperuntukkan kira-kira RM600,000 bagi membeli 15 mesin yang merangkumi semua kaedah pembuatan coklat termasuklah mencuci acuan, membuat pes, pencarian, pemanasan dan pembungkusan. "Kami mempunyai 14 pekerja di bahagian pengeluaran dan operasi yang mampu menghasilkan sehingga tiga tan coklat sebulan bergantung kepada permintaan. "Sehingga kini kami sudah menembusi pasaran seluruh Malaysia dengan membekalkan produk coklat Hazleen kepada 500 peruncit, selain mempunyai dua pejabat pemasaran di Banting, Selangor dan Kuantan, Pahang," katanya ketika ditemui, baru-baru ini. Menawarkan dua jenis produk membabitkan bar coklat yang dijual pada harga RM2.50 dan mini coklat (50 sen), Hazleen berkata, ia didatangkan dalam 12 perisa membabitkan rasa buah tropika nanas, cempedak, durian dan mangga, selain strawberi, blueberry, oren, kapucino, kacang serta badam. PEKERJA membungkus coklat Hazleen. - Foto Sharul Hafiz Zam Strategi pemasaran secara konsainmen Menariknya, Hazleen berkata, produknya mula mendapat tempat dalam kalangan peruncit apabila beliau menjalankan strategi pemasaran secara konsainmen iaitu bayaran hanya akan diambil apabila ia berjaya dijual. "Strategi pemasaran begini membabitkan pelaburan yang besar berikutan kami tidak mengambil bayaran dahulu daripada peruncit, sebaliknya kita letak dahulu dan apabila produk itu dijual, kita ambil bayaran. Kami mampu melaksanakan pemasaran begini melalui pemberian geran oleh kerajaan," katanya. Menyentuh perancangan Inang Suri, Hazleen berkata syarikatnya bakal menembusi pasaran di 25 cawangan Aeon Big di seluruh negara bermula Jun ini melalui slot Citarasa Malaysia. Berbicara dalam skop lebih besar, Hazleen berkata, pihaknya menyasarkan untuk menembusi pasaran Thailand dan Indonesia menjelang hujung tahun ini. "Keyakinan untuk memasarkan produk ini di pasaran antarabangsa tercetus apabila ia mendapat sambutan hangat melalui Agro Bazar Singapura pada tahun lalu dan sehingga kini kita sudah mengadakan perbincangan dengan pihak koperasi Muslim di Thailand yang berminat terhadap produk ini. "Sebaik hasrat ini tercapai, syarikat akan meningkatkan pengeluaran kami sebanyak dua kali ganda kepada tujuh tan setiap bulan dengan kos operasi mencecah kira-kira RM60,000," katanya.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/59278
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/59278
0 Komentar untuk " Geran RBC kembangkan perniagaan coklat "