Siapa kata malang tak berbau? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Siapa kata malang tak berbau?

INI cerita lama yang berulang setiap bulan puasa. Tahun ini seorang kanak-kanak berusia empat tahun di Taman Mutiara, Tanjung Sepat, Banting, Selangor menjadi mangsa pertama mercun.

Mohd Azman Syakir hancur sebelah tangan dan cedera badan akibat bermain mercun dengan kawan-kawannya pada jam 8 malam. Baru usia semuda itu sudah cacat sebelah tangan!
Kanak-kanak itu kini terlantar di hospital.

Menurut doktor, mangsa mengalami kecederaan teruk di pergelangan tangan yang mana ia hancur serta tidak boleh diselamatkan.

Ibu kanak-kanak tersebut memberitahu pemberita, dia terkejut dengan apa yang terjadi dan tidak menduga itu boleh berlaku. Memang sedih dan terkejut, tetapi kejadian malang itu boleh dielakkan sekiranya ada keprihatinan sejak awal.

Orang kata malang tidak berbau. Tetapi asap mercun ada bau dan bunyi mercun boleh kedengaran. Maka sekiranya terbau asap mercun atau terdengar bunyi mercun, pastikan anak-anak kita tidak bermain benda berbahaya itu.

SATU lagi cerita lama. Setiap kali ada kes begini, menteri akan kata tindakan boleh diambil ke atas keluarga atau ibu bapa yang cuai dan membiarkan anak-anak terlibat dalam kegiatan berbahaya.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, ibu bapa atau penjaga jangan abaikan keselamatan anak-anak, tegah mereka dari bermain mercun.

Kata beliau, tindakan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang dianiaya, diabaikan hingga boleh mendapat kecederaan fizikal atau emosi boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta 611 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Memang undang-undang dan hukuman sudah lama ada, tetapi kita tidak menguatkuasakan undang-undang berkenaan. Sebab itu setiap tahun ada sahaja kanak-kanak dicedera dan dicacatkan oleh mercun.

SEPERTI yang disiarkan media, Polis Terengganu menubuhkan pasukan khas untuk memantau dan melakukan risikan kegiatan pengedaran serta penjualan mercun sepanjang Ramadan dan musim perayaan ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata, langkah itu bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan menjual bahan larangan tersebut pada musim perayaan ini.
Mereka yang terlibat dalam pengedaran, penjualan dan bermain mercun akan diambil tindakan tegas. Hmmm, ini pun cerita lama!

PIHAK berkuasa sudah berkali-kali menegaskan bahawa pembakaran mercun dan bunga apa adalah diharamkan. Sesiapa yang mengingkari undang-undang boleh didakwa mengikut Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Hanya bunga api jenis ‘pop-pop’ dan permainan ‘Happy Boom/Magic Pop’ dibenarkan kerana ia tidak mengandungi bahan membakar serta tidak membahayakan.

Tetapi setiap musim perayaan muncul sekian banyak jenis mercun, dan orang main mercun macam main gasing atau main layang-layang. Tidak ada siapa ambil peduli, juga tidak ada siapa berani melarang.

Baik di kaki lima, di pasar malam juga di bazar Ramadan ada sahaja kaki busuk menjual bahan peletup itu, secara terbuka dan bebas sama seperti menjual ikan panggang, ayam golek atau roti John.

Dan, kanak-kanak juga orang dewasa bermain mercun di mana-mana, termasuk – maaf cakap – di kawasan balai polis sendiri. Maka pagi, petang, siang, malam mercun berdentam-dentum di sana sini.

Orang ramai dengar, jemaah tarawih dengar, tikus dengar, hatta cacing dalam bumi pun dengar. Ada pun yang tidak dengar – agaknya! – hanyalah pihak berkuasa dan kakitangan penguat kuasa undang-undang.

AKHIR kalam, masih mengenai mercun. Kita ada undang-undang dan hukuman untuk mencegah orang mengedar, menjual dan main mercun.

Tetapi nampak sangat undang-undang tersebut tidak dikuatkuasakan sepatutnya. Semua macam tidak kisah dengan Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957.

Maka pada hemat saya ada baiknya mercun tidak diharamkan. Boleh juga orang mencari rezeki dengan menjual permainan letup-letup itu. Perihal putus jari, hancur tangan, berlubang buku lali, hilang telinga, lebam mata dan lain-lain kengerian, itu belakang kira!

Lantaklah dia orang hendak bakar mercun sebanyak mana. Barulah semua dapat beraya sakan sambil menyanyi lagu nostalgia Saloma ‘dam-dam-dum mercun berdentum, semaraklah hari raya ini tahun...’

TOK PERAK

0 Komentar untuk " Siapa kata malang tak berbau? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ