Resipi Uncle Sam jadi tarikan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Resipi Uncle Sam jadi tarikan

TERINGIN mencari kelainan suasana sambil menikmati hidangan barat dan cina yang enak? Jom singgah ke Restoran Uncle Sam, 39G, Jalan Tukul N15/N, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor.

Penulis yang pertama kali berkunjung di sini, ia merupakan pengalaman menarik untuk berada di dalam restoran yang bercat hitam. Mungkin ada yang berasa janggal bila berada di ruang gelap ini.  Namun penggunaan meja, kerusi dan rak yang direka bentuk khas daripada kayu pine mampu menaikkan seri dekorasi ruang dalam tersebut. Hiasan dinding turut diserikan dengan kanvas Mexico.

Apabila menjelang malam, limpahan cahaya lampu halogen mampu mewujudkan mood yang berbeza dan lebih asyik untuk menikmati hidangan secara santai bersama keluarga mahupun rakan.

Resipi Uncle Sam

Apa menu ada di sini? Jom tanya Uncle Sam, pemilik nama restoran yang kian menjadi sebutan ramai yang meminati masakannya.  Bersandarkan pengalaman bidang memasak lebih tiga dekad ini, Uncle Sam atau nama sebenarnya Shamsudin Ahmad, 58, mempertaruhkan lebih 20 jenis hidangan cina dan barat secara ala carte untuk menggamit selera pelanggan.

Antara hidangan yang mendapat permintaan ramai seperti Nasi Ayam Kerabu Mangga, Nasi Goreng Dory Fish Sweet Sour, Wantan Mee Kicap, Penang Kuea Teaw, Nasi Goreng Ayam Kam Heong, Nasi Goreng Banana Leaf Fish, Black Pepper Steak, Uncle Sam Chicken Chop dan Uncle Sam Steak Sensation.

Penulis yang berkesempatan mencuba beberapa hidangan ternyata ia mempunyai keenakan dan cita rasa tersendiri, yang mungkin sukar didapati di tempat lain. Kesegaran ikan, udang dan ayam serta bahan masakan ditambah resipi tersendiri Uncle Sam, ia menjadi tarikan pelanggan untuk datang lagi.

"Alhamdulillah, kami mendapat maklum balas positif daripada pelanggan kami. Saya lihat mereka yang datang daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang.

"Kita mengamalkan konsep 'portion' lebih pada hidangan dengan harga yang berpatutan. Apa yang penting adalah kepuasan pelanggan," katanya.

Makanan di sini berbeza kerana Uncle Sam mencipta sendiri resipi mengikut pengalaman dan kreativitinya, malah hidangan disediakan secara segar dari dapur ke meja pelanggan.

Utamakan bahan berkualiti

Untuk memastikan masakan berkualiti, Uncle Sam turun padang ke pasar borong untuk memilih bahan mentah yang segar. Beliau juga memastikan penyediaan makanan dari awal hingga ke meja hidangan mengikut standard yang ditetapkan.

"Selain makanan, kami juga menyediakan pelbagai jenis minuman sejuk dan panas. Antaranya, Koh Somui, Coconut Shake, I Love You, dan Poison. Minumam Pop The Soda edisi terhad, mempunyai empat perisa (pisang, mangga, nanas dan durian belanda) dan hanya boleh didapati di restoran kami.

"Untuk masa terdekat, Restoran Uncle Sam akan menawarkan menu masakan Cina seratus peratus, selain makanan Barat.

"Saya juga gembira kerana kebanyakan pelanggan yang datang selepas mendengar cerita daripada mulut ke mulut. Ada juga yang berkongsi pengalaman makan di sini melalui laman sosial," katanya.

Uncle Sam bukan sahaja aktif di dapur, malah beliau turut bertemu secara langsung dengan pelanggan untuk beramah mesra dan mendengar sendiri maklum balas daripada pelanggan. Ini juga mencuri hati pelanggan untuk merakamkan gambar bersama beliau di restoran tersebut.

Beliau memberitahu, terdapat ramai kalangan VIP dan selebriti pernah singgah makan di sini. Untuk masa akan datang, cawangan Restoran di bawah pengurusan Empayar Rizqi Resources melebarkan sayapnya di Kuantan, Pahang. Ini sebagai usaha menjenamakan produk makanan "Uncle Sam" ke seluruh negara.

Info:

- Waktu operasi 11 pagi - 11 malam

- Dibuka setiap hari kecuali Ahad pada minggu kedua dan keempat

- Ruang makan boleh menempatkan 60 orang dalam satu masa

- Pelanggan tidak dikenakan GST.

- Untuk maklumat, layari Facebook/unclesam15.

Related Post

0 Komentar untuk " Resipi Uncle Sam jadi tarikan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ