MESIR adalah sebuah negara sangat berpengaruh di Asia Barat dan Afrika Utara. Kedudukannya cukup strategik kerana mempunyai Terusan Suez yang menjadi pintu gerbang menghubungkan Asia dan Eropah melalui jalan laut. Ia membolehkan kapal dari Asia ke Eropah melakukan perjalanan dengan lebih pantas tanpa perlu mengelilingi benua Afrika sekali gus menjana pendapatan besar kepada negara bumi anbia itu. Hampir seluruh wilayah Mesir adalah gurun pasir kecuali daerah di sekitar aliran Sungai Nil, iaitu sungai terpanjang di dunia sejauh 6,690 kilometer. Rakyat negara berkenaan sememangnya terkenal mempunyai kebudayaan cukup tinggi dengan peninggalan sejarah terkenal seperti piramid dan sphinx yang menjadi tarikan kepada jutaan pelancong. Bagaimanapun, negara yang berkependudukan kira-kira 86 juta orang itu menyaksikan sebanyak dua revolusi rakyat dalam tempoh lima tahun lalu iaitu pada 25 Januari 2011 yang berjaya menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak dan pada 30 Jun 2013 berjaya menggulingkan Presiden Mohamed Morsi. Dengan laporan media, kebanyakannya bersumberkan media Barat, rakyat negara itu masih disogokkan dengan maklumat kurang tepat apabila melihat Mesir sebagai sebuah negara yang belum stabil dengan politik dalamannya masih bergolak. Bahkan, Mesir dikatakan sebagai negara yang tidak mempunyai modal mencukupi untuk membiayai projek pembangunan yang dirancang. Duta Besar Malaysia ke Mesir dan Palestin, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari, berkata persepsi yang tidak tepat itu menyebabkan hubungan antara kedua-dua negara, sama ada dalam hubungan ekonomi, pendidikan dan lawatan peringkat politik kini semakin mengendur. TERUSAN Suez menjana pendapatan Mesir. - Foto hiasan Anggap politik Mesir masih belum stabil Beliau berkata, ia menyebabkan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta di negara ini dikatakan lebih gemar mengambil sikap tunggu dan lihat dengan beranggapan keadaan politik Mesir masih belum stabil dan keadaan keselamatannya tidak terjamin. Beliau berkata, Mesir sebenarnya sudah banyak berubah dalam tempoh dua tahun lalu yang mana sudah wujud kestabilan dan keadaan keselamatannya juga terjamin kecuali di Sinai Utara yang masih berlaku konflik antara pihak tentera dan militan. "Di Kaherah, kini sukar untuk melihat demonstrasi dan kalau ada pun pada skala sangat kecil iaitu antara 30 dan 40 orang. "Pembangunan ekonomi di Mesir juga sangat besar serta mula mendapat keyakinan pelabur antarabangsa termasuk dari Eropah, China, India dan Korea Selatan. "Ekonomi Mesir terus berkembang dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini dijangka mencecah 4.7 peratus berbanding sebanyak 3.7 peratus pada tahun lalu," katanya ketika menyampaikan Dialog Kepentingan Strategik Mesir dari Perspektif Malaysia di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Bangi, baru-baru ini. Dialog sehari itu adalah anjuran Bahagian Perancangan Strategik Pejabat Perdana Menteri. Ku Jaafar berkata, ketika ini, kebanyakan negara besar sudah mengiktiraf Presiden Abdel Fattah al-Sisi yang dipilih rakyatnya melalui Pilihan Raya Presiden pada 29 Mei 2014. Beliau berkata, jika dahulu Mesir bermasalah dengan Turki dan Amerika Syarikat (AS) yang menyokong Morsi, mereka kini sudah kembali menjalinkan hubungan baik. "al- Sisi sudah membina hubungan baik dengan Russia dan mula memandang ke arah Timur dengan melihat kepentingan Asia sebagai rakan baharu dari segi politik dan ekonomi. "Beliau juga mula membina kembali kepercayaan untuk menjadikan Mesir sebagai negara besar pada peringkat rantau dan global," katanya. KEADAAN di Dataran Tahrir, di Kaherah aman, tiada lagi demonstrasi besar-besaran. - Foto hiasan Komitmen pulihkan negara Sebaik dipilih sebagai presiden, al-Sisi dikatakan menunjukkan komitmen untuk memulihkan negaranya, berusaha menunjukkan moral yang baik termasuk menyerahkan separuh gajinya untuk dikembalikan kepada rakyat. Beliau mengadakan lawatan ke negara sahabat seperti Arab Saudi, negara Meditterranean, Eropah dan serantau untuk mengembalikan keyakinan negara berkenaan. Lebih menarik, beliau diterima baik dan negara yang dikunjungi al-Sisi mula mengangkat sekatan perjalanan untuk rakyatnya ke Mesir sekali gus mengembalikan kedatangan pelancong dari Eropah ke Mesir. Mesir juga menjalinkan hubungan ketenteraan dengan Russia dan China untuk memberi gambaran bahawa mereka tidak boleh didominasi oleh mana-mana kuasa besar. Selain itu, beliau bersetuju menandatangani perjanjian pembinaan empangan Grand Renaissance untuk membina projek elektrik hidro di sungai Nil antara Sudan dan Ethiopia bagi kepentingan bersama. Ku Jaafar berkata, lebih menarik, perkara pertama yang dilakukan al-Sisi untuk membina semula ekonomi Mesir dan bakal menjadi legasinya ialah mengumumkan pembinaan satu lagi terusan yang selari dengan Terusan Suez. Beliau berkata, Terusan Suez sedia ada ketika ini mampu menjana pendapatan sebanyak AS$6 bilion setahun dan kewujudan terusan baharu itu akan menjadikan pendapatan negara itu meningkat sebanyak dua kali ganda kepada AS$12 bilion. "Dengan ada terusan baharu itu yang akan dirasmikan pada 9 Ogos ini, kapal-kapal tidak perlu lagi menunggu lama untuk bergerak. "Yang menariknya, projek terusan baharu itu mendapat pelaburan daripada dana dalam negara bernilai 60 pound Mesir (kira-kira RM30 bilion) dalam tempoh dua minggu sekali gus menggambarkan kemampuan ekonomi rakyat Mesir," katanya. Selain itu, al-Sisi juga mengumumkan projek berskala besar untuk membina satu kawasan industri baharu di sepanjang 120 kilometer terusan baharu itu untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada 1.1 juta rakyatnya. PIRAMID warisan khazanah negara yang menjadi tumpuan pelancong. - Foto hiasan Fokus kawasan industri baharu Antara elemen ekonomi yang diberi penekanan oleh kerajaan al-Sisi di kawasan industri baharu itu ialah dalam sektor tenaga, infrastruktur, pertanian dan tekstil yang banyak memerlukan sumber buruh. Ia penting untuk menangani masalah sosial di Mesir yang sebelum ini berdepan dengan isu pengangguran sebanyak 13 peratus. Golongan belia yang ramai menganggur ini dikatakan terbabit dalam melakukan revolusi sehingga berjaya menumbangkan Kerajaan Mesir sebelum ini. Oleh itu, al-Sisi mendekati belia dan menyatakan mereka adalah harapan masa depan Mesir. Difahamkan, pelaburan yang masuk dan akan bermula pada bulan depan adalah berskala besar dengan kebanyakan pelabur adalah dari Amerika Syarikat, Eropah dan China. General Electric (GE) dikatakan melabur sebanyak AS$6 bilion, Siemens melabur AS$10 bilion, manakala pelaburan membabitkan syarikat dari China pula berjumlah AS$19 bilion. KESELAMATAN di Mesir terjamin kecuali konflik di Sinai Utara antara militan dan tentera. - Foto Reuters Rancang bina bandar Kaherah baharu Selain itu, al-Sisi merancang membina bandar Kaherah baharu yang mampu menampung kira-kira lima juta penduduk yang dijangka siap dalam tempoh tujuh tahun dengan kos sebanyak AS$45 bilion. Projek yang dikatakan lebih hebat dari Putrajaya itu bukan sahaja membina pusat pentadbiran baharu, malah juga pusat kewangan dan menjana infrastruktur yang lebih teratur. Banyak pelaburan berskala besar sudah masuk ke negara berkenaan antaranya dari AS, Eropah dan China dengan jumlah pelaburan yang sudah berjaya dikumpul setakat Mac lalu adalah sebanyak AS$130 bilion. Ku Jaafar berkata, Kerajaan Mesir cukup menyanjung tinggi Malaysia sebagai sebuah negara dinamik, progresif dan berdaya maju. Beliau berkata, mereka meletakkan harapan kepada Malaysia sebagai negara sahabat untuk membantu membangunkan kembali negara mereka. Bahkan, beliau berkata, mereka ingin membawa kepakaran Malaysia yang berjaya membina Putrajaya untuk diterapkan di bandar Kaherah baharu. "Bekas Menteri Pelancongan Mesir juga pernah meminta untuk mendapatkan bantuan Malaysia dalam membantu membangkitkan sektor pelancongan negara mereka. "Mereka juga berminat dengan pengalaman Malaysia dalam bidang pendidikan untuk membantu melahirkan ramai tenaga kerja berkemahiran dalam bidang teknikal dan vokasional," katanya.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/59534
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/59534
0 Komentar untuk " Mesir kembali menarik kepercayaan negara serantau "