Ibarat 'syurga dunia', Malaysia terus menjadi tumpuan kerana masyarakatnya terkenal dengan sikap pemurah. Oleh itu, tidak hairanlah jika negara ini menjadi tumpuan warga asing untuk mencari rezeki dan mengemis. Sebab itu jugalah, jika berlaku bencana alam atau peperangan di Asia Barat, Malaysia adalah antara negara yang terawal dan aktif menyalurkan bantuan kemanusiaan termasuk kewangan. Pertubuhan Kebajikan Islam Kemboja (PKIK) sehingga kini sudah membina 24 masjid serta surau dan puluhan sekolah agama untuk umat Islam di Kemboja hasil daripada sumbangan rakyat dan badan korporat dari negara ini. Mungkin ramai yang tidak sedar perkara ini dan hanya tahu menyumbang. Bermula sejak tahun 1992 sehingga kini, puluhan juta sudah berjaya dikumpul pertubuhan itu sama ada bagi tujuan pembinaan masjid dan surau mahupun bantuan kemanusiaan. Bina 24 masjid Bayangkan, PKIK sudah berjaya membina 24 masjid dan surau hasil sumbangan rakyat negara ini dianggarkan bernilai lebih RM8 juta dan ada 40 pertubuhan seumpama itu yang bergerak aktif mencari dana termasuk di Malaysia. Jika kita mengambil separuh iaitu 20 pertubuhan bergerak aktif di negara ini mencari sumbangan dan dana, bayangkan puluhan juta sudah mengalir ke bumi Kemboja bagi membantu umat Islam di sana. Seringgit atau RM10 mungkin terlalu kecil buat rakyat negara ini, namun angka itu mungkin lumayan buat masyarakat dari negara seperti Kemboja dan natijahnya, mereka dapat menterjemahkan 24 masjid dan surau hasil duit rakyat Malaysia. Pengerusi PKIK, Hassan Basri menjelaskan pertubuhan yang diterajuinya itu sudah 23 tahun bertapak di negara ini bagi mencari dana dan memohon sumbangan derma untuk pembangunan umat Islam di Kemboja. Rakyat Malaysia pemurah "Rakyat Malaysia sangat pemurah, sebab itulah kami selesa bergerak di negara itu. Mereka tidak lokek menghulurkan sumbangan atau bantuan bagi umat Islam di Kemboja dan Malaysia umpama rumah kedua kami. Pada asalnya, kami mencari sumbangan dan membina surau dengan menggunakan kayu saja, namun kini hasil usaha sekian lama kami berjaya membina 24 surau dan masjid yang menelan belanja ratusan ribu setiap satu. "Sebelum ini saya ada juga ingin bergerak ke negara lain untuk mencari sumbangan, namun atas nasihat beberapa pemimpin di Malaysia, maka saya memberi tumpuan di negara itu saja," katanya. Hassan berkata, bukan saja rakyat Malaysia yang turut menyumbang, malah syarikat korporat juga turut membantu umat Islam di Kemboja termasuk Kumpulan NAZA. Berbeza dengan pertubuhan lain, Hassan memastikan amanah yang disalurkan kepada badan itu dijaga dan dimanfaatkan sebaik mungkin. Oleh sebab itu, apabila siap pembinaan masjid atau surau, beliau akan menjemput penderma untuk hadir pada majlis perasmian. "Selain sumbangan bagi pembinaan infrastruktur, banyak juga bantuan berupa bekalan makanan, al-Quran dan pakaian turut disumbang untuk warga Islam Kemboja. Kami juga bertuah kerana Kerajaan Kemboja tidak menghalang pertubuhan untuk membina masjid, surau mahupun sekolah agama untuk minoriti Islam di sini," katanya. Beberapa hari di bumi Kemboja, penulis dapat berasakan bahawa Malaysia dekat di hati mereka, malah mereka yang ditemui, secara terbuka menyatakan hasrat untuk ke negara ini bagi mencari rezeki.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/64146
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/64146
0 Komentar untuk " Malaysia 'syurga' Muslim Kemboja "