Ketagih drama berantai - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ketagih drama berantai

DRAMA bersiri, sinetron (sinema elektronik), telenovela mahupun drama K-pop bukan sahaja menjadi hidangan kebanyakan suri rumah pada waktu senggang, malah golongan pelajar dan berkerjaya turut mengikuti dengan cara tersendiri sama ada melalui internet atau menonton DVD.

Bagi peminat tegar cerita tersebut akan memastikan masa dan hari untuk menonton rancangan paling digemari. Pantang ada orang alihkan siaran, pasti ada yang melenting. Jangan diganggu waktu itu. Katanya, 'ini masa saya tonton tv'.

Mungkin ada yang terlalu asyik menonton televisyen sehingga kerja harian tergendala. Jika kurang disiplin menguruskan diri dan persekitarannya, silap hari bulan, aktiviti yang sepatutnya dilakukan waktu senggang ada kalanya boleh melarat hingga berjam-jam lamanya melangut di hadapan televisyen. Ia boleh mengganggu keharmonian keluarga.  

Cabaran mereka juga apabila ada tetamu datang. Tapi mungkin ada yang rasa tak bersalah, biarlah cerita itu bersiaran sambil berbual. Ada juga berebut siaran dengan pasangan, anak atau cucu yang meminati siaran lain. Ini juga menguji kesabaran mereka. Ini juga menyebabkan mereka terpaksa mengendurkan rasa fanatik terhadap sinetron dan telenovela supaya tak terkilan jika tak dapat tengok.

Rata-rata berpendapat drama bersiri ini berjaya menarik minat mereka jika dah mula mengikuti dari awal. Ada juga mengatakan di pertengahan cerita sudah cukup membuatkan dia teringin untuk menonton seterusnya kerana lakonan watak yang hebat dan memberi kesan.
Tidak hairanlah jika ada yang mengalir air mata sendiri kerana menghayati drama tersebut.

Jika dahulu drama bersiri Jepun turut digilai ramai seperti Oshin dan Rin Hanne Konma. Kemudian drama K-pop bertajuk Winter Sonata mula menghantui peminat tempatan sehingga berjaya menarik 1.3 juta penonton. Sejak itu, drama rantaian Korea mendapat tempat di hati penonton tempatan. Mereka mengatakan sukakan cerita Korea tidak pernah membosankan dari segi plotnya.

Ada juga yang tidak kisah siapa pun pelakon, malah bukanlah kenal sangat tetapi disebabkan lakonan yang bagus menyebabkan mereka terpaku.

Jika ditanya drama bersiri tempatan khususnya Melayu, masih ada ramai pengikut. Cuma sejak kebelakangan ini, sebahagian watak dan jalan cerita boleh dikatakan hampir sama, cuma berbeza tajuk. Jika fenomena ini terus berlarutan, mungkin penonton angkat punggung daripada dipaksa memakan juadah yang sama saban waktu. Penulis bukan arif mengenai dunia seni, tetapi perlu ada kajian untuk memajukan industri televisyen dan pemilihan drama ini.

Mungkin ada yang mengatakan kerana permintaan penonton menyebabkan ramai produser menghasilkan drama daripada adaptasi novel. Itu bagus kerana memahami kehendak penonton. Namun, bagi mereka yang berpandangan jauh untuk pembangunan insan dan kesejahteraan hidup masyarakat, agama dan negara ia memerlukan golongan karyawan yang berani berubah, menyahut cabaran semasa, sesuai menurut ajaran agama dan nilai ketimuran.

INFO

Tanda-tanda kecanduan drama rantaian:
1. Berada lebih awal atau tepat pada masanya di hadapan televisyen untuk drama bersiaran
2. Tidak berganjak dari tempat duduk
3. Tidak menukar mana-mana siaran
4. Boleh menghafal lagu tema drama tersebut
5. Sanggup menangguhkan atau mempercepatkan kerja asalkan tidak mengganggu waktu cerita bersiaran
6. Terlalu taksub terhadap hero dan heroin
7. Sanggup menonton berulang kali cerita yang sama
8. Sanggup melaburkan wang untuk membeli DVD
9. Sentiasa mengikut perkembangan pelakon
10 Sanggup berjaga malam untuk menonton

Tarikan drama bersiri, sinetron, telenovela dan drama K-pop
- Rupa paras pelakon cantik, kacak dan cute
- Walaupun kurang menawan, tapi lakonan berkesan diminati ramai
- Kisah yang dekat di hati masyarakat - kekeluargaan, percintaan, perjuangan dan pengorbanan
- Jalan cerita yang tidak boleh dijangka

Sisi negatif
- Menunjukkan adegan, cara berpakaian dan pertuturan yang tidak sesuai dengan penonton yang pelbagai peringkat usia.
- Menampilkan kisah mistik yang boleh memesongkan aqidah
- Watak jahat menunjukkan sikap yang keterlaluan dari segi perbuatan, kata-kata mahupun bahasa badan
- Watak baik yang seolah-olah sempurna
- Keganasan seperti memukul, membuli dan menampar
- Banyak bermain emosi, kurang berfikir

0 Komentar untuk " Ketagih drama berantai "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ