Ampun Tuanku. Pertamanya, patik selaku Mamanda Perdana Menteri, mewakili pihak kerajaan, anggota keselamatan, kakitangan awam serta seluruh rakyat jelata sekalian, merafak kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala, seraya menjunjung setinggi tahniah kepada Tuanku di hari ulang tahun rasmi kali ke-4, dalam penggal pemerintahan yang penuh bermakna ini. Pada kerai'an ini, marilah kita sama-sama dengan rasa tawadhu', merujuk firman Allah SWT di dalam al-Quran melalui mafhum potongan-potongan ayat suci surah A-li-Imran dan surah Al-An'am, bahawa puncak kekuasaan, naik-turunnya kuasa pemerintahan dan kedudukan, semuanya berada dalam rahsia, ketentuan dan genggaman Yang Maha Berkuasa, bukannya, di tangan makhluk. Begitulah kata orang dulu dulu, tiada kata secantik bahasa, biar musim berubah, suasana bertukar, detik-detik tawarikh seperti ini kelak akan menjadi bukti bahawa, sejauh mana pun menongkah kepesatan dan kemajuan, kita sewajibnya terus berpijak di atas lantai-lantai budaya, tradisi, serta sopan susila zaman-berzaman yang menjadi kerangka sebuah sistem Beraja dan bernegara. Begitulah ikatan mesra antara rakyat dan Raja, sedikit pun takkan longgar. Hakikatnya, pemeteraian wa'ad antara Raja dan rakyat sejak peristiwa Bukit Siguntang, tidak akan terpadam oleh perjalanan masa. Pada sudut yang lain, orang dulu-dulu bermadah, laut mana tidak bergelora, bumi mana tidak ditimpa hujan. Apatah lagi kehidupan manusiawi, siasah atau politik, pentadbiran kerajaan dan rencamnya kemajmukan di Malaysia, mahupun di mana-mana jua di dunia ini. Bantu mangsa gempa bumi Misalnya, kini rakyat berasa terkejut dan sedih di atas kejadian gempa bumi di Ranau, Sabah. Segala usaha sedang dilakukan untuk menyelamat mangsa-mangsa tragedi. Demikianlah, pelbagai kisah suka-duka serta cabaran telah diperhadap dan diterima khususnya kepada kerajaan Tuanku terutamanya sebelum akhir tahun lalu sehinggalah kini. Meskipun demikian, patik bersama rakan-rakan anggota pentadbiran, menerima segalanya dengan jiwa yang besar lagi berlapang dada, dan memilih satu jalan sahaja, iaitu meneruskan usaha pembangunan serta kemajuan negara, demi kepentingan rakyat terbanyak dengan penuh iltizam dan bertawakal kepada Tuhan seru sekalian alam. Lantaran itu, sebermula takwim 2015, tatkala, berdepan dengan ketidaktentuan harga minyak dunia dan kemelut ekonomi global, Kerajaan Tuanku tanpa berlengah telah membuat pengumuman khas untuk mengambil langkah-langkah proaktif, mengubah dasar-dasar, bagi memastikan negara kekal berada di trajektori dan landasan yang betul lagi tepat. Utama kepentingan rakyat Ini membuktikan, kerajaan yang ada hari ini adalah sebuah kerajaan yang pragmatik dan sistematik dalam menyusun serta mencartakan apa juga kepentingan rakyat, dengan berbuat yang sehabis baik. Selanjutnya, pada 28 April 2015 lalu, patik bagi pihak Kerajaan Tuanku telah mempersembahkan pula kepada rakyat Malaysia, Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan atau GTP dan Program Transformasi Ekonomi atau ETP. Sebagaimana ramai sedia maklum, program-program ini bernaung di bawah Dasar Transformasi Nasional atau DTN, yang telah digagaskan ketika mana patik mengambil tampuk kepemimpinan negara pada April 2009, yakni kira-kira enam tahun yang lalu. Dasar Transformasi Nasional, sebagai falsafah tunjang kepada pentadbiran negara dirangka sebagai satu peta hala tuju negara, dengan tujuan mentransformasi Malaysia secara tuntas dan holistik, demi melonjakkan kita sebagai sebuah negara maju, High Income Advanced Economy. Ia berasaskan kriteria antaranya, untuk mencapai pertumbuhan yang bersifat inklusif, mapan, dengan izin, growth with equity, kompetitif, progresif, rakyat yang bersahsiah dan kuat moralnya, dalam satu kehidupan masyarakat yang saling berpadu, mengamalkan pula kesederhanaan yakni wasatiyyah, berpaksikan kepada prinsip 1Malaysia. Dalam laporan tersebut, patik telah kongsikan kisah-kisah pencapaian kerajaan Tuanku yang dibukti dan diperkukuhkan melalui fakta kumpulan data serta angka yang sahih. Apa yang penting jua, segala yang tercatat dan dimaktubkan dalam laporan ini, telah mendapat pengiktirafan daripada pelbagai pihak, sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa, sekali gus diabsahkan oleh juruaudit bertauliah. Patik juga telah memaklumkan lima petunjuk utama pencapaian GTP dan ETP sepanjang lima tahun lalu bermula 2010. Antaranya, yang pertama, pendapatan perkapita rakyat Malaysia telah meningkat daripada AS$7,059 pada 2009, kepada AS$10,426 pada 2014; dan keduanya, hampir 170,000 golongan miskin telah berjaya dibawa keluar dari kepompong tersebut, susulan kenaikan jumlah pendapatan mereka dalam tempoh lima tahun ini. Ringkasnya, Program Transformasi Kerajaan atau GTP ini, telah melewati dua batas masa atau horizon sejak 2010, sehinggalah penghujung tahun ini. Ertinya lagi, horizon GTP 3.0 dan selanjutnya, akan membawa Malaysia masuk ke gelanggang negara maju dengan kehendak dan izin Allah jua menjelang 2020. Menjengah sisi lain, Alhamdulillah, baru-baru ini selepas 10 tahun, kita telah sekali lagi berjaya menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-26, yang menyaksikan Malaysia berperanan sebagai Pengerusi bagi tahun 2015. Pada sidang tersebut, yang telah diadakan di Langkawi, pimpinan ASEAN bersepakat mencapai dua perkara utama yakni, penubuhan komuniti ekonomi ASEAN dan keduanya, road map atau hala tuju ASEAN bagi tempoh 10 tahun akan datang. Ini merupakan satu lagi detik penting kepada lebih 600 juta penduduk di Asia Tenggara. Bina masyarakat produktif Melangkah ke hadapan, dengan kehendak dan izin yang Maha Berkuasa, patik bagi pihak kerajaan Tuanku, telah membentangkan Rancangan Malaysia Ke-11, dengan Enam Strategi Tumpuan merangkumi Inklusiviti, Kesejahteraan Rakyat, Modal Insan, Pertumbuhan Hijau, Infrastruktur dan Inovasi serta Produktiviti. Melalui RMKe-11 ini, khususnya, dalam hal menangani kos sara hidup, kerajaan akan berikhtiar bersungguh-sungguh, agar tiada golongan rakyat yang akan tercicir daripada menikmati manfaat kemakmuran dan pembangunan negara, terutama golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah, yakni bottom 40 percent atau B40. Dalam kata lain, RMKe-11 ini bertumpu untuk membangunkan sebuah tamadun holistik, di mana masyarakatnya memiliki nilai-nilai tinggi, berakhlak, mencintai pula ilmu pengetahuan, rajin membaca, menghargai seni budaya dan warisan serta memiliki minda yang mencerminkan pula rakyat sebuah negara maju. Jika disimpulkan, RMKe-11 yang bersifat inklusif ini, berhasrat memperkasa komuniti untuk membina masyarakat yang produktif dan sejahtera, merangkumi kanak-kanak, golongan kurang upaya, belia, wanita dan kaum majoriti Bumiputera. Selaras dengan konsep inklusiviti lagi, demi memastikan pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia tanpa mengira gender, etnik, status sosioekonomi dan kedudukan geografi, terutamanya pembangunan serta kemajuan yang sewajarnya di Sabah dan Sarawak. Dalam kata lain, tumpuan akan diberikan kepada semua kumpulan etnik, sub-etnik dan kumpulan minoriti, hatta rakyat Malaysia berketurunan Siam dan Portugis. Seperti dimadahkan orang, di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung. Maknanya, rumah juga bumbung adalah asas tempat berteduh dan berlindung dari panas serta hujan. Makanya, salah satu agenda terpenting dalam RMKe-11 adalah pemilikan perumahan rakyat. Jumlah yang disasarkan adalah 1 juta rumah mampu milik menjelang 2020 yang dijayakan oleh pelbagai sektor. Tingkat kualiti hidup Seterusnya, demi mendahulukan rakyat khususnya di kampung-kampung dan luar bandar, patik juga dengan sukacitanya telah mengumumkan satu program baharu yakni baik pulih kediaman secara besar-besaran. Ikhtiar murni yang dirancang, akan membabitkan sebanyak 400,000 rumah dalam tempoh rancangan. Moga-moga usaha ini, akan membawa keselesaan dan mendatangkan sentosa, kepada sejumlah besar rakyat Tuanku di serata pelosok negara ini. Sesungguhnya kejayaan Rancangan Malaysia dengan peruntukan RM260 bilion ini, sepanjang tempoh 2016 hingga 2020, akan hanya berjaya dengan sokongan semua pihak dan usaha ganding berganding oleh pelbagai lapisan rakyat, insya-Allah. Apa yang mustahak, kita perlu memupuk agar wujudnya national consensus atau kesefahaman nasional, yang menjadi teras kejayaan bukan sahaja menuju gerbang negara maju, bahkan dengan izin, beyond 2020 atau pasca 2020. Sekianlah sahaja persembahan ucapan patik. Sekali lagi patik mewakili pihak pentadbiran dan rakyat, menzahirkan rasa bangga serta betapa beruntungnya dinaungi oleh Tuanku. Sememangnya lagi, sekalian rakyat menghadratkan segala doa kepada Yang Maha Esa, agar Tuanku berdua sentiasa diperlindungkan dan dirahmati serta dilanjutkan usia zaman. Pucuk pangkalnya, patik sekalian bertekad untuk mendaki puncak-puncak yang baharu, cuba mengelakkan sebarang sengketa, bahkan mahu menyemai bibit-bibit persamaan, sekali gus mencipta ramuan-ramuan baru, demi memartabatkan sebuah negara aman makmur lagi dirahmati Tuhan seperti yang didamba-dambakan oleh semua. Mudah-mudahan, bersempena bulan Syaaban dan tidak lama lagi kita akan memasuki pula, bulan mulia Ramadan, segala rencana dan usaha oleh kerajaan Tuanku yang mendahulukan rakyat ini, dengan nawaitu ikhlas untuk kelangsungan sebuah Malaysia yang harmoni, seraya mengimarahkan ekonomi negara memperoleh pertolongan daripada Allah SWT jua. Amin,...Ya Robbal A'lamin.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/59790
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/59790
0 Komentar untuk " Teruskan agenda pembangunan demi kemakmuran negara "