Fauwaz kumpul buku sebagai harta - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Fauwaz kumpul buku sebagai harta

Menganggap buku sebagai harta yang paling disayangi dan dihargainya, pendakwah bebas yang juga Perunding Syariah Telaga Biru Sdn Bhd, Ahmad Fauwaz Fadzil, 34, sanggup kembali ke pejabat penulis untuk mengambil buku kecil miliknya yang tertinggal sewaktu temu ramah dengannya baru-baru ini. Beliau mula mengumpul buku sejak berusia 18 tahun dan sehingga kini koleksi buku dan kitabnya mencecah 5,000 naskhah yang kebanyakannya kitab berkaitan usul fiqh dalam bahasa Arab. "Dinding rumah dan semua bilik penuh dengan rak buku. Oleh kerana terlalu sayangkan buku, saya pernah berhutang ketika zaman belajar kerana tidak mampu membayar tunai. Boleh dikatakan, kebanyakan buku di perpustakaan ada di rumah dan pejabat saya," katanya. Bukan itu saja katanya, kerana minat terhadap buku, beliau sanggup bersusah payah mencari di setiap kedai untuk kitab yang diperlukan. "Saya pernah mengambil masa 10 tahun untuk mendapatkan satu kitab usul fiqh karangan Zakiyudin Syaaban kerana cetakannya sudah habis. Akhirnya saya berjaya mendapatkan kitab itu di sebuah kedai buku terpakai di Mesir, Walaupun sudah lusuh, saya tetap menghargai kitab itu. "Bagi saya, tidak kira buku lama atau rupanya sudah buruk, saya tetap sayang dan menghargainya. Sebenarnya sikap ini saya ambil daripada kebanyakan sheikh yang pernah mengajar saya ketika di Mesir. Mereka menghargai ilmu serta buku dan mempunyai koleksi buku di rumah mereka," katanya. 80 kotak besar buku dari Mesir Katanya, ketika mahu pulang ke tanah air selepas 10 tahun merantau di Mesir, beliau membawa pulang 80 kotak besar yang dipenuhi buku dan kitab. Disebabkan bebanan berat itu, beliau dan rakan yang membantu menguruskan buku itu turut demam beberapa hari kerana keletihan. "Setiap hari saya menghabiskan masa sekurang-kurangnya setengah jam untuk membaca buku atau kitab yang lazimnya dilakukan selepas solat Subuh. "Budaya membaca dapat dilihat dalam kalangan guru di Mesir. Tidak kira dalam kenderaan atau ketika bermusafir, malah sewaktu sakit pun, kitab atau buku akan menjadi peneman mereka. Sikap inilah yang saya ikut," kata anak jati Kedah ini. Dari sekolah pondok Ahmad Fauwaz yang juga personaliti rancangan agama mendapat pendidikan awal di Maktab Mahmud dan Pondok Derang, masing-masing di Kedah sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah di Universiti al Azhar di Mesir selama empat tahun. Beliau kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran fatwa selama empat tahun. Selepas itu, Ahmad Fauwaz terus tinggal di Mesir untuk mendalami ilmu agama dengan sheikh yang terkenal di beberapa masjid di negara itu. Sekembali ke tanah air, beliau mula berjinak dalam bidang dakwah dengan menjadi penceramah bebas selama dua tahun sebelum ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej Universiti Insaniah di Kedah. Kerjayanya terus berkembang apabila dilantik sebagai Pengarah Pengajian Islam Pusat Asasi kolej berkenaan. Bagaimanapun, tidak sampai dua tahun berkhidmat beliau berhenti dan bekerja di syarikat penerbitan Pelima sebagai Perunding Syariah dan Pegawai Eksekutif. Setahun selepas itu beliau menerima tawaran berkhidmat dengan syarikat penerbitan, Telaga Biru Sdn Bhd sebagai perunding syariah sehingga hari ini. Dengan tugas di Telaga Biru itu, beliau menyemak hampir 40 buku dan 100 artikel setiap bulan. Kajiannya lebih mendalam jika penulisan mengenai perkara baharu. Ahmad Fauwaz turut dilantik sebagai panel dalam menggubal modul fatwa bersama JAKIM dan panel pakar akidah Jabatan Agama Islam Perak. Taktik makan makanan Arab Melanjutkan perkongsian cerita ketika berada di Mesir, beliau turut terkejut dengan cara pemakanan masyarakat Arab yang boleh menghabiskan hidangan yang banyak dalam satu-satu masa. "Masa mula sampai di Mesir, seorang senior mengajak saya makan di satu kedai di kawasan Abbasiyah. Setiap orang dihidangkan seekor ayam. Saya terperanjat melihat hidangan sebanyak itu. Di tempat kita, ayam sepotong pun susah nak habiskan inikan pula ayam seekor. Semua pelanggan habis makan ayam itu, saya saja yang tidak habis. Ayam itu hanya dimakan bercicahkan jintan dan garam. "Kali kedua ke kedai yang sama, saya sudah tahu taktik untuk menghabiskan seekor ayam, jangan berbual ketika makan dan pergi ke kedai itu dengan perut kosong. Akhirnya berjaya juga menghabiskan ayam itu," katanya. Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan di perantauan ialah apabila ditipu pemandu teksi yang menghantarnya untuk ke kedai makan tepi sungai. "Masa itu, saya baru sampai. Kami menahan teksi bersama beberapa rakan untuk mencari kedai makan yang sedap di tepi sungai. Selepas membawa kami dalam perjalanan yang agak jauh, pemandu memberhentikan kami di kedai makan itu. Selepas teksi beredar, barulah kami sedar kami tertipu dan kedai itu hanya beberapa meter dari kediaman kami di tempat kami menahan teksi tadi," katanya. Budaya hormat guru Di Mesir juga, beliau mempelajari budaya menghormati guru yang sangat tinggi dalam kalangan masyarakat sana sehingga beliau sanggup menjadi 'khadam' kepada guru. "Masyarakat sana sangat memandang tinggi guru. Sebagai murid, kita sentiasa mahu berkhidmat kepada guru kita. Ambilkan komputer bimbit, susun kasut dan pelbagai lagi urusan bagi kemudahan guru. Paling manis apabila pensyarah, Dr Saaduddin Mus'ad Hilali datang menziarahi saya sakit dan memberikan wang saku. "Kami rapat dan sayang dengan guru. Prinsipnya mudah, jika kita kedekut dalam menghormati guru, mereka juga akan kedekut ilmu dengan kita," katanya yang mendirikan rumah tangga dengan juruukur, Anis Azueen Mahasan, 28, sejak tiga tahun lalu. Pendakwah, katanya, perlu mempunyai bekalan ilmu dan maklumat yang banyak. Perlu mempunyai perancangan dan sentiasa bersedia meneroka ilmu Islam dan Barat bagi membantu memulihkan masyarakat mengikut kemampuan mereka. "Dalam melengkapkan diri sebagai pendakwah, saya turut menyertaikursus perundingan imej yang dikendalikan kakak saya dan kursus komunikasi bagi memudahkan berdepan dengan orang ramai dan mempengaruhi mereka dengan dakwah," kata anak ketujuh daripada lapan beradik ini.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/57038
0 Komentar untuk " Fauwaz kumpul buku sebagai harta "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ