Mendepani isu yang menghantui negara hari ini, kerajaan tidak perlu tunduk kepada sebarang tekanan kerana itu bukan penyelesaian terbaik. Perkara terbaik ialah memberi fokus kepada menangani permasalahan yang timbul secara kolektif dan membetulkan kesilapan secara bersama. Kerajaan mesti terus meneguhkan pendirian, bukan lari daripada masalah kerana itu langkah yang tidak proaktif. Malaysia sebagai negara demokrasi, kuasa menentukan mandat pemerintahan negara adalah rakyat, bukan mana-mana individu. Peletakan jawatan pemimpin negara hanya akan mencetuskan ketidakstabilan, selain merencatkan pentadbiran negara yang kini di ambang menjadi negara maju. Dalam konteks ini, Islam meletakkan proses penjernihan jiwa sebagai perkara yang amat penting. Islam sentiasa memberi galakan dan bimbingan kepada setiap Muslim supaya sentiasa menjaga kebersihan. Orang Islam hendaklah sentiasa berkeadaan bersih dan suci, bukan hanya setakat menjaga tubuh badan dan pakaian, malah jiwa dan tingkah laku perlu diawasi selalu supaya tidak melakukan pelanggaran terhadap garis panduan dan perintah Allah SWT. Awasi jiwa, tingkah laku Menjaga kebersihan dan kejernihan fizikal serta jiwa adalah kepastian bagi mencapai kecemerlangan. Apa yang dimaksudkan dengan penjernihan jiwa di sini ialah pembersihan akidah dan kepercayaan dari segala bentuk syirik dan nifaq, begitu juga bersih jiwa daripada dosa dan maksiat secara taubat yang sebenar (taubah nasuha). Selain itu, membersihkan hati dan jiwa daripada segala sifat yang keji seperti hasad dengki, dendam, ujub, riak, takbur dan suka mencari kesilapan orang lain. Al-Quran menjelaskan mengenai keadaan orang yang tidak bersih akidahnya seperti firman-Nya yang bermaksud: "Dan di antara manusia ada yang berkata: Kami beriman kepada Allah dan hari akhirat; padahal mereka sebenarnya tidak beriman. Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya." (Surah al-Baqarah: 8-9). Seterusnya Allah SWT menjelaskan perihal orang munafik yang tidak bersih iman dan bersifat keji seperti firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya orang munafik itu menipu Allah dan Allah akan membalas tipu daya mereka. Apabila mereka berdiri untuk sembahyang mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riak' (dengan sembahyang) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali." (Surah al-Nisa': 142) Allah SWT memerintahkan hamba-Nya supaya membersihkan batin dengan berlaku ikhlas dan yakin kepada nilai yang luhur, mencintai kebaikan, sabar, benar, merendah diri serta segala amalan yang dilakukan semata-mata kerana Allah SWT. Selagi jiwa dibiarkan bersarang dengan sifat keji, maka kebersihan dan kejernihan yang dituntut oleh syarak masih belum sempurna. Perkasa kerohanian Allah SWT menganjurkan Rasulullah SAW mengikuti manhaj memperkuatkan kerohanian dan membersihkan hati serta jiwa seperti firman-Nya yang bermaksud : "Wahai orang yang berselimut!. (1) Bangunlah sembahyang Tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), (2) Iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu, (3) Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan 'Tartil.' (4) (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya). (5) Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya. (6) (Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan yang panjang kira bicaranya; (7) Sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan penuh ketekunan." (Surah al-Muzzammil:1-8) Ayat itu menunjukkan manhaj al-Quran dalam pembersihan dan penjernihan jiwa. Manhaj ini diamalkan oleh Rasulullah SAW sebelum baginda memulakan dakwahnya kepada masyarakat. Pendidikan yang ditunjukkan oleh al-Quran ialah melalui sembahyang qiyam al-Lail (solat sunat tahajud), membaca al-Quran dan berzikir mengingati Allah SWT. Menunaikan amalan berkenaan pada waktu tengah malam ketika kebanyakan manusia pada masa itu sedang tidur nyenyak, boleh menimbulkan kedamaian dan kekhusyukan kerana tidak ada gangguan dan kesibukan. Sirah mencatatkan cabaran yang dihadapi oleh Baginda SAW amat hebat. Abu Jahal contohnya pernah menawarkan jawatan raja, perempuan cantik dan harta kekayaan supaya Rasulullah SAW tidak meneruskan perjuangan Islam, namun berdasarkan kekuatan integriti dan maruah, Rasulullah SAW menolak semua tawaran itu. Al-Quran turut menyebut beberapa watak pimpinan korup yang tidak berintegriti sehingga merosakkan negara dan memecahbelahkan masyarakat. Akhirnya ketika di dunia lagi mereka menerima balasan terhadap kekejaman yang dilakukannya. Watak itu ialah Fir'aun, Haman dan Qarun. Seorang Muslim yang jernih jiwanya akan sentiasa berusaha untuk menjadi insan yang ikhlas, penyayang, baik hati dan amanah. Senyuman yang diberikan mencerminkan keikhlasan dan ketulusan hati seseorang Muslim. Apabila orang lain bercakap dia dengar, apabila sahabat menangis, dia turut bersedih. Sifat ini terpancar daripada jiwa insan Muslim yang bersih dan jernih. Yakin dan tawakal Insan Muslim yang jernih jiwanya meyakini Allah SWT amat pemurah lagi amat mengasihani. Oleh itu, insan ini yakin kepada kemampuan dan usaha diri sendiri, setelah itu ia bertawakal kepada Allah SWT. Muslim yang jernih jiwanya akan terserlah sifat tabah dalam menghadapi cabaran dan dugaan. Sabar menanggung kesusahan dan kesukaran, menahan diri daripada melakukan maksiat dan kemungkaran, tabah menghadapi kesulitan, tidak mengeluh dan mengutuk nasib. Setelah terbentuknya peribadi yang luhur itu, seseorang Muslim mampu melahirkan persekitaran yang baik membawa kecemerlangan organisasi dan masyarakat kerana sikap yang baik akan menyerlahkan sikap menghormati orang lain, rakan dan ketua sebagai individu lain yang turut mempunyai hak tersendiri. Elak kerosakan fizikal, psikologi Adalah menjadi tanggungjawab seseorang untuk menghindarkan diri daripada melakukan kerosakan, sama ada fizikal atau psikologi terhadap orang lain. Menjadi tanggungjawab seseorang untuk melakukan kebaikan kepada orang lain, sekalipun menyusahkan diri sendiri. Seseorang Muslim mesti memegang janji, melakukan apa yang benar, setia dan menghormati orang lain serta institusi. Hanya dengan kesetiaan kita dianggap sebagai insan yang dipercayai. Jiwa yang bersih berfungsi sebagai penjaga yang menghalang seseorang daripada melakukan pelanggaran terhadap perintah Allah SWT. Penulis ialah penasihat Agama kepada Perdana Menteri
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/56804
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/56804
0 Komentar untuk " Penjernihan jiwa mendepani cabaran semasa "