Wanita perlu lebih bermakna - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Wanita perlu lebih bermakna

DALAM undang-undang negara kita, tidak ada apa-apa peruntukan sekalipun yang menghalang seorang wanita daripada menjadi menteri besar, ketua menteri atau perdana menteri. Malahan, Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin kesamarataan dan kebebasan daripada diskriminasi.

Namun, ramai yang menganggap bahawa terdapat kemungkinan yang lebih besar untuk kita melihat seorang perdana menteri bukan Melayu, yang juga tidak dihalang Perlembagaan, daripada kita melihat seorang perdana menteri wanita.

Status wanita di negara ini adalah jauh lebih baik jika dibandingkan dengan sesetengah negara lain, contohnya di India atau Arab Saudi. Wanita di negara ini mempunyai akses kepada pendidikan dan diberikan peluang dalam pekerjaan, contohnya, walaupun peluang itu tidak seluas lelaki. Tetapi pada masa yang sama, kita tidak boleh nafikan bahawa wanita di sini masih berhadapan dengan diskriminasi. Mungkin selalunya tidak secara terangan, tetapi masih terdapat pelbagai bentuk diskriminasi terhadap wanita di negara ini.

Masalahnya adalah pada sikap kita terhadap wanita. Kita hanya menerima wanita daripada ‘acuan’ tertentu kerana pada kita, inilah ciri-ciri yang patut ada pada seseorang wanita. Maka wanita yang tegas, yakin dan berpendapat sering kali dilihat dengan negatif. Kita beranggapan bahawa wanita tidak berupaya untuk memikul tanggungjawab tertentu, terutama sekali tampuk kepimpinan tertinggi.

Sikap patriakal ini amat ketara dalam budaya politik kita. Ahli politik wanita diberi tugasan yang ringan atau yang berkait dengan wanita, kanak-kanak atau keluarga sahaja. Kita boleh terima wanita menjadi menteri atau exco kerajaan negeri, tetapi hanya seorang lelaki boleh memegang tampuk tertinggi kuasa. Lihat sahaja bantahan terhadap seorang calon menteri besar pada masa itu atas dasar bahawa beliau adalah seorang wanita.

Kita mahu ahli politik wanita kita untuk bercakap, berpakaian dan berkelakuan tertentu. Kita juga lebih mudah memaafkan kesilapan dan keterlanjuran ahli politik lelaki berbanding dengan ahli politik wanita. Ahli politik lelaki yang terperangkap dalam kontroversi mempunyai peluang lebih baik untuk mendapat peluang kedua berbanding dengan seorang politikus wanita dalam keadaan yang sama.

Walaupun hampir kesemua parti politik di Malaysia mempunyai sayap wanita, ia masih tidak diterjemahkan kepada penglibatan wanita yang lebih bermakna pada tahap pimpinan tertinggi parti politik tersebut. Malahan, kewujudan sayap wanita telah sedikit sebanyak mengehadkan penglibatan wanita dalam politik tertinggi. Ini kerana, puncak kerjaya politik seorang politikus wanita secara realistiknya adalah menjadi ketua kepada sayap wanita, bukannya presiden atau pengerusi parti tersebut.

Tidak dinafikan, walaupun dengan halangan-halangan ini, masih ada ramai ahli politik wanita yang telah berjaya. Tetapi ia tidak bermaksud masalahnya tidak wujud.

Kita harus menggalakkan lebih banyak penglibatan wanita yang lebih bermakna dalam politik. Untuk mencapai matlamat ini, kita harus meninggalkan sikap dan mentaliti lapuk kita tentang keupayaan wanita memikul tanggungjawab menerajui sebuah parti, negara mahupun negeri.

Kita kena mula melihat penglibatan wanita dalam politik lebih daripada ‘buat cukup syarat’ atau ‘tokenism’ dan menerima hakikat bahawa seorang wanita mempunyai keupayaan yang sama dengan seorang lelaki dalam hal politik. Ini memerlukan kerjasama dwi-parti demi mengangkat martabat wanita dalam politik dan mengubah sikap patriakal yang sedia ada. Ia akan memerlukan masa, kerana mengubah mentaliti dan sikap bukannya mudah, tetapi ia boleh dilakukan.

Hanya dengan cara ini boleh kita percaya bahawa terdapat kemungkinan akan terpilihnya seorang perdana menteri, menteri besar atau ketua menteri wanita.

* Penulis seorang peguam di Kuala Lumpur

0 Komentar untuk " Wanita perlu lebih bermakna "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ