Umar al-Khattab dikalahkan wanita! - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Umar al-Khattab dikalahkan wanita!

SYAITAN pun takut dengan Umar al-Khattab! Nabi Muhammad SAW pernah bersabda bahawa kalau ada nabi selepas kewafatan Baginda SAW, Umarlah orangnya.

Di bawah pimpinan beliau sebagai khalifah, kedua-dua superpower iaitu Empayar Parsi di timur dan Empayar Roma di barat tidak mampu menghalang tentera pimpinan Umar yang terdiri daripada askar Muslim dan askar multikultural untuk mara ke pusat empayar mereka. Palestin dan seluruh empayar Parsi tunduk kepada pemerintahan Umar.

“Tetapi siapakah yang kalahkan Umar al-Khattab yang hebat ini?” saya tanya pelajar saya yang terkejut dengan soalan ini. Umar pernah kalah?

Tiada seorang pun pelajar saya berjaya menjawab teka-teki ini. “Ya, Umar pernah kalah di tangan seorang wanita, tetapi kekalahan yang membawa kemenangan kepada makna tamadun!” saya memberi sedikit pencerahan, tetapi masih tiada sebarang jawapan.

Satu hari, Umar sebagai khalifah atau ketua empayar yang begitu besar telah mengumumkan polisi negara yang baru di khalayak ramai iaitu tiada mahar nikah yang melebihi 400 dirham. Niat Umar baik. Beliau tidak mahu mahar wanita Muslimah melebihi mahar Rasulullah SAW tetapkan untuk puteri-puteri Baginda.

Seorang wanita daripada rakyat jelata bangun dan mengkritik pandangan Umar dengan hujah-hujah ilmiah. Wanita ini membawa pendapat bahawa seorang pemimpin tidak berhak untuk menentukan had mahar. Ini adalah hak rakyat yang tidak tertakluk pada budi bicara khalifah. Akhirnya, Umar mengumumkan: “Wanita ini betul dan Umar salah!”

Apabila Umar menangkan pendapat wanita ini, beliau meletakkan maslahat rakyat atas ego dirinya sendiri. Sebenarnya Umar menang. Umar tidak membenarkan syaitan kalahkan keimanan beliau terhadap kebenaran. Inilah makna ketamadunan.

Apabila seorang ahli politik sedang memberi syarahan yang mengkritik GST baru-baru ini di sebuah institusi pendidikan, mikrofon beliau telah dirampas di hadapan ramai pelajar. Adakah ini sifat tamadun?

Pada masa sama, seorang ulama di Kelantan menghentam usaha yang telah dilakukan untuk membenarkan Kit Siang mengkritik Kanun Hudud di Kelantan. Beliau menganggap usaha ini mengkhianati agama. Adakah ini sifat tamadun?

Ya, mengkritik “kanun”, bukan hudud atau Islam. Kanun adalah ijtihad ulama yang mungkin salah atau betul. Sedangkan Umar pun boleh salah!

Kedua-dua peristiwa di atas akan membuka pintu kepada syaitan untuk masuk ke hati umat Islam. Daripada satu pihak, sebarang kritikan kepada polisi ahli politik dianggap hasutan. Daripada satu pihak lagi, sebarang kritikan kepada ijtihad ulama
dikafirkan. Kedua-dua peristiwa memandulkan ketamadunan ummah dan memenangkan emosi dan ego setengah golongan.

Kita tidak perlu sebuah “kit jampi untuk halau syaitan” seperti yang dipromosikan oleh sebuah institusi pendidikan. Syaitan takut pada Umar kerana beliau tidak taksub pada dirinya. Syaitan menjajah kita kerana kita mudahkan diri kita dijajah.

Aku dibuat daripada api dan kamu daripada tanah, maka kamu yang patut sujud pada aku. Aku pegang kuasa politik, aku ulama dan kamu sekadar rakyat biasa, maka kamu wajib taat buta pada aku.

Kita lihat bagaimana Umar faham makna tamadun. Rakyat rasa selamat untuk menyuarakan pendapat kepada Khalifah. Suasana yang selamat inilah yang syaitan takut. Wanita tersebut rasa selamat untuk kritik pendapat Umar di khalayak ramai. Apabila

Nabi Muhammad SAW ditanya siapa itu “Muslim”, Baginda menjawab bahawa seorang Muslim ialah insan yang membuat umat Muslim rasa selamat daripada lidahnya dan tangannya. Maknanya dalam konteks politik, rakyat tidak mencerca kepimpinan dengan lidahnya dan pemimpin tidak menzalimi rakyat dengan tangannya.

Sejauh manakah kepimpinan kita membuat umat kita rasa selamat?

Apabila Umar menjadi khalifah, beliau menjemput rakyat untuk membetulkan beliau jika beliau salah. Seorang rakyat Badwi berkata: “Kalau kami membetulkan Umar dengan pedang kami jika kami dapati Umar salah, bagaimana?”

Umar jawab: “Alhamdulillah kerana di kalangan umat Muhammad ada rakyat yang hendak membetulkan kesalahan Umar!”

Inilah resipi Umar al-Khattab menakluki dunia timur dan barat, membina sebuah tamadun dunia yang begitu kaya, gagah dan berilmu.

*Abdul Naser Tun Rahman Tokoh pendakwah Perak

0 Komentar untuk " Umar al-Khattab dikalahkan wanita! "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ