Ulama kecewa dengan ulama - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ulama kecewa dengan ulama

“SAYA periksa niat saya mengajar dan saya dapati niat saya mengajar sebenarnya bukan kerana ALLAH SWT semata-mata. Saya juga mengajar kerana saya inginkan jawatan yang lumayan dan pengiktirafan umum.”

Ini ialah pengakuan seorang ulama terkenal yang telah menulis kitab-kitab agama yang mendapat pengiktirafan dunia. Ulama ini adalah seorang pensyarah di sebuah universiti islamik. Beliau mendapat pengiktirafan yang tinggi daripada kerajaan sebagai ulama negara.

Beliau sangat popular dalam kalangan mahasiswa kerana pemikiran beliau yang tajam dan tulisan-tulisan yang jelas. Satu daripada kitab beliau baru sahaja mendapat pengiktirafan dunia sunni kerana berjaya mematahkan hujah-hujah falsafah Barat yang anti-aqidah Islam.

Dunia sekarang di dalam genggaman ulama ini. Kaya, glamor, berpengaruh, dihormati dan berjawatan tinggi.

Tetapi walaupun dalam zon selesa yang kononnya islamik, ulama ini rasa bumi yang dipijaknya tidak kukuh dan akan runtuh bila-bila masa.

Kitab-kitab agama yang ditulisnya sebenarnya tiada roh  walaupun ramai peminat. Beliau berkata bahawa beliau hanya mampu memberi takrif mabuk dengan ilmiah tetapi beliau sebenarnya tidak pernah rasa mabuk. Bahkan, mereka yang mabuk tidak tak tahu kenal takrif mabuk.

Seorang yang sihat tidak memerlukan takrif sihat. Bahkan yang pandai memberi takrif sihat mungkin dia tidak sihat sama sekali pada hakikatnya walaupun dia seorang doktor!

Hati ulama ini mendesaknya untuk meninggalkan zon selesanya, universitinya, dunia islamiknya. “Hari ini, kaki saya melangkah keluar ke depan tetapi keesokan hari, satu lagi kaki menarik saya ke belakang,” kata ulama ini.

Krisis rohani ulama ini berterusan dalam keadaan tidak menentu untuk selama enam bulan. Akhirnya, beliau jatuh sakit tenat sehingga tidak lagi mampu memberi syarahan.

Lidahnya kelu, tidak mampu menyebut walaupun sepatah perkataan. Beliau tiada selera untuk makan dan minum walaupun seteguk air.

Akhirnya, beliau mengambil keputusan meninggalkan zon selesanya. Rakan-rakan beliau termasuk ulama memfitnah beliau.

Mereka menuduh beliau melarikan diri kerana ada masalah politik dengan kerajaan. Ada yang berkata bahawa beliau terkena sihir! Ramai mengatakan beliau bodoh kerana apa yang beliau capai adalah impian semua ulama.

Daripada seorang ulama di universiti islamik yang berpengaruh, beliau menjadi seorang penyapu sampah selama 10 tahun. Selepas 10 tahun, beliau kembali ke universiti. Tetapi tidak lama. Akhirnya beliau, meninggalkan universiti kali kedua untuk kembali ke kampungnya dan meninggal di kampungnya sendiri.

Ulama ini adalah Abu Hamid Muhammad al-Ghazali atau lebih dikenali sebagai Imam al-Ghazali, pengarang kitab yang masyhur iaitu Ihya Ulumuddin. Beliau telah menulis pengalaman dan krisis rohani beliau dalam kitabnya yang bertajuk al-Munqidh Min al-Dhalal.

Dalam dunia Melayu, karya Imam al-Ghazali sudah menjadi darah daging budaya Melayu. Saya teringat kata-kata Allahyarham Ustaz Uthman El-Muhammadi, “Kamu kena khatam kitab Ihya untuk menjadi mabuk dalam Islam.”

Pada muqaddimah kitab Ihya Ulumuddin, al-Ghazali menulis bahawa objektifnya menulis kitab ini ialah untuk mengkritik para ulama fekah yang kosong jiwanya seperti yang terjadi pada beliau.

Allahyarham Syeikh Ramadhan al-Buti tidak membenarkan orang tunduk mencium tangannya. Beliau berkata, “Saya boleh sahaja membenarkan orang tunduk cium tangan saya dengan memberi alasan bahawa saya mengajar adab hormat.

ALLAH SWT tahu keaiban diri saya dan telah menutup keaiban saya dan menonjolkan kelebihan diri saya pada mata umum. Tetapi saya kenal kelemahan diri saya. Maka, saya melarang orang mencium tangan saya.”

Ulama seperti Syeikh Ramadhan dan Imam al-Ghazali adalah ulama yang sedar bahayanya bila berstatus ulama. Apatah lagi bila ulama berasakan bahawa hanya mereka sahaja yang layak memimpin negara atau parti seolah-olah setiap keberkatan wajib melalui dirinya dulu sebelum sampai kepada semua.

Maka, keluarlah cemuhan terhadap yang secara simboliknya “enggan tunduk mencium tangannya” dengan label ‘barua’, ‘liberal’ dan ‘pengkhianat’.

Rakyat multikultural menyeru kepada ulama agar keluarlah dari zon selesa dan kitab-kitab untuk menghayati roh kemanusiaan tanpa prejudis politik, bangsa dan agama.

* Abdul Naser Tun Rahman, Tokoh pendakwah Perak

0 Komentar untuk " Ulama kecewa dengan ulama "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ