Jasa ulama Pahang kembang pondok - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jasa ulama Pahang kembang pondok

PENEMUAN sebuah kubur di Permatang Pasir Pekan (atau Keramat Teluk Cik Munah) adalah antara bukti kukuh bahawa Islam mungkin sampai ke Pahang lebih awal daripada Melaka atau Terengganu.

Pada batu nisan di kubur itu tercatat tarikh kematian, iaitu Rabu 14 Rabi’ 419H, yakni bersamaan tahun 1028.

Manakala ramai tokoh sejarah dan pengkaji berpendapat kedatangan Islam ke Melaka adalah pada 1414 dan ke Terengganu pada awal abad ke-14 berdasarkan Batu Bersurat Kuala Berang.

Perkembangan Islam di Pahang banyak dipengaruhi kemajuan Melaka sebagai kerajaan yang besar dan stabil, selain pelabuhan dan pusat perdagangan utama pada abad 15 dan 16. Pahang berada dalam naungan Melaka ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah.

Kedatangan beberapa ulama terkenal juga telah membantu perkembangan Islam di Pahang. Antara mereka adalah Hamzah Fansuri dan Nuruddin Al-Raniri.

Ulama paling tersohor di Pahang ialah Tok Shihabuddin, yang hidup sezaman dengan Sheikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis, seorang ulama Terengganu yang terkenal dan kebetulan pernah mengajar di Pahang.

Antara gurunya ialah Tok Mengkarak, Hj Ismail Pondok Bangau dan Fakeh Yusuf Abdul Salam al-Betawi. Tok Shihabuddin menjadikan Temerloh sebagai tapak untuk membuka pondoknya bertujuan mengajar, berdakwah dan menyebar ilmu agama kepada masyarakat.

Beliau menulis beberapa kitab seperti Sirat al-Mustaqim dan syair seperti Syair Asyikin, Syair Kiamat, Syair Burung, Syair Rejam dan Syair Kayu. Juga, beliau pernah berdebat dengan gurunya sendiri, Tok Mengkarak, tentang Ajaran Martabat Tujuh.

Anak-anak Tok Shihabuddin juga mewarisi ilmu daripadanya dan menjadi ulama yang banyak berjasa. Paling prominen dalam kalangan anak-anaknya ialah Tuan Teh, yang terkenal kerana mendedahkan kesesatan gerakan dan ajaran agama yang dibawa Tok Mengkarak.

Atas hujah yang mantap dan penyampaian yang jelas, Tuan Teh mampu menghalang ajaran yang sesat ini daripada merebak dan mempengaruhi orang Islam di Pahang.

Seorang lagi ulama tersohor ialah Hj Uthman Senik (lahir 1838) yang berasal dari Kelantan keturunan Sheikh Abdul Halim. Beliau berhijrah ke Pulau Tawar, Pahang pada 1922 lalu membuka pondok di Kampung Ketapang mengajar agama dan mengembangkan Islam.

Pondoknya sangat terkenal dan ramai orang kenamaan yang datang belajar dengannya. Antara mereka termasuklah Sultan Ahmad I, Hj Mat Daud Zainal Abidin (datuk kepada  Allahyarham Tun Abdul Razak sebelah ibu), Kadi Besar Pahang Lebai Yusuf, Tuan Guru Hj Daud, Kadi Kuantan Datuk Setia Penggawa Abu Bakar dan Mat Kilau.

Dikenali sebagai Tok Botok kerana badannya yang agak gempal, Hj Uthman dilantik Sultan Ahmad I (1882-1914) sebagai Mufti Pahang pada 1905.

Beliau  berkhidmat sebagai mufti selama 20 tahun semasa pemerintahan Sultan Ahmad I, Sultan Mahmud (1914-1917) dan Sultan Abdullah (1917-1932).

Di atas jasa dan sumbangannya, beliau juga dilantik sebagai Ahli Mesyuarat Negeri, justeru membuka ruang lebih besar kepadanya untuk berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan dan menyumbang kepada usaha dakwah.

Selain Hj Uthman, seorang lagi ulama Kelantan yang menabur jasa di Pahang ialah Hj Ishak Ahmad, yang diketahui menyokong Imam Perang Rasu atauTok Gajah dalam perjuangan menentang penjajahan British.

Berguru dengan bapanya sendiri dan Hj Yaakob (atau Tuan Padang, juga keturunan Sheikh Abdul Halim), kedatangan Hj Ishak ke Pulau Tawar, Pahang pada penghujung abad ke-19 serta kegiatan dakwahnya telah menaikkan semangat para pejuang Pahang sehingga berjaya menawan Balai Polis Kuala Tembeling dan kubu British di Jeram Ampai pada 1894.

Seperti Hj Uthman, beberapa ulama juga terbabit dalam pentadbiran negeri. Haji Ibrahim bin Abu Hurairah (1874-1916), seorang ulama dari jurai keturunan Tok Shihabuddin, dilantik Kadi Besar pertama oleh Sultan Ahmad I.

Bermukim di Kuala Lipis, beliau menghasilkan sebuah kitab terkenal berjudul Shifa’ al-‘Abdan wa al-Qulub pada 1917. Selepas beliau, ulama yang dilantik Kadi Besar ialah Hj Muhammad Daud bin Hj Zainal Abidin (1921).

Keturunan Al-Attas turut berperanan sebagai ulama dan penasihat agama kepada Istana dan pembesar Pahang. Misalnya, Tuan Syed Hassan bin Ahmad Al-Attas yang menjadi Penasihat Agama kepada Sultan Ahmad I dan Tuan Syed Abdullah Syed Omar Al-Attas yang menjadi Penasihat Agama kepada Bendahara Pahang Tun Ali I.

Kedua-dua ulama ini diberi pengiktirafan dan penghormatan dalam bentuk penamaan sebuah pulau iaitu Pulau Habib Hassan oleh Sultan Ahmad I bagi memperingati jasa bakti Tuan Syed Hassan dan sebuah kampung di Pekan iaitu Kg Maulana sempena ketokohan Tuan Syed Abdullah.

0 Komentar untuk " Jasa ulama Pahang kembang pondok "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ