Simpan lebih 30,000 naskhah buku - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Simpan lebih 30,000 naskhah buku

TULISAN dan komennya sentiasa segar di dada akhbar. Luahannya untuk bangsa, agama dan negara, sebagaimana pernah dilaungkan rakan seperjuangannya, bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad ketika masih mentadbir negara sebelum ini.

Namun tiada siapa mengetahui di sebalik kejayaan dimilikinya, yang menjadi pendorong kepada bapa tujuh anak ini.

Malah, tiada siapa menyangka, Pengasas Kolej Wadi Sofia yang dilahirkan 3 Oktober 1945 dan kini berusia 70 tahun ini mempunyai kediaman unik berserta galeri yang dipenuhi dengan buku dan gambar lama.  Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, SITI FATIHAH AWANG dan juru foto, KHIRU SHALEH ABDULLAH di Gallery, Achieve & Library (GAL) milik veteran Umno, Datuk Hassan Harun, baru-baru ini.

Berapa jumlah keseluruhan buku simpanan Datuk?

Sehingga kini, saya menyimpan lebih 30,000 naskhah buku. Hampir 80 peratus buku tersebut berbahasa Inggeris, malah kebanyakannya sudah berkali-kali saya baca. Pelbagai jenis buku, bukan hanya buku ilmiah, malah majalah pun ada, akhbar lama pun ada. Semuanya jenis bahan bacaan saya baca. Bagi saya, setiap bahan itu mempunyai kualiti ilmu tersendiri, yang mana kita tidak akan tahu selagi kita tidak membacanya.

Saya turut simpan beribu kamus bagi memastikan ia menjadi pembantu saya ketika menelaah sesebuah buku yang mungkin menggunakan bahasa agak tinggi untuk difahami, namun alhamdulillah, sehingga kini, bukan sahaja dapat memahami dengan jelas, saya juga boleh menterjemahkan bahan bacaan saya itu kepada sebuah buku lain. Namun kadang-kadang saya tidak berkesempatan melaksanakannya sepenuhnya.

Selain buku, Datuk juga dikatakan menyimpan gambar lama. Berapa jumlah simpanan Datuk hingga kini?

Ya, saya menyimpan hampir 20,000 keping gambar lama yang mempunyai pelbagai kenangan tersendiri. Ia nilai sentimental saya yang masih ada terutama kenangan bersama arwah ibu, Sofia dan saya mengabadikan namanya dalam sekolah saya sekarang ini. Gambar ini juga berkat daripada ajaran dan didikan ibu saya yang menjadikan budaya menyimpan gambar dan buku sebagai kenangan serta rujukan. Dulu, ibu saya tidak ada tempat untuk simpan semua ini, maka dia akan simpan di bawah katil, dalam raga dan sebagainya. Setiap kali saya kemas bilik, saya mesti jumpa barang simpanan ibu. Bila sampai satu masa, saya wujudkan galeri ini untuk simpan semua buku dan gambar yang ibu tolong simpankan untuk saya sebelum ini. Kini, baru saya tahu kenapa ibu buat semua itu, manakan tidak, bagaimana saya harus tunjukkan pada anak dan cucu bagaimana saya ketika di darjah satu (tahun 1953) dan sebagainya. Berkat usaha ibu, anak dan cucu saya dapat lihat kembali zaman itu dengan adanya bukti gambar ibu simpan.

Apakah nilai kebaikan yang tersembunyi dalam setiap tindakan arwah ibu Datuk?

Ibu saya mendidik kumpulan budaya yang cukup baik iaitu rajin, percaya pada diri, pembersih dan utamakan agama. Aspek ini menjadi pegangan saya sehingga kini. Saya didik anak dan cucu pula. Ibu tidak mempunyai pendidikan tinggi untuk beri ilmu pada saya ketika itu tapi ibu mempunyai satu kekuatan iaitu membesarkan saya penuh kasih sayang, mendisiplinkan diri saya walaupun saya beberapa kali gagal dalam pelajaran tapi ibu tidak pernah sekalipun tidak menyokong saya ketika itu. Ibu saya selalu berpesan, ke mana pun kita pergi, ilmu itu ada di mana-mana dan jangan memilih ilmu, sebagaimana kita memilih buku di kedai kerana ilmu itu subjektif. Sejak itu, saya pergi mana sekali pun saya mesti beli satu buku untuk bawa pulang, dalam negara atau luar negara. Itu bukan alasan, tetap ada satu buku yang dibeli dan kebanyakannya habis dibaca dalam masa dua-tiga hari sahaja kerana saya seorang yang mengamalkan budaya cepat membaca.

Bagaimana timbul idea 'galerikan' semua buku dan gambar tersebut?

Pertamanya, saya suka membaca, maka tidak salah saya simpan semua bahan bacaan kesayangan sejak saya masih kecil terutama buku berbahasa Inggeris, kerana bagi saya, ilmu itu kita mesti membaca, dan saya berjaya sehingga hari ini juga adalah kerana budaya membaca yang saya tanamkan dalam diri berkat didikan ibu.

Namun saya adalah Melayu tulen yang memperjuangkan bahasa Melayu dan bangsa Melayu, sebagaimana Tun Mahathir, beliau juga sama, sangat suka membaca. Dari membacalah, kami mendapat pelbagai ilmu yang orang Melayu lain tidak tahu. sedikit pun kita tidak akan rugi kalau fasih dalam kedua-dua bahasa ini, malah itulah kelebihannya.

Saya juga hadiahkan nama Wadi Sofia kepada sekolah saya ini sebagai cinta saya kepada dunia pendidikan, dan cinta saya kepada ibu saya, yang mendidik saya jadi insan berjaya Insya-ALLAH dunia dan akhirat.

Apakah kepentingan menguasai lebih satu bahasa dalam kehidupan seharian?

Dunia kini, bahasa Melayu tidak cukup sepenuhnya untuk menterjemahkan ilmu sebenar dipraktikkan dalam kehidupan. Pernah satu ketika, saya baca sebuah buku, selepas membaca, saya terfikir untuk menterjemahkan buku tersebut untuk anak bangsa saya, namun ia mengambil masa sehingga tiga hingga lima tahun. Namun selepas lima tahun, buku itu sudah keluar edisi keduanya, maka edisi pertama tadi sudah tidak menjadi pilihan dan ini memperlihatkan lambatnya proses penerimaan ilmu itu jika hanya bergantung pada bahasa Melayu semata-mata.

Seluruh masyarakat perlu sedar, kalau tiada ilmu, kita akan ketinggalan. Anak Cina dan India semuanya sudah maju selangkah, saya tidak mahu Melayu ketinggalan dan majulah berlangkah-langkah lebih daripada bangsa lain kerana bangsa Melayu dan bahasa Melayu adalah milik kita, kuasai bahasa Inggeris sebagai landasan untuk memajukan lagi bangsa Melayu.

0 Komentar untuk " Simpan lebih 30,000 naskhah buku "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ