Sembahyang untuk fat choi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Sembahyang untuk fat choi

“APA makna solat?” saya tanya pelajar saya. Pelajar fiqh saya lahir sebagai Muslim, begitu yakin dengan ilmunya lalu menjawab, “Solat ialah ibadah yang bermula dengan takbiratul ihram dan berakhir dengan salam!”

Dalam artikel saya minggu lepas, saya telah menulis bagaimana Imam al-Ghazali meninggalkan kerjaya ulama rasmi di universiti Islam kerana terlalu kecewa dengan kekosongan jiwa ulama rasmi.

Katanya, kita hanya cekap memberi definisi ‘sihat’ tetapi kita sendiri sebenarnya tidak sihat. Kita sakit parah walaupun berilmu agama yang hebat.

Pada zaman ledakan informasi sekarang, kesemua kitab hadis boleh dimuatkan dalam telefon bimbit pintar. Kita kononnya ‘faqih’ dengan kehebatan informasi.
“Apa makna solat?” saya tanya pelajar saya lagi untuk kali kedua demi kepastian.

Sambil menjeling-jeling skrin telefon bimbitnya, pelajar saya jawab dengan penuh yakin, “Ya, betul. Ia adalah ibadah yang bermula daripada takbiratul ihram dan berakhir dengan salam.”

Saya bagi hujah analogi, “Kalau saya ditanya siapa itu insan atau ren dalam bahasa Mandarin dan saya jawab bahawa insan (ren) ialah entiti yang bermula dari hujung rambut dan berakhir dengan tapak kaki, adakah saya faham makna insan (ren)?”

Hakikatnya, insan (ren) bukan sekadar mempunyai rambut, mata, kaki dan anggota-anggota zahir yang lain. Insan (ren) juga ada misi hidup sebagai khalifah, memikul peranan sebagai ayah, guru, suami, anak dan sebagainya.

Adalah jahil kalau memahami makna “insan (ren)” dari perspektif zahir sahaja. Demikian juga solat. Solat bukan sekadar sembah, iaitu bukan sekadar sembah-yang. Ia bukan ambil colok, lepas itu tunduk sembah, lepas itu minta “fat choi (untung besar)”.

Ia bukan sekadar ambil wuduk, kemudian tunduk rukuk dan berdoa jadi kaya! Nabi memberi isyarat bahawa bersolat lima waktu sehari adalah umpama mandi di sungai lima kali sehari.

Dalam al-Quran, solat mencegah kita daripada membuat kemungkaran. Solat adalah pencetus motivasi diri, reformasi diri, tajdid diri. Bahkan solat berjemaah sepatutnya mampu merevolusikan dunia!

Kalau kita masih membuat kemungkaran, kita tidak bersolat. Kita hanya sekadar sembahyang untuk fat choi! Solat mengajar kita menghargai masa kerana masa bukan milik kita. Kita diamanahkan untuk memanfaatkan masa.

Setiap hari kita peka dengan pergerakan masa kerana kita perlu jaga waktu-waktu solat. Hidup bukan percuma. Kita rugi kalau tidak manfaatkan masa. Solat juga mengingatkan kita untuk tidak rukuk dan tidak sujud pada sesiapa selain ALLAH SWT.

Allahyarham Sheikh Ramadhan al-Buti, yang merupakan sufi yang terkenal, mengharamkan dengan tegas sebarang rukuk mencium tangannya. Solat mengingatkan dirinya betapa daifnya beliau di mana beliau juga sujud seperti yang lain di masjid. Semua wajib sujud. Tiada pengecualian. Semua sama.

Solat berjemaah mengingatkan kita bahawa iblis akan duduk di antara saf yang tidak rapat. Maka satukanlah umat kita. Bahkan bila kita solat bersendirian, kita wajib baca iyyaaka na’budu yang bermakna ‘Kami beribadah’, bukan ‘Aku beribadah’.

Maknanya plural, jemaah. Tiada sifat individualistik sebagai Muslim. Tiada sifat “Aku saja masuk syurga seorang diri”. Solat ingatkan kita bahawa kita beribadah bersama, masuk syurga pun bersama, kiblat pun sama. Dalam sebuah hadis 40 Imam Nawawi, Nabi SAW bersabda bahawa ALLAH SWT akan menolong hambanya selagi hambanya menolong saudaranya.

Mengapa ada Muslim yang bersolat sunat banyak tetapi hidup makin sempit? Kerana dia makan harta orang. Dia bina mahligai dunianya dengan mengambil harta rakyat. Dia putar belit dalam pentadbiran kewangan. Dia rukuk pada dunia. Dia tidak rapatkan saf iaitu tidak mempedulikan kebajikan saudaranya.

Dia mahu kaya seorang. Sebenarnya dia tidak bersolat pun. Dia hanya bersembahyang yang bermula dengan takbiratul ihram dan berakhir dengan salam. Sembahyang untuk fat choi. Solat yang sebenar bermula dari hidup dan berakhir dengan kematian kita.

* Abdul Naser Tun Rahman tokoh pendakwah Perak

0 Komentar untuk " Sembahyang untuk fat choi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ