Memugar idealisme perjuangan Umno - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Memugar idealisme perjuangan Umno

ISNIN lalu, genaplah usia 69 tahun Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau Umno yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946. Umno bukan sekadar parti yang ditubuhkan untuk menang pilihan raya. Tetapi Umno adalah manifestasi sebuah idealisme berinti patikan perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air.

Kenyataan ini dizahirkan dalam Fasal 3 perlembagaan Umno yang mana  jelas termaktub bahawa asas dan tujuan Umno adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa, dan negara. Malah dalam Fasa 3.3 dijelaskan lagi bahawa Umno perlu menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, yang menjadi agama rasmi persekutuan di samping menghormati prinsip kebangsaan beragama.

Perjuangan memartabatkan bangsa Melayu dalam konteks Malaysia amat terkait dengan Islam. Artikel 160 Perlembagaan Malaysia menzahirkan dengan lebih tuntas bahawa Melayu itu mestilah beragama Islam.

Sebab itulah, perjuangan Melayu dan Islam dalam kerangka perjuangan Umno adalah sama sekali tidak dapat dipisahkan bagaikan aur dengan tebing atau lagu dengan irama. Hakikatnya tidak ada bangsa yang hampir keseluruhannya beragama Islam, hatta bangsa Arab sekalipun, kecuali bangsa Melayu.

Walau bagaimanapun apabila bercakap soal bangsa Melayu, ada dalam kalangan orang Melayu sendiri yang berasa apologetik atau bersalah. Seolah-olah perjuangan memartabatkan bangsa adalah satu dosa besar bagaikan meminggirkan Islam. Malah ada juga mengaitkan perjuangan Umno yang memperjuangkan Melayu sebagai perjuangan yang lari dari aqidah.

Sebab itulah perlu dijelaskan bahawa hakikat kebangsaan adalah fenomena tabii yang diiktiraf ALLAH: “Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu saling bekenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)..” (al-Hujurat: 13)

Malah ALLAH telah memilih Nabi Muhammad SAW daripada bangsa dan suku kabilah yang terbaik untuk dijadikan sebagai Nabi dan Rasul akhir zaman yang menutup risalah perjuangan nabi-nabi terdahulu seramai 124,000, termasuklah 313 orang Rasul.

Jika bangsa tidak ada langsung kedudukannya dalam Islam, tidaklah ALLAH memilih makhlukNya yang paling mulia iaitu Nabi Muhammad SAW yang lebih mulia daripada Kaabah dan Arasy, malah lebih mulia dari syurga dan isi-sisinya daripada kalangan bangsa dan kabilah yang terkemuka. Bukankah ini juga sebagai suatu pengiktirafan kepada bangsa itu?

Manakala dalam hal asabiyah kepada bangsa, seorang sahabat yang bernama Wathilah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Adakah dikira sebagai asabiyah apabila seseorang itu mencintai kaumnya?”. Baginda menjawab: “Tidak, tetapi asabiyah itu adalah seseorang menolong kaumnya melakukan kezaliman”. (Hadith hasan Riwayat Abu Daud).

Dalam hadith ini jelas bahawa Islam tidak menolak fitrah manusiawi yang bermula dengan mencintai ahli keluarga, kaum kerabat sehinggalah kepada bangsanya.

Ia amat berbeza dengan konsep rasis yang berdasarkan Kamus Oxford antarabangsa, rasis ialah satu kefahaman bahawa sesuatu bangsa itu lebih mulia berbanding bangsa lain hingga menebal nilai prejudis yang membawa kepada perlakuan diskriminasi, menafikan hak bangsa lain kerana dianggap lebih rendah martabatnya berbanding mereka.

Hakikatnya mereka yang sering memperjuangkan agenda Melayu Islam tidak pernah mendesak agar kerajaan melakukan dasar diskriminasi hingga menafikan hak dan kepentingan bangsa lain sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Maka idealisme perjuangan Umno yang merupakan sebuah badan yang berinti patikan perjuangan membela Melayu Islam tidak dilihat melanggari atau mendahului nilai dan prinsip agama.

Apa yang pasti, pada usia 69 tahun ini, Umno sebagai parti tunjang mewakili Melayu Islam yang merupakan kelompok majoriti dalam negara perlu terus unggul dan kukuh. Dengan bilangan 88 kerusi di Dewan Rakyat menyerlahkan lagi hakikat betapa rakyat Melayu Islam masih meletakkan pengharapan tinggi terhadap Umno berbanding parti lain khususnya Pas yang hanya diwakili 21 ahli parlimen.

Atas dasar inilah Umno perlu terus berjuang membela dan memartabatkan bangsa Melayu Islam tanpa menafikan hak dan kepentingan kaum-kaum lain. Apatah lagi bangsa Melayu Islam masih ketinggalan dalam banyak bidang berbanding bangsa-bangsa lain, terutama dalam bidang ekonomi dan pendidikan.

Namun harus diingatkan bahawa sesebuah organisasi itu hanya akan kekal relevan selama kehadirannya bermanfaat kepada kemanusiaan sejagat. Sekiranya mereka mula melakukan onar dan menyeleweng daripada garisan perjuangan yang hakiki, maka nantilah saat-saat kehancurannya.

0 Komentar untuk " Memugar idealisme perjuangan Umno "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ