Samakah GST dengan wanita jelita? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Samakah GST dengan wanita jelita?

SUDAH banyak isu di negara ini tenggelam selepas timbul seketika, tetapi isu kontroversi cukai barang dan perkhidmatan (GST) terus terapung.

Sejak ia mula disebut hampir dua tahun lalu, apa lagi apabila dikuatkuasakan mulai 1 April lalu, GST menarik perhatian banyak pihak. Ia diperjelaskan, dipersoalkan, dikritik, malah dijadikan bahan ketawa.

Nama singkatannya dikaitkan dengan pelbagai pihak dan kumpulan. Hampir kesemuanya bermula dengan perkataan ‘geng’. Yang lainnya pembaca budiman agak-agak sendirilah!

Setelah hampir satu setengah bulan ia dilaksanakan, masih ada pihak yang mengadu mereka belum faham dengan sistem cukai itu dan tidak yakin apakah manfaat yang bakal dikecap oleh rakyat, khususnya pengguna dan pengusaha.

Ada yang khuatir pelaksanaan GST akan turut menjejaskan nasib masa depan peniaga kecil dan sederhana serta penjaja.

Menurut mereka, keperluan alat-alat berkaitan perkakasan, perisian dan barang sokongan sahaja pun sudah cukup membebankan peniaga kecil dan sederhana.

Tidak ramai yang membuat keuntungan banyak, dakwa mereka. Ada yang sekadar balik modal walaupun menggunakan tenaga kerja sendiri. Dengan pelaksanaan GST ini, mereka terpaksa menggaji juru akaun atau staf berkaitan untuk membuat urusan kerja fail dan pematuhan.

Ada pula pihak yang mengeluh setengah program latihan yang diperkenalkan membuatkan sistem GST sangat mengelirukan, susah difahami dan dipatuhi.

Menurut mereka jika juru akaun sendiri memerlukan latihan, betapa lagi pengusaha kecil dan sederhana. Mereka ini bukan sahaja susah untuk faham, malah perlu tanggung yuran latihan.

Justeru, peniaga kecil mengalami kerugian atau hadapi masalah aliran tunai.

Maka mahu tidak mahu, peniaga kecil dan sederhana akhirnya terpaksa naikkan harga barang jualan mereka untuk mendapat untung. Lainlah, menurut mereka, kalau bayaran untuk latihan dan pematuhan itu ditanggung oleh pihak lain.

Bagi para peniaga kecil dan sederhana, mereka berpendapat ada lebih baik pihak berkaitan membela nasib peniaga yang terjejas, bukan terus menghukum mereka melalui tindakan undang-undang.

Kelmarin, tertarik hati saya membaca kisah beberapa wakil rakyat berhujah mengenai kebaikan dan keburukan GST.

Seorang wakil BN mengumpamakan GST dengan seorang wanita cantik yang dikerumuni oleh mereka yang cemburu.

Beliau berharap satu hari nanti kebaikan GST akan terserlah, iaitu apabila mereka yang layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada kadar lebih tinggi dan rakyat, termasuk peniaga dan pekerja, mendapat pulangan yang lebih hasil daripada pelaksanaan GST secara berkesan.

Analogi wakil rakyat BN itu disanggah oleh seorang wakil pembangkang yang mengatakan secara separuh bergurau: “Jika GST itu diibaratkan seperti wanita cantik, saya rasa lebih baik kita jauhi wanita macam itu dan jangan kahwin dengannya kerana dia hanya akan membebankan orang lain.”

Seorang wakil rakyat pembangkang lagi menyamakan GST dengan seorang lelaki yang berotot-otot yang katanya bukan kegemaran semua orang.

Beliau berkata GST ada hodohnya; barang rumah, peralatan sekolah dan sewa harta meningkat, membuatkan rakyat, terutama yang dalam golongan berpendapatan rendah, hidup sengsara.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan hasil tambahan yang diperoleh kerajaan melalui GST akan digunakan untuk kebaikan rakyat dan negara.

Apabila pendapatan negara bertambah, katanya kerajaan akan memulangkan hasil tersebut secara telus kepada rakyat melalui pelbagai rancangan yang memberi manfaat kepada mereka. Alhamdulillah.

Apa pun, saya tabik orang seperti wanita yang jual jeruk di sebuah kedai di Pulau Pinang, tukang gunting rambut Wan Mat di Shah Alam dan Wak Chamer di Jempol, Negeri Sembilan.

Wanita itu bukan sahaja jual pada harga berpatutan, malah tidak kenakan GST kerana bosnya ‘tak mahu bebankan pembeli’.

Wan Mat caj warga emas RM5, gunting rambut anak yatim bawah 17 tahun percuma, beri bantuan RM150 kepada murid yatim di sekolah di mana isterinya jadi guru, sementara Wak Chamer pula hanya mengenakan RM2 kepada kanak-kanak dan RM3 kepada orang dewasa.

Malaysia tentunya merasa bangga dengan warga prihatin seperti mereka.

0 Komentar untuk " Samakah GST dengan wanita jelita? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ