Orang besar kepala dan orang hati kecil - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Orang besar kepala dan orang hati kecil

DI mana-mana organisasi sama ada kerajaan, swasta mahupun kampung, kita akan menemui orang yang suka bertindak melebihi daripada kapasiti jawatannya. Kata-katanya, penampilannya serta tindak-tanduknya melampaui orang yang lebih berkuasa daripadanya. Di sektor kerajaan mahupun swasta, orang ini akan menunjukkan kuasanya seolah-olah dialah yang berkelayakan dalam membuat keputusan.

Kadangkala, keputusan yang dibuatnya itu bukannya apa yang diingini oleh ketuanya. Dia yang memandai-mandai membuat sesuatu keputusan itu walaupun dia tiada bidang kuasa itu. Tetapi, cara dia meminjam kuasa ialah dengan cara menjual nama.

Dia akan sebut, ‘bos mahu ini, bos tak mahu itu, bos suruh ini, bos tak perintah itu…’ walhal ketuanya tidak tahu pun apa yang dilakukannya.

Di dalam institusi kampung pula, dia berlagak seperti penghulu atau ketua kampung untuk mengizin atau menolak sesuatu permintaan. Dia boleh pilih tarikh kenduri menyambut Ramadan mengikut kesesuaian kehadirannya dengan berkata, tarikh itu tok penghulu yang pilih.

Dia boleh putuskan balai raya tidak boleh digunakan untuk majlis menyambut wakil rakyat kerana dia tidak sukakan individu itu dengan memberi alasan, tok penghulu sudah putuskan balai raya itu hendak dicat pada tarikh yang dipohon. Dengan bersandarkan alasan bahawa ‘tok penghulu yang kata,’ dia sewenang-wenangnya bertindak dengan tidak adil kerana berasa dialah yang punyai kuasa itu.

Orang ini sebenarnya mempunyai ego yang besar. Ataupun, maaf cakap… besar kepala. Tetapi sayang, dia tidak layak untuk menyandang sesuatu jawatan itu kerana kekurangan daya keadilan dan kewarasannya. Namun, oleh kerana gilakan jawatan kerana kuasa yang ada, dia mempergunakan nama ketua yang menyandang jawatan itu sebagai senjata untuk bertindak.

Dalam pada itu, terdapat juga segolongan manusia yang walaupun sudah memegang sesuatu jawatan eksekutif, dia tidak berani menggunakan kuasa yang ada untuk membuat keputusan yang melancarkan organisasi pimpinannya. Apabila berdepan dengan situasi yang memerlukan dia membuat keputusan, maka dia akan menangguhkan tindakan semata-mata kerana takut akan implikasinya.

Boleh jadi, dia perlu menghukum pihak yang melanggar undang-undang di bawah bidang kuasanya. Ataupun sebagai timbalan, dia hanya perlu menjawab soalan daripada wartawan, bila dia hendak bertindak untuk mengorek longkang yang tersumbat.

Ataupun sekadar menegur dan memperbetul keputusan anggota mesyuarat yang didapati akan menimbulkan masalah. Akibat tidak melaksanakan tugas yang diamanahkan, banyak kerja jadi terbengkalai, banyak keputusan tertangguh dan banyak ketidakpatuhan prosedur semakin berleluasa.

Orang begini pula sebenarnya mempunyai hati yang terlalu kecil. Walaupun dia mungkin bijak  kerana intellectual quotientnya yang tinggi, dia tidak semestinya mempunyai emotional quotient yang baik. Dalam erti kata lain, dia tidak mempunyai keyakinan diri untuk bertindak berdasarkan keperluan dan kehendak situasi.

Pada hari ini, kewujudan mereka yang mempunyai hati yang kecil ini kian bertambah walaupun daripada segi zahirnya golongan yang besar kepala itulah yang lebih menyerlah. Malangnya, ramai daripada golongan yang berhati kecil ini menyandang jawatan dan pangkat yang besar. Oleh kerana berhati kecil, kesilapan yang besar-besar di dalam organisasi mereka tidak berani diperbetulkan.

Apakah mereka tidak mahu menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk memperbetul kesilapan dan penyelewengan kerana takut terjejas harta dan kedudukan? Ia adalah persoalan yang mereka sendiri tahu akan jawapannya. Namun, jika dilihat sekadar beberapa contoh ketidakpatuhan tataurus dalam beberapa buah organisasi pada hari ini, barangkali kita nampak akan kecacatan daya fikir oleh mereka yang berhati kecil ini.

Sebab itulah, apa yang dilihat tidak betul oleh orang ramai itu bagai tidak dipedulikan oleh mereka yang berkuasa membuat keputusan. Malah, kesilapan demi kesilapan masih terus menerus dilakukan tanpa rasa bersalah. Akibatnya, daya kesegeraan untuk memperbetul kesilapan itu tidak ada dalam kamus fikiran. Dan, kesilapan yang diulang-ulang pula akan bertukar menjadi kesalahan.

Kesilapan boleh dimaafkan. Kesalahan pula perlu mendapat hukuman agar ia tidak berlaku lagi. Tetapi bagaimana pula jika pada manusia yang berhati kecil ini, kesalahan itu adalah sesuatu yang betul? Suasana menjadi parah apabila manusia yang punyai emotional quotient yang rendah ini tiada lagi spiritual quotient di dalam hatinya. Walaupun orang yang ingin memperbetulkan itu seperti anjing menyalak bukit, dan bukit tidak akan runtuh, tetapi apabila bukit itu runtuh, semua sekali akan terkambus.

Bagaimana kita hendak mengubah orang yang besar kepala atau berhati kecil ini? Cubalah menasihati mereka. Jika tidak mampu, cukuplah jangan jadi seperti mereka!

Layari http://www.maafcakap.blogspot.com untuk membaca artikel-artikel sebelum ini.

0 Komentar untuk " Orang besar kepala dan orang hati kecil "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ