Ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak

SEMUA ahli UMNO yang berhimpun di dalam dan luar dewan, Alhamdulillah, pada malam ini sekali lagi kita dapat berkumpul untuk meraikan satu peristiwa, satu detik cukup bermakna lagi bersejarah. Tarikh kelahiran parti keramat kita parti UMNO. Hari ini hari yang ditanda dengan tinta sejarah. Hari ini menjadi simbolis pembelaan untung nasib orang-orang Melayu dan negara pada keseluruhannya. Justeru pada hari yang cukup bermakna ini bila kita berkumpul sudah tentu kita ingin menghayati sesuatu mesej sesuatu isyarat mengapa kita berkumpul mengapa kita bersama-sama dalam Dewan Merdeka ini. Jika kita menoleh ke belakang, walaupun dalam perjuangan yang kita utamakan ialah melihat ke hadapan namun sejarah adalah guru terbaik kita. Kerana jika kita tidak belajar dari sejarah, maka bak kata orang tua-tua, kita akan dihukum sejarah. Sejarah kegemilangan bangsa Melayu dan sejarah wujudnya bangsa yang bermaruah dan berdaulat adalah kerana bila kita mengetepikan segala perasaan segala pemikiran yang terkongkong dengan sempadan emosi dengan pemikiran kenegerian dan kesukuan. Bangsa Melayu akan jadi bangsa yang kuat sekiranya kita menjadi bangsa yang berjaya pada perjuangan lebih besar sebab itulah kita kata parti kebangsaan parti nasional mewakili semua orang atas nama Melayu dan Bumiputera. Pada tahun 1946, kita tahu di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, ramai anak Melayu berkumpul atas nama anak negeri, anak boyan barangkali Jawa dan lain-lain tapi dengan satu niat dan tujuan. Kalau kita berpecah dalam kumpulan yang kecil, kita tidak berjaya menjadi bangsa bermaruah. Akhirnya di tangga Istana Besar Johor Bahru 69 tahun yang lalu, maka pengasas-pengasas mewujudkan UMNO yang kita kenali sampai hari ini. Semuanya menjadi kenyataan kerana Melayu bersatu. Sebab itulah kita pilih 'Melayu Bersatu' sebagai tema hari lahirnya UMNO. Puisi yang dinukilkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi temanya 'Melayu bersatu'. Ucapan Tan Sri Tajol Rosli Ghazali mewakili veteran UMNO temanya 'Melayu Bersatu'. Berdirinya saya di sini sebagai Presiden UMNO, temanya juga 'Melayu Bersatu'. Saya percaya inilah mesej ternilai bila kita berkumpul pada malam ini. Mungkin kita sebut bersatu itu mudah tapi hendak mengamalkannya, hendak menghayatinya mungkin lebih sukar. Tapi boleh jadi kenyataan kalau niat kita tidak lain dan tidak bukan, kita tidak penting. 'We are not important but UMNO is more important'. Kalau kita percaya bahawa parti kita itulah harapan kita, pemimpin boleh pergi pemimpin boleh datang. Tetapi kalau parti masih kuat, perjuangan boleh diteruskan. Saya kata kuat bererti kita mesti ada kuasa. Kalau kita sebuah parti tanpa kuasa, tidak ada erti sama sekali. Justeru sebagai sebuah parti yang sudah lahir 69 tahun lamanya dan hari ini di Dewan Parlimen kita adalah parti yang terbesar. Kita ada 88 kerusi dari 222 kerusi, adalah milik UMNO. Dengan kekuatan yang ada pada kita, kita mesti pertahankan. UMNO sudah hadapi pelbagai ujian dan dugaan dalam sejarah. Sekali lagi dalam lipatan sejarah daripada peristiwa pengasas UMNO meninggalkan UMNO, daripada biro UMNO menubuhkan PAS, daripada peristiwa UMNO diharamkan dan terpaksa disusun semula. Pada masa pertandingan pada tahun 1987 dan lain-lain lagi ujian getir yang dihadapi UMNO telah dapat kita tempuh dengan jayanya. Bukan kerana kebijaksanaan pemimpin UMNO tetapi lebih daripada itu kerana setiap pemimpin mempunyai penyokong dan menyokong yang setia dan kuat pemimpin pada masa itu boleh berjaya. Saya percaya formula seperti ini masih relevan sampai hari ini. yang berubah cuma persekitaran. Persekitaran lebih mencabar, lebih menguji dan kaedah-kaedahnya. Umpamanya penyebaran maklumat termasuk fitnah yang dahsyat melalui media sosial dan online memperlihatkan persekitaran yang baru. Persepsi lebih penting daripada realiti. Itu adalah perubahan paradigma. Walau apa juga perubahan persekitaran UMNO mesti menyesuaikan diri menjadi parti yang relevan pada masa kini dan akan datang. Saya percaya, UMNO berjaya kerana apa? Kerana kita mengutamakan ahli kita dan rakyat jelata yang menilai setiap gerak geri tindakan dan keputusan kita. Ingatlah sebagai sebuah parti yang mengamalkan sistem demokrasi pada akhirnya rakyat akan tentukan kita. Sebab itulah saya mengajak kita semua di samping menyanjung tinggi ikrar lafaz sokongan tetapi saya sedar dengan segala rendah diri saya perlu memimpin parti yang mendapat sokongan kuat dalam kalangan rakyat. Sebab itulah saya mengajak tuan dan puan dan mengingatkan pada diri saya bahawa bila saya mengambil alih kuasa kepimpinan negara, saya memilih cogan 1Malaysia Rakyat didahulukan. Saya mesti mengingatkan diri saya bahawa rakyat mesti didahulukan. Apabila rakyat senang dengan parti dan kerajaan, apabila program kita sampai kepada rakyat, apabila saya mementingkan sesuatu bersama tuan dan puan umpamanya bila ditanya di mana kemahuan terus berjuang, walau dalam apa juga keadaan, saya jawab perjuangan saya adalah untuk mereka yang mengimpikan Malaysia yang maju dan adil. Yang beli rumah mampu dimiliki mereka. Perjuangan saya adalah untuk membantu ibu bapa yang mempunyai tanggungjawab besar untuk menghantar anak anak mereka ke sekolah. Perjuangan saya adalah untuk mereka yang mahu memulakan perniagaan tetapi susah mendapat kredit. Perjuangan saya adalah untuk graduan yang ingin mendapatkan pekerjaan. Perjuangan saya untuk merapatkan jurang pendapatan rakyat terutama rakyat di luar bandar. Perjuangan saya adalah untuk mereka yang susah kerana kos sara hidup dan perjuangan saya ialah untuk membantu semua rakyat yang memerlukan pertolongan daripada kita. Inilah kalau boleh saya ungkapkan daripada ayat saya merangkumi manifestasi yang mendorong saya berjuang dari bawah selama 40 tahun untuk mengabdikan diri saya dalam politik berjuang dari bawah semata-mata kerana saya ingin berkhidmat untuk rakyat Malaysia kita yang tercinta. Sebab itulah kita akan meneruskan dasar kita. Kadang dasar itu tidak popular jangka panjang ia akan menunjukkan ketepatan dasar kita. Mesyuarat Majlis Tertinggi pada hari ini adalah antara yang terbaik pernah diadakan selama ini. Kenapa saya katakan kerana di luar macam-macam cerita ditabur direka oleh pihak yang ingin melihat kita berpecah melihat kita adu domba sesama kita meracuni fikiran di kalangan pemimpin menyebabkan kita gelisah. Mereka semua itu bukan orang yang sayang dan cinta pada parti UMNO. Hari ini saya lihat kematangan ahli-ahli MT kerana seiya sekata dengan kata-kata yang buat MT mereka mahu melihat pucuk pimpinan UMNO khususnya Presiden dan Timbalan seiring dalam mentadbir parti UMNO dan saya ingin nyatakan inilah harapan saya. Maka inilah juga harapan saya kalau kita punyai barisan pemimpin yang serasi yang saling percaya mempercayai antara satu sama lain maka sudah tentu ini akan menjadi isyarat yang jelas bahawa kalau di atas kukuh maka sudah tentu di bawah pun akan turut padu bersama dalam semangat dan ikatan yang sempurna. Oleh itu, itulah mesej hari lahir UMNO yang ke-69. Marilah kita berdoa semoga tahun mendatang kita akan sambut lagi. Kerana kita sebuah parti yang kuat gagah dan perkasa dan mendapat sokongan padu daripada semua. Saya yakin dan percaya kita mampu lakukan perkara ini. Kita mesti beradab dalam kerja kita. Buatlah yang patut untuk menguatkan parti janganlah kita buat yang tidak patut. Mudah-mudahan kita berjaya dalam perjuangan kita. Hidup UMNO. Hidup UMNO. Hidup UMNO

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/54330
0 Komentar untuk " Ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ