Pengurusan nilai dan nilai untuk wang - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pengurusan nilai dan nilai untuk wang

SECARA lazimnya bila kita buat sesuatu keputusan yang melibat kos kita sering mengandaikan sesuatu yang berkualiti itu mestilah mahal. Jadi kita biasanya tidak kisah jika perlu bayar lebih untuk mendapatkannya kerana yakin akan manfaat yang bakal diperoleh nanti. Sebaliknya sesuatu yang murah pula sering dikaitkan dengan mutu yang rendah dan bersifat kelas bawahan. Dalam beberapa keadaan yang tertentu persepsi-persepsi sebegini ada kebenarannya.

Bagaimanapun tidak semua yang mahal itu berkualiti. Ada kalanya sesuatu barang atau perkhidmatan itu menjadi mahal kerana ia mempunyai banyak ciri-ciri tambahan yang kadang kala kita tidak memerlukannya. Jadi apa yang kita 'terlebih' bayar tadi adalah untuk ciri-ciri ataupun manfaat-manfaat yang kita tidak perlukan.

Dalam membuat keputusan yang melibatkan kos, kita tidak seharusnya menerima bulat-bulat sesuatu itu pada harga yang ditawarkan. Sebaliknya kita perlu pastikan manfaat yang bakal diperoleh daripada barangan atau perkhidmatan tadi adalah apa yang kita perlukan sahaja. Dan yang paling penting harga untuk manfaat itu bersesuaian dengan nilai wang yang kita bayar.

Menyentuh tentang konsep value for money atau nilai kepada wang, terus terlintas di fikiran penulis tentang banyak kes projek pembangunan yang dilaksanakan di negara ini – seperti yang sering dilaporkan oleh Ketua Audit Negara - yang meningkat kosnya dek kerana kegagalan pemaju menyerahkan atau menyiapkan projek tadi dalam tempoh yang ditetapkan oleh kerajaan. Selain itu tidak kurang juga projek-projek yang disiapkan tapi kualitinya tidak memberi nilai yang sebenar kepada wang yang dibelanjakan. Ini belum disentuh tentang perolehan yang dibuat pada kos yang tidak munasabah atau pun pembayaran kepada perolehan yang tidak wujud.

Ini semua merupakan satu bentuk pembaziran sumber. Bahkan ia merupakan satu bentuk kezaliman yang tidak memberi nilai kepada wang para pembayar cukai kerana hasil titik peluh mereka tidak digunakan dengan sebaik mungkin untuk proses pembangunan negara.

Agak pelik juga bila memikirkan mengapa perkara sebegini saban tahun terus berlaku sedangkan setiap tahun perkara yang sama diulang-ulang oleh Ketua Audit Negara di dalam laporan tahunannya.

Lebih menjengkelkan kita ialah apabila ia melibatkan projek-projek yang bernilai puluhan atau ratusan juta ringgit; sedangkan mulai 2009, Unit Perancang Ekonomi (EPU) telah mengeluarkan pekeliling yang menyatakan semua projek Rancangan Malaysia

Kesepuluh yang bernilai RM50 juta dan ke atas perlu melalui proses pengurusan nilai atau value management (VM).

Pengurusan nilai merupakan satu bentuk pendekatan berkumpulan yang terdiri daripada pelbagai disiplin yang bertujuan menilai dan menganalisis proses pelaksanaan sesuatu projek. Matlamat akhirnya ialah menghasilkan nilai yang terbaik daripada projek tadi pada kos dan sumber (seperti pekerja, masa, tenaga dan bahan) yang optimum tanpa menjejas objektif, fungsi dan kualiti projek terbabit. Dengan kata lain, jika pengurusan nilai ini dilakukan dengan betul dari awal perancangan sesuatu projek, ia mampu memberi penjimatan dan meningkatkan nilai untuk wang yang mampu dihasilkan oleh projek tersebut.

Apa pun pengurusan nilai ini melibatkan peranan individu yang melaksanakannya. Jika semua individu di setiap peringkat – baik dari peringkat bawahan hinggalah ke peringkat yang membuat kelulusan - yang terlibat itu amanah dan berkelayakan sudah tentu kita tidak akan menemui laporan-laporan berkaitan dengan salah laku dan pembaziran sumber setiap kali kita membaca laporan tahunan Ketua Audit Negara.

* Penulis ialah Felo, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (IKIM)

0 Komentar untuk " Pengurusan nilai dan nilai untuk wang "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ