Semalam yang menghiburkan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Semalam yang menghiburkan

BARU-BARU ini, saya melayari you tube dan menemui video muzik harmonika. Lantas saya membuka video itu dan menikmati alunan lagunya. Saya begitu teruja kerana teringat ketika di zaman kanak-kanak dahulu, saya suka mencuri alat harmonika abang saya dan meniupnya.

Apabila menghembus alat muzik itu, oksigen dalam paru-paru akan berkurangan dan saya akan berasa mengantuk dan ‘high.’ Keadaan itulah yang menyeronokkan saya.

Apabila saya memasuki pasukan pengakap sekolah di sekolah menengah, alat itulah yang menjadi kegemaran. Bermain lagu The Last Post,  Auld Lang Syne atau ‘Bertemu dan Berpisah’ tatkala suasana malam terang bulan di tepian pantai menimbulkan rasa syahdu. Sudah lama sekali saya tidak bermain alat muzik itu. Agaknya, sekiranya saya jumpa alat muzik itu terjual di mana-mana, pasti saya akan beli dan meniupnya untuk melepas nostalgia mengingati zaman remaja di sekolah dahulu.

Dalam mengharungi hari-hari yang kian sibuk hingga ketidakcukupan masa, pada banyak ketika, kita hanya menjadi manusia reaktif. Apa yang kita rancang pada malam semalam sebelum melelap mata, tidak mesti dapat kita lakukan sepenuhnya pada hari ini. Apa yang tercongok di depan mata pada hari ini, maka itulah yang kita tangani. Kita tidak sempat berfikir untuk bertindak menangani sesuatu secara proaktif.

Agaknya, jika tiada deadline yang ditetapkan oleh bos, mesyuarat yang telah dijadualkan atau temujanji yang telah dipersetujui, mungkin sekali kita tenggelam dalam apa yang kita anggap sebagai kesibukan. Padahal, kita kalut bergelut dengan apa yang tidak sepatutnya kita buat apabila tergelincir di dalam dunia telefon pintar.

Sepatutnya telefon pintar itu secara simboliknya adalah dunia dalam genggaman kita. Sebaliknya, telefon pintar itulah yang sebenarnya menggenggam diri kita dalam dunia kealpaan.

Maka, untuk diri kita yang kian perasan sibuk tetapi hanya menyibuk, perlahankan sahaja pergerakan agar adrenalin di dalam tubuh berhenti mengalir hingga kita tidak panik dan kalut berkejar-kejar dengan waktu. Alihkan diri daripada rutin yang mendera rasa sesak dan sibuk itu dengan berehat. Orang putih kata, unwind…

Tetapi rehat yang kita lakukan pula janganlah rehat yang standard seperti orang lain. Jika kita setakat pergi ke pusat membeli belah untuk membeli tingkap (window shopping… haha), kemudiannya makan-makan di restoran yang serba eksklusif dan akhirnya menonton, itu tidak memadai. Jika kita melancong dan mengembara seantero dunia pun, ia juga tidak akan menimbulkan kerehatan sebenar. Sebabnya? Sebab cara berehat sebegitu kita lakukan kerana terikut-ikut dengan gaya hidup masa kini.

Jika beribu-ribu manusia mencari kerehatan dengan cara yang sama, ia bukan cara kerehatan yang unik kerana ia adalah cara rekreasi yang dicipta oleh industri pelancongan.

Kerehatan yang sebenar ialah kerehatan yang kita cipta sendiri atau yang kita lakukan sendirian. Ia adalah kegilaan yang kita suka lakukan pada suatu waktu dahulu. Tetapi kerana kesibukan yang dialami, kita tidak sempat lakukannya hingga kita terlupa bahawa itulah kesukaan yang sungguh mendamaikan. Jika kita mahu berehat yang sebenar-benarnya merehatkan, kembalilah ke zaman di mana kita sebenarnya hidup dalam kedamaian dan kerehatan.

Jika kesukaan kita suatu waktu dahulu adalah memikat burung di hutan, memancing ikan di sungai, mencari kepah atau kerang di pantai, bermain layang-layang, menjahit baju, menjahit silang pangkah, membuat gubahan bunga, melukis, merebus ubi, mengelim karipap, menyapu laman, merumput, bertukang, bermain teka silangkata, mendengar lagu-lagu lama, malah mengumpul setem, buatlah apa yang kita sukai itu. Lebih elok jika ia dilakukan sendirian kerana ia membantu kita masuk ke dimensi alam peribadi.

Melakukan sesuatu yang kita suka lakukan suatu waktu dahulu itu bagai kembali ke zaman muda. Minda akan berasa bahagia seolah-olah kita menjenguk ke alam kanak-kanak atau remaja di mana kita bebas melakukan segala yang kita sukai. Amat elok jika ia dilakukan di tempat yang sebenar kita lakukannya. Jika di kampung, maka aktiviti yang dilakukan di tempat yang sama akan menghidupkan jiwa yang penat dengan segala tuntutan kelasakan hari ini.

Buatlah apa yang kita suka lakukan. Bukan kerana terpaksa. Bila kita lakukan sesuatu itu atas kehendak sendiri, ia tidak menimbulkan stres seperti mana jika kita melakukan sesuatu kerana tuntutan kerja.  Malah, kesukaan akan menimbulkan keasyikan. Keasyikan itulah yang membina fokus dalam minda. Fokus itu adalah mode minda yang tidak dapat dikekalkan oleh ramai di antara kita.

Maknanya, melakukan sesuatu yang mengalih fikiran daripada apa yang lazim kita lakukan seharian akan menajamkan kembali tumpuan. Bila fikiran sudah ringan kerana sudah berehat dan hilang stres, ia akhirnya akan membantu fokus atau khusyuk kita dalam ibadah pula.

Layari http://www.maafcakap.blogspot.com untuk membaca artikel-artikel sebelum ini.

0 Komentar untuk " Semalam yang menghiburkan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ