Bila hospital Shah Alam nak siap?‎ - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bila hospital Shah Alam nak siap?‎

SEJAK bermastautin di Shah Alam lebih 20 tahun lalu, saya tidak putus-putus mendakwa ia sebagai antara bandar raya paling menarik di dunia untuk didiami.

Saya membuat dakwaan itu hanya berdasarkan deria. Dakwaan saya lebih berdasarkan penilaian ke atas banyak bandar raya di seluruh dunia yang pernah saya lawati.

Bagaimanapun, baru-baru, saya ternampak lampu berkelipan keliling menara Majlis Bandaraya Shah Alam dengan perkataan ‘Shah Alam bandar raya ketiga paling disayangi di dunia’.

Atas alasan apa ia terpilih tidaklah saya periksa secara terperinci, tetapi ia sudah cukup untuk buat saya terharu.

Teringat bagaimana masa saya tiba di Shah Alam pada awal 90-an, jalan-jalan sekitar Bandar Anggerik ini tidak ada satu pun lampu isyarat.

Perjalanan anda tidak terasa terganggu. Tiada yang marah anda di jalan. Anda rasa seluruh Shah Alam seperti anda yang punya.

Anda tidak rasa stres pergi ke mana-mana di sekitar Shah Alam. Anda boleh pergi ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, masjid kedua terbesar di Asia Tenggara (selepas Masjid Istiqlal di Jakarta).

Anda boleh membeli-belah, berehat di taman, membaca di perpustakaan, melawat muzium, meranduk air jernih di tebing Dataran Shah Alam, atau menjamu selera di gerai dan restoran.

Pandu kenderaan memang selesa. Letaklah di mana sahaja, tiada dengar cerita surat saman dikeluarkan.

Hari ini, walaupun dengan pertumbuhan penduduk dan kepesatan pembangunan, Shah Alam yang kini berusia 52 tahun, tetap ‘haven’ kepada penduduknya dan orang luar. Buktinya, setiap hujung minggu, ribuan kenderaan bersesak-sesak di taman tasik dan tempat-tempat rekreasi lain serta kompleks beli-belah.

Tetapi, masih banyak yang diperlukan dan diidamkan untuk Shah Alam, bandar raya terancang pertama di Malaysia.

Shah Alam, antara lain, masih tiada terminal bas ekspres yang setaraf dengan kedudukannya sebagai ibu negeri Selangor.

Bayangkan, pekan-pekan kecil pun ada terminal bas, tapi Shah Alam, ibu negeri kepada negeri terkaya di Malaysia masih tiada terminal bas ekspres yang sepadan dengan tarafnya.

Beberapa tahun lalu, ada rancangan untuk membina terminal bas ekspres di Batu Tiga, tetapi tidak jadi kerana melibatkan masalah kesesakan.

Lokasinya kemudian diubah dekat stesen komuter Seksyen 19. Itu pun tak jadi, atas alasan sama. Dengarnya ia akan dibangunkan untuk menjadi terminal bas jarak dekat. Wallahualam!

Kawasan baharu untuk terminal bas ekspres selepas itu ialah di Seksyen 15. Itu pun tidak menjadi kenyataan.

Difahamkan RM10 juta diperuntukkan untuk memodenkan perhentian bas ekspres di Seksyen 17 yang sedia ada.

Entah bila ia akan menjadi kenyataan. Sementara itu, kita terpaksa berpuas hati dengan terminal bas yang tidak sepertinya di Seksyen 13.

Perhentian bas di Seksyen 17 tidak menarik langsung. Ia seperti perhentian bas biasa di tepi jalan. Tiada bumbung untuk pengguna berlindung daripada hujan dan panas. Suraunya di belakang kedai muat untuk tiga orang sahaja. Keadaan gerai makannya menyedihkan.

Rungutan penduduk Shah Alam yang paling ketara hari ini ialah hospital. Pembinaan hospital yang bermula pada 2007 di Seksyen 7 tertangguh sejak 2010.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, ia dijangka beroperasi sepenuhnya pada Januari hadapan.

Marilah kita doa kali ini tiada sebarang masalah yang menyebabkan operasinya ditangguhkan lagi. Sudah lima tahun tertangguh, cukuplah.

Pengangkutan awam turut menjadi keluhan. Kalau tiada kenderaan sendiri, anda perlu menapak untuk bersiar-siar atau bergerak dari satu kawasan ke kawasan yang lain.

Mati kutu di Shah Alam kalau anda mengharapkan perkhidmatan pengangkutan awam. Teksi tidak selalu ada. Kalau ada pun tambangnya tidaklah semurah yang anda harapkan. Bas hanya untuk jarak jauh.

Entah mengapa perkhidmatan murah seperti tuk-tuk yang popular di banyak negara lain tidak boleh diperkenalkan di Shah Alam. Apakah ia akan mencacat imej Shah Alam atau menjejas pendapatan pihak pengusaha perkhidmatan pengangkutan awam lain? Wallahualam!

Apa pun kekangannya, perhatian perlu untuk menaikkan kedudukan Shah Alam ke taraf yang selayaknya.

0 Komentar untuk " Bila hospital Shah Alam nak siap?‎ "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ