Pelajaran tinggi bukan penentu kejayaan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pelajaran tinggi bukan penentu kejayaan

MELIHAT kejayaan seseorang mampu memberikan inspirasi untuk berusaha dan berjaya seperti individu tersebut.

Itulah yang dirasakan apabila bertemu usahawan atas talian (online), Chedora Ismail, anak kelahiran Alor Setar, Kedah, yang sudah hampir tujuh tahun berkecimpung dalam bidang perniagaan.

Mana tidaknya, semangat dan keazaman Chedora mampu menggamit hati sesiapa sahaja yang mendengar ceritanya dalam menggapai kejayaan dengan hanya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.

“Siapa cakap kalau kita ada SPM, kita tidak ada masa depan? Tengok sahaja penyanyi pujaan ramai Datuk Siti Nurhaliza Taruddin. Zaman sekarang apa sahaja kita lakukan kita kena lakukan sepenuh hati dan bersungguh,” katanya ketika ditemui di Ampang.

Menurut pemilik kasut jenama Choctop By Chedora ini, sebelum menceburi bidang perniagaan dia telah bekerja di salah sebuah syarikat swasta hampir lima tahun sebelum mengambil keputusan berhenti dan berniaga.

“Masa bekerja saya juga sudah mula berniaga online menjual kasut yang diambil dari pembekal secara separuh masa sahaja dan ketika itu modal permulaan hanya RM140 sahaja.

“Melihat sambutan luar biasa selepas beberapa tahun berniaga, saya ambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjadikan perniagaan sebagai kerja tetap saya,” katanya.

Sambutan luar biasa

Jika dahulu bila berniaga online, kesukaran paling utama dihadapi adalah sambutan pelanggan kerana ketika itu ia tidak sepopular hari ini.

Menurut Chedora di awal perniagaannya, dia terpaksa bersabar memandangkan waktu itu masih ada yang ragu-ragu dengan perniagaan online.

“Mula-mula dulu memang susah sebab masa itu tak ramai yang suka beli online dan mereka takut ditipu kerana perlu membayar dahulu kepada peniaga kemudian baru dapat barang.

“Tetapi sejak tiga tahun kebelakangan ini, perniagaan online mendapat sambutan luar biasa dan orang sekarang lebih suka membeli-belah atas talian,” katanya.

Perubahan ketara dalam perniagaan online dilihat sebagai satu rezeki daripada ALLAH SWT kepada peniaga di dalam bidang tersebut.

Mana tidaknya, menurut Chedora pendapatannya berniaga online melebihi daripada gaji ketika dia bekerja di syarikat swasta suatu ketika dahulu.

“Malah saya juga dapat melangsaikan bayaran kereta saya setahun lebih awal dengan menggunakan hasil daripada perniagaan saya,” katanya yang kini mempunyai hampir 58 rekaan kasutnya sendiri yang dijual di laman Instagram dan Facebook.

Ibu bapa sebagai inspirasi

Chedora tidak lokek ilmu apabila berkongsi rahsia dan memberi nasihat bagi usahawan supaya maju dan bertahan dalam perniagaan mereka.

“Kita kalau berniaga, kena tahu apa yang kita hendak jual dan kalau boleh jangan ikut trend misalnya tudung bercorak, orang jual tudung macam itu kita pun nak jual tudung.

“Kita kena cari satu produk yang tidak hanya popular disebabkan trend sahaja kerana ia akan kekal lama dalam pasaran dan permintaan pembeli sentiasa ada,” katanya.

Selain itu, Chedora juga menasihatkan usahawan supaya sentiasa memberi tumpuan kepada perniagaan dan jangan bertangguh dalam menjalankan perniagaan.

“Bila tidak fokus dan suka menangguhkan kerja, ia akan menyebabkan kerja-kerja lain juga tertangguh dan kita akan kehilangan banyak masa,” katanya.

Ditanya mengenai individu yang banyak memberikan inspirasi dan dorongan untuk dia berjaya dalam alam perniagaan, Chedora menjawab, ibu bapanya adalah tulang belakang kepada kejayaannya hari ini.

“Ini bukan sesuatu yang orang kita panggil klise, tetapi ia benar. Kerana merekalah saya berusaha untuk berjaya dan dapat membanggakan mereka. Apabila diimbas kenangan dulu, masa di bangku sekolah saya ni nakal orangnya.

“Tetapi sekarang saya mampu buktikan kepada mereka dan Alhamdulillah dengan kejayaan ini dapat menyenangkan hidup mereka,” katanya dengan nada yang sebak.

Nama: Chedora Ismail
Umur: 32 tahun
Status: Berkahwin
Asal: Alor Setar, Kedah
Instagram dan Facebook: CHOCTOPBYCHEDORA

0 Komentar untuk " Pelajaran tinggi bukan penentu kejayaan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ