Rohingya terperangkap antara Malaysia, Thailand - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Rohingya terperangkap antara Malaysia, Thailand

SEBUAH bot yang dinaiki beratus-ratus pelarian Rohingya dikesan hanyut tanpa kapten dan kru, beberapa hari lalu.

Menurut New York Times, bot bewarna hijau dan merah tersebut dinaiki oleh lelaki dewasa, wanita dan kanak-kanak itu hanya berbumbungkan kanvas untuk melindungi diri mereka dari cahaya matahari.

"Tolonglah kami! Kami tiada air minuman. Tolong berikan kami air!" antara jeritan yang kedengaran apabila sebuah kapal membawa wartawan menghampiri mereka.

Menurut seorang pelarian Rohingya yang ditemuramah, mereka sudah berada di dalam bot tersebut selama tiga bulan dan kapten dan kru mengabaikan mereka enam hari lepas.

"Saya sangat lapar, cepatlah bantu kami," kata Mohamed Siraj yang berasal dari barat Myanmar.

Difahamkan, penumpang kapal tersebut diberikan bantuan makanan dan minuman dari tentera Thailand pada hari Rabu lalu, namun telah 'dihalau' pada pagi esoknya oleh Tentera Laut Thailand.

Jumlah pelarian terkini dianggarkan antara 6,000 dan 20,000 orang disebabkan krisis etnik di Myanmar dan kemiskinan di Bangladesh menyebabkan negara di rantau ini menuding jari antara satu sama lain dan tidak mahu memikul bertanggungjawab.

Sebahagian besar pelarian pada mulanya menuju ke Malaysia namun selepas lebih 1,500 pelarian mendarat di Malaysia dan Indonesia, kedua-dua negara membuat keputusan untuk menghantar balik bot pendatang yang seterusnya.

Sementara itu, Tentera Laut Indonesia dilaporkan menghalau bot pendatang dinaiki oleh beribu-ribu pelarian pada Isnin, dan pihak berkuasa Malaysia menghantar kembali dua buah bot bersama kira-kira 800 pelarian pada Selasa.

Tentera Laut Thailand pula melarang bot pendatang dari memasuki perairan mereka dan hanya mencampakkan bungkusan makanan kepada pelarian.

"Ini seperti permainan ping-pong," Joe Lowry, jurucakap Organisasi Migrasi Antarabangsa berkata di Bangkok.

"Ini permainan ping-pong menggunakan nyawa manusia. Apakah penamatnya? Saya tidak mahu menjadi terlalu dramatik, tapi jika mereka tidak dibantu, kita akan jumpa kapal dan bot yang dipenuhi mayat (nanti)," katanya.

Manakala, Pesuruhjaya Tinggi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu juga sudah meminta negara jiran untuk membuat operasi mencari dan menyelamat, namun permintaan tidak dilayan.

"Ini adalah bencana kemanusiaan," kata Jeffrey Savage, pegawai kanan agensi tersebut.

Major Jeneral Fuad Basya, jurucakap tentera Indonesia memberitahu, mereka akan tetap menghalau mana-mana bot pendatang, termasuk bot yang mengandungi pelarian Rohingya.

Fakta menakutkan sebegini merupakan sebab kerajaan Thailand membasmi aktiviti penyeludupan manusia dengan agresif.

Selepas sebuah kubur besar mengandungi mayat 33 warganegara Burma dan Bangladesh, pihak berkuasa dilaporkan berjaya menyerbu beberapa lagi kem penyeludupan di selatan Thailand dan menahan pegawai polis dan pegawai kanan yang dilaporkan bersubahat.

Pegawai koordinator Projek Arakan, Chris Lewa berkata, pelarian membayar USD 1,800 (RM6416.10) seorang, termasuk janji diberikan pekerjaan setibanya di Malaysia.

Mereka juga dipaksa untuk memberikan bayaran tambahan sepanjang proses 'migrasi' tersebut, di mana sebahagian besar dari mereka gagal memasuki Malaysia.

Menurut seorang pelarian, Mahammed Jahangir Hussein, 32 pulang ke negara asal bukan satu pilihan.

"Jika kerajaan Indonesia kata kami tidak boleh masuk, kami akan pergi ke negara lain (untuk bekerja).

"Tiada apa-apa lagi untuk kami di kampung.

"Inilah masa depan kami," luahnya Mahammed.

0 Komentar untuk " Rohingya terperangkap antara Malaysia, Thailand "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ