Peniaga ambil untung lebih - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Peniaga ambil untung lebih

SEORANG sahabat bertanya secara tiba-tiba apabila bertembung dengan saya “Munsyi, perkataan pencatutan yang kita sering didengari sekarang berasal daripada dialek Kelantan ke?”

Saya tergamam sekejap apabila mendengar persoalan itu, dalam hati saya bermonolog, “Mentang-mentang aku ni munsyi yang mengendalikan program dialek Kelantan di radio Kayanya Bahasa Kita, soalan itu diajukan”.

Istilah pencatutan memang kerap digunakan apabila menjelaskan berkaitan dasar kerajaan mengawal harga barangan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Dasar ini mula diperkenalkan pada 1 April 2011. Akta baharu ini menggantikan Akta Kawalan Harga 1946. Pencatutan dalam akta ini ertinya mengambil keuntungan secara berlebihan (profiteering).

Melalui akta baharu ini pihak berkuasa boleh bertindak segera terhadap peniaga yang mengaut keuntungan secara berlebihan. Selain itu, akta ini akan berfungsi menjadi satu platform penting yang menjaga kepentingan pengguna.

Matlamat akta ini digubal bagi mewujudkan sebuah mekanisme menghalang dan melarang peniaga menaikkan harga barangan tanpa sebab dan peniaga tidak boleh menaikkan harga barangan serta mengaut keuntungan berlebihan sesuka hati sehingga menyusahkan pengguna.

Sekiranya peniaga melanggar peraturan tersebut, mereka akan berdepan hukuman berat, sama ada didenda mahupun dipenjarakan. Dengan pelaksanaan undang-undang itu, akan dapat menghalang peniaga daripada menaikkan harga sesuatu barangan tanpa sebab di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan melantik seorang pengawal harga, timbalan pengawal harga dan pegawai-pegawai lain dilantik untuk melaksanakan peraturan yang terdapat di bawah akta ini.

Dalam Kamus Dewan Edisi 4, perkataan ‘catut’ diberikan dua variasi makna iaitu ‘catut 1’ bermaksud penyepit (digunakan untuk mencabut janggut dan lain-lain), pencabut paku dan lain-lain atau dikenali juga sebagai kakaktua.

Manakala ‘catut 11’ dikaitkan dengan tukang (pencatut) iaitu orang yang berniaga dalam pasar gelap atau orang yang berniaga sesuatu barangan dengan mengambil untung yang melampau-lampau.

Tesaurus perkataan catut ialah ‘pencatutan’ pula bermaksud perihal atau perbuatan mencatut. Hal ini tepat dengan maksud yang dinyatakan dalam akta antipencatutan di atas.

Dalam dialek Kelantan ada perkataan yang sama sebutannya, tetapi dieja dengan catuk. Disebut dan dilafazkan dengan bunyi yang sama kerana dalam dialek Kelantan semua konsonan h, k, t, digantikan dengan hentian glotis.

Catuk dalam dialek Kelantan bermaksud mematuk atau memagut dengan menggunakan muncung atau paruh yang tajam. Ada juga diberikan maksud yang lain dalam konteks dialek Kelantan dengan membawa maksud mengatuk iaitu melukai, menetak, menakuk dan lain-lain menggunakan hujung yang tajam.

Jadi, maksud ‘catuk’ dalam dialek Kelantan sangat jauh perbezaan maknanya berbanding maksud ‘catut’ dalam bahasa standard. Barang kali inilah jawapan kepada soalan sahabat saya tadi.

Cara penulisan istilah antipencatutan perlulah ditulis dengan betul. Hal ini kerana acap kali kita menemukan pengejaannya ‘anti pencatutan’ iaitu imbuhan pinjaman ‘anti’ dieja berpisah dengan ‘pencatutan’.

Pengejaan begini salah kerana prinsip pengejaan semua imbuhan mestilah dirapatkan dengan perkataan selepasnya. Banyak lagi imbuhan bahasa Melayu yang sering kita dapati ditulis dengan cara yang salah.

Contoh imbuhan lain seperti pro-, pra-, pasca-, eka-, dwi-, dan banyak lagi. Kadang-kadang ejaan ‘pasca banjir’ kita ketemukan ditulis dengan salah, sewajarnya ditulis ‘pascabanjir’.

Begitulah sekadar perkongsian ilmu kebahasaan yang sering kali kita lihat dan menjadi hidangan di dada-dada akhbar atau di mana-mana papan tanda di negara kita. Segala-galanya memerlukan keprihatinan dan kecaknaan kita terhadap bahasa kita sendiri. Bahasa kita nadi bangsa kita.

0 Komentar untuk " Peniaga ambil untung lebih "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ