Peguam Muslim Menulis: Toleransi jaminan hak hidup bersama - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Peguam Muslim Menulis: Toleransi jaminan hak hidup bersama

Islam sering digambarkan menindas bukan Islam. Masyarakat Islam dikatakan tidak toleran dan mementingkan diri, walaupun dalam ufuk minda orang Islam, keadilan menjadi teras kepada setiap tindakan. Terbaharu, isu gereja yang dibantah penduduk majoriti Islam di Petaling Jaya menjadi perhatian media. Dalam isu ini media, umat Islam dianggap ekstrem, tidak toleran dan mementingkan diri. Hakikatnya, apa yang dipertikaikan ialah kewujudan gereja di kawasan majoriti umat Islam, bukan sebagaimana digembar-gemburkan media alternatif yang mengaitkan isu penurunan lambang salib di bangunan berkenaan. Keperluan mewujudkan gereja di kawasan itu dipersoal mungkin kerana ia dikhuatiri menjadi dakyah menyebarkan ajaran Kristian kepada penduduk Islam setempat. Menjadi lumrah pula apabila konflik sebegini berlaku, maka umat Islam diperlekeh dengan pelbagai jenaka dan sindiran tanpa memahami isu sebenar. Acap kali juga apabila Islam dimomokkan terdapat ramai yang mempertahankan tindakan mereka atas dasar kebebasan bersuara, terdapat permohonan maaf dan mendoakan mereka insaf. Sebaliknya apabila orang Islam yang melakukannya, begitu pantas mereka menggesa tindakan diambil terhadap orang Islam yang dikatakan terlanjur. Teguh akidah, ideologi Masyarakat Islam khususnya di Malaysia adalah sebuah  komuniti yang berpegang teguh kepada akidah dan ideologi. Dari akidah dan ideologi itu maka muncullah cabangnya seperti undang-undang, hukum hakam, peradaban dan tatasusila. Bagaimanapun, ini bukanlah bermakna bahawa orang Islam memutuskan seluruh kehidupannya dengan orang bukan Islam sama ada pada peringkat individu, tempatan mahupun antarabangsa. Umat Islam menjalin hubungan sesama Islam, begitu juga dengan mereka yang bukan menganuti Islam. Dasar yang tetap digariskan merangkumi prinsip toleransi, keadilan, kebajikan dan belas ihsan kepada golongan bukan Islam. Prinsip utama dalam melayani orang bukan Islam ialah mereka hendaklah diberi layanan sama rata dengan umat Islam melainkan atas beberapa aspek sahaja. Aspek pengecualian ini pula amat terhad dan hanya berkisar dalam perkara membabitkan peribadatan sahaja. Acap kali apa yang berlaku ialah umat Islam diuji kesabarannya dengan pelbagai isu sehingga membuahkan persepsi negatif terhadap orang bukan Islam. Mungkin peristiwa hitam di Kampung Medan masih segar dalam ingatan umat Islam di sana yang menjadi sebab mereka tidak bersetuju gereja diadakan di kawasan mereka. Apa pun, sama ada orang Islam ataupun bukan Islam seharusnya mengetepikan emosi masing masing dan berpegang kepada undang-undang sedia ada. Orang bukan Islam berhak mendapat perlindungan dalam negara Islam. Hak ini merangkumi perlindungan daripada pencerobohan luar dan kezaliman dari dalam negara.  Golongan bukan Islam berhak menikmati keamanan dan kestabilan hidup.  Hak ini adalah hak sama yang dikecapi orang Islam. Pemerintah Islam bertanggungjawab melindungi walaupun setitik darah mereka. Orang Islam dalam negara Islam juga adalah dilarang sama sekali menyakiti orang bukan Islam atau menceroboh diri, keluarga harta atau agama mereka sama ada melalui tangan (kekuasaan) ataupun lidah mereka. Apatah lagi umat Islam ditegah daripada membunuh orang bukan Islam. Ini disebabkan hak perlindungan yang tetap ini meliputi darah, jiwa dan tubuh mereka. Begitu juga harta benda dan kemuliaan mereka berdasarkan prinsip maqasid al shariah. Islam menjamin  bukan Islam bebas menganuti agama, kepercayaan dan beribadah mengikut agama mereka termasuklah pembinaan rumah ibadah bukan Islam. Bukan Islam tidak boleh dipaksa menganut agama Islam dan tidak akan ditekan agar mereka memeluk Islam. Sejarah membuktikan bahawa Islam disebarkan bukan melalui mata pedang, tetapi kerana keindahan dan keadilan Islam itu yang menambat hati orang bukan Islam memeluk Islam.  Namun, sekiranya terdapat elemen provokasi atau agenda tersirat mana-mana pihak, ia hendaklah dipadamkan segera bagi mengelak ketidakharmonian antara umat Islam dan bukan Islam.  Dalam hal muamalah pula, orang bukan Islam mempunyai hak yang tidak boleh disangkal untuk bekerja, berniaga dan mendapat untung. Ini boleh dilakukan dengan berkongsi sesama mereka ataupun dengan orang Islam ataupun bekerja secara sendirian. Peluang bersaing memajukan diri Keadaan mereka dari aspek ini langsung tidak berbeza dengan keadaan orang Islam yang diberi peluang untuk menjalankan aktiviti ekonomi dan perdagangan bagi memajukan diri masing-masing. Dalam Islam, umat Islam dan orang bukan Islam perlu bersaing demi memajukan diri mereka. Orang bukan Islam tidak ditindas di dalam mencari kekayaan dan ini memberi peluang kepada semua rakyat bersaing dalam keadaan yang memberi keadilan kepada semua pihak. Syariat Islam memperuntukkan hak asasi yang jelas bagi orang bukan Islam dan kebebasan ini dijamin pemerintah Islam. Adalah menjadi kesalahan bagi umat Islam sekiranya mereka melanggar ataupun mengugut untuk melanggar hak asasi orang bukan Islam. Masyarakat Islam secara kolektif bertanggungjawab menjalankan syariat Islam dan melaksanakan hukum yang termaktub di dalamnya termasuklah perkara berhubungan dengan hak orang bukan Islam. Sekiranya berlaku kecuaian atau penyelewengan oleh orang Islam dan melampaui batas yang dibenarkan, maka umat Islam sendiri perlu memperbetulkan keadaan dan mengembalikan hak berkenaan kepada yang berhak berlandaskan jalan yang benar dengan menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah dari melakukan kemungkaran. Syariat Islam sebenarnya sentiasa memihak kepada orang yang dizalimi atau dicerobohi biarpun orang yang dizalimi atau dicerobohi itu adalah orang bukan Islam. Pembelaan akan diberikan kepada mereka tanpa mengambil kira faktor keagamaan, hatta pemerintah Islam yang zalim terhadap rakyat bukan Islam pun boleh diambil tindakan kerana kezaliman yang dilakukan mereka. Hak orang bukan Islam ini sebenarnya wajib dipelihara orang Islam kerana ia adalah tuntutan yang wajib dipatuhi setiap umat Islam. Membenarkan hak ini adalah suatu kewajipan dan menafikannya adalah suatu tegahan. Berganding bahu pacu negara Lihatlah betapa banyaknya hak orang bukan Islam di dalam sebuah negara Islam. Apabila hak yang besar itu diberikan kepada mereka adalah jelas mereka juga bertanggungjawab kepada negara Islam dengan tidak memecah-belah dan meruntuhkan ideologi negara Islam. Umat Islam dan bukan Islam mesti berganding bahu memacu negara ke arah kegemilangan. Berbalik kepada isu gereja di Petaling Jaya, amat perlu dilihat kepada faktor terperinci dalam menyelesaikan kemelut sebegini antaranya kenapa perlunya gereja dibina di kawasan majoriti umat Islam, asas bantahan penduduk majoriti, latar belakang dan sejarah komuniti yang tinggal di sana serta usaha pemuafakatan yang dijalankan antara orang Islam dan jawatankuasa gereja berkenaan. Penulis mendoakan semua pihak dapat menyelesaikan perkara ini secara baik demi keharmonian sejagat. Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/50965
0 Komentar untuk " Peguam Muslim Menulis: Toleransi jaminan hak hidup bersama "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ