Kita berjaya kalahkan England! - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kita berjaya kalahkan England!

SEKIRANYA anda menyertai kumpulan IS ke Syria – kononnya untuk berjihad – kemungkinan untuk anda ‘mati syahid’ di sana terlalu rendah, mungkin tidak sampai satu peratus.

Sebaliknya kemungkinan untuk anda menemui ajal di negara sendiri adalah jauh lebih tinggi. Bukan di medan perang, tetapi di atas jalan raya. Telah terbukti laluan kenderaan kita kini menjadi pembunuh tegar.

Adalah menyedihkan, dan amat membimbangkan, bahawa purata yang mati dalam kemalangan kenderaan adalah 18 orang setiap hari. Itu bererti dalam setiap jam seorang maut di jalan raya kita.

Angka berdarah bagi tempoh 2014 ini dijelaskan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dan disahkan pula oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad.

Statistik menunjukkan tahun lalu sejumlah 6,674 maut di jalan raya, turun 3.5 peratus berbanding tahun sebelumnya 6,915. Walaupun turun sedikit, jumlah kematian di jalan raya kita masih tinggi.

Sebagai perbandingan, England dengan penduduk 60 juta, lebih kurang dua kali ganda penduduk kita, hanya sekitar 800 orang maut di jalan raya setiap tahun. Ertinya dalam hal kematian jalan raya kita berkali-kali ganda lebih tinggi berbanding negara maju.

Tidak seperti kutipan pingat emas di sukan Olimpik atau kedudukan pada senarai ‘rangking’ bola sepak dunia – terkini kita di tangga 154 – angka-angka mengenai kemalangan maut di jalan raya bukanlah sesuatu yang patut dimegahkan. Ini sesuatu yang memalukan.

Kita selalu diuar-uarkan bahawa jalan dan lebuh raya kita adalah antara yang terbaik di dunia. Dari Johor Bahru di selatan Semenanjung kita dihubungkan terus hingga ke sempadan Siam sebelah utara dengan lebuh raya lebar, rata, lagi cantik. Tetapi lebuh raya selalu menjadi gelanggang maut.

Kenderaan yang bertali arus di jalan dan lebuh raya kita semua berjenama hebat. Ada pacuan empat roda. Ada lori dua puluh roda. Banyak juga kenderaan mewah berharga RM juta-juta.

Jalan cantik, kereta berkualiti, tetapi kemalangan meningkat juga. Seperti yang dijelaskan JPJ bagi 2014 purata 1,330 kemalangan terjadi setiap hari di jalan raya kita.

Kita ada JPJ, ada polis, ada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), ada Jawatankuasa Keselamatan Jalan Raya (JKJR), dan ada sekian banyak agensi pemantau jalan raya.

Macam-macam kajian telah dibuat. Beraneka kempen telah dilaksanakan. Macam-macam teori dikeluarkan. Tetapi dari dulu hingga sekarang, semua masih tertanya-tanya kenapa bilangan kemalangan jalan raya terus meningkat, tidak pernah turun.

Saya tidak pernah membuat kajian, tetapi sebagai pengguna lebuh raya lebih 40 tahun, pemerhatian saya mengenai punca kemalangan jalan raya adalah seperti berikut:

Pertama, masih ramai pemandu kita langsung tidak berhemah ketika di jalan raya. Mereka membuang dalam longkang semua peraturan keselamatan. Memotong, menekan brek, masuk lorong kecemasan, bertelefon, semua ikut suka hati.

Lebih kurang ajar lagi, mereka membuang sampah-sarap – termasuk botol kosong, tin minuman, kotak rokok, kulit durian – dari kenderaan, sama seperti membuang tuala wanita atau spenda buruk dari tingkap rumah mereka. Kereta sahaja besar, tetapi otak kecil, atau mungkin tiada otak langsung.

Kedua, mudah sangat lesen memandu dikeluarkan. Ada andaian bahawa sesetengah sekolah memandu meluluskan lesen padahal pelajar tidak mahir undang-undang, tidak layak memandu. Apakah ada rasuah atau duit kopi?

Tahun lalu sahaja 600,000 pemandu baharu telah didaftarkan. Ada kemungkinan sesetengahnya ‘lesen kopi-O’, mungkin juga ‘lesen terbang’.

Seperti yang dilaporkan media, kerjasama JPJ dan sekolah memandu telah membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mematahkan sindiket mendalangi ‘lesen terbang’ baru-baru ini.

Ketiga, di tempat kita orang tidak ada lesen pun bebas memandu. Pemandu bas ekspres pernah dikesan tidak mempunyai lesen sah, dan telah melakukan berpuluh kesalahan trafik. Pemandu hantu inilah antara punca kemalangan maut.

Keempat, sesetengah ibu bapa langsung tidak prihatin terhadap keselamatan anak-anak. Walaupun tahu tidak mempunyai lesen, kanak-kanak di bawah umur pun dibiarkan membawa motosikal. Ibu bapa seperti ini patut diambil tindakan.

Baik pertama, kedua, ketiga dan keempat, semuanya menjurus kepada hanya satu faktor: tidak ada ketegasan dalam menguatkuasakan undang-undang keselamatan jalan raya. Tanpa ketegasan jalan raya kita akan terus menjadi laluan maut.

0 Komentar untuk " Kita berjaya kalahkan England! "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ