Nak zikir atau menari? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Nak zikir atau menari?

[DIKEMASKINI] UNTUK apa kita berzikir?‎ Pertama sekali yang perlu kita faham, zikir adalah ibadat.

Ia adalah perbuatan mengingati ALLAH SWT sama ada dilafazkan di lisan atau pun diingati dalam jantung hati atau dengan kedua-duanya sekali. Jadi, zikir adalah ibadat, bukan adat warisan atau seni kebudayaan sesuatu bangsa.

Apabila zikir itu ibadat, ia terikat dengan panduan dalil.

Tidak boleh diubah atau direka mengikut cita rasa manusia. Menokok tambah atau mengubah adat warisan dan seni kebudayaan pun kadangkala dibantah oleh mereka yang berjuang memelihara keasliannya. Padahal ia tidak terikat dengan mana dalil syariat. Apatah lagi jika yang ditokoh tambah itu melibatkan hal ibadat.

Tujuan zikir

Tujuan asal kita disuruh berzikir ialah supaya jiwa sentiasa mengingati ALLAH. Rasa kebersamaan dengan-Nya. Ingat dan sedar bahawa hamba sentiasa bergantung kepada-Nya. Ingatan seperti ini akan membuahkan ketenangan pada perasaan kita. Ketenangan jiwa inilah yang kita inginkan. Jalannya ialah dengan zikrullah.

Firman-Nya: "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". "Ketahuilah dengan 'zikrullah' itu, tenang tenteramlah hati manusia". (Surah Al-Ra’d: 28)

Mengingati ALLAH juga akan menjadikan seseorang sentiasa patuh kepada perintah-Nya dan tidak tergamak untuk melonggari larangan-Nya kerana dia sentiasa sedar ALLAH mengetahui dan memerhati setiap gerak geri dan lintasan hatinya.

Dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menggalakkan amalan zikir. Antaranya dalam Surah Al-Ahazab ayat 41. Begitu juga dengan saranan yang disampaikan Rasulullah SAW yang bermaksud: "Mahukah kalian aku beritahu perihal ucapan yang paling dicintai oleh ALLAH? Sesungguhnya ucapan yang paling dicintai ALLAH ialah "Subhanallahi wabihamdihi". (Riwayat Muslim)

Al-Quran zikir terbaik

Lafaz zikir yang terbaik ialah yang bersumberkan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW yang sahih. Mana-mana lafaz zikir yang dicipta oleh sesiapa sahaja sama ada profesor, syeikh, tuan guru, tuan imam malahan habib sekali pun, tidak boleh didakwa lebih baik.

Perlu diingat, untuk seorang hamba mengingati ALLAH, jalan yang terbaik ialah dengan membaca al-Quran. Ayat al-Quran adalah zikir yang terbaik, diturunkan kepada hamba-Nya yang terbaik. Firman ALLAH: "Dan mereka tidak membawa kepadamu sesuatu kata-kata yang ganjil (untuk menentangmu) melainkan Kami bawakan kepadamu kebenaran dan penjelasan yang sebaik-baiknya (untuk menangkis segala yang mereka katakan itu)". (Surah Al-Furqan: 33)

Maka, peliklah sekiranya ada yang lebih mengutamakan zikir ciptaan orang lain lalu mengabaikan zikir yang disebut dalam al-Quran dan hadis Baginda SAW yang sahih. Bertambah ajaib lagi sekiranya ada yang bersungguh-sungguh menghafaz dan melantunkan lagu qasidah tetapi tidak pula bersungguh-sungguh untuk membaca dan memahami isi kandungan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Begitu tersentuh mendengar atau mengalunkan qasidah, tetapi tidak pula berasa sebegitu apabila mendengar atau membaca al-Quran dan juga hadis Rasulullah SAW. Bukan salah mahu berqasidah dengan syarat liriknya betul, cuma perlu diletakkan keutamaan yang betul.

Adab zikir

Jika kita setuju mengatakan zikir ini suatu ibadat, maka ia perlu dilakukan dengan adab. Antara adab zikir ialah seperti yang dijelaskan sendiri dalam al-Quran:

"Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai". (Surah Al-A’raf: 205)

Zikir ialah urusan seorang hamba dengan Tuhannya. Ia perlu dilakukan dengan penuh penghayatan demi merasai maksud kehambaan, kehinaan, kebergantungan dan rasa rendah diri kepada ALLAH.

Maka zikir secara senyap lebih membantu seseorang itu untuk mencapai keikhlasan, menjauhkannya daripada perasaan riak dan lebih senang untuk fokus mengingati kebesaran ALLAH. Zikir juga perlu disertai dengan rasa takut. Takut di atas kekurangan dalam melakukan ibadat dan takut ia tidak diterima.

Imam Ibn Kathir ketika menghuraikan ayat ini menyatakan: "Oleh kerana itu, ALLAH berfirman: "Dan dengan tidak pula menyaringkan suara". Demikian itulah zikir yang disunnahkan, bukan dengan seruan dan suara kuat".

Kemudian Ibn Kathir menukilkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asya’ri yang berkata: "Orang ramai mengangkat suara mereka ketika berdoa dalam sebahagian perjalanan. Maka Rasulullah SAW bersabda: "Wahai sekalian manusia, rendahkanlah suara kalian dalam berdoa, kerana sesungguhnya kalian tidak meminta kepada yang tuli dan yang ghaib. Sesungguhnya Tuhan yang kalian pohon daripada-Nya adalah Maha Mendengar lagi sangat dekat. ALLAH lebih dekat kepada kalian melebihi dekatnya kalian kepada leher binatang
yang ditunggangnya". (Riwayat Al-Bukhari & Muslim). (Rujuk: Ibn Kathir, tafsir al-Quran al-‘Azim, Maktabah Darul Fiha’, 1998, 3/374)

 Zikir siapa yang terbaik?

Cara siapa lagi yang paling baik jika tidak cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan generasi sahabat yang dididik langsung oleh Baginda SAW? Rasulullah SAW berzikir, sahabat juga berzikir. Mari kita tanya, adakah cara zikir kita meneladani cara mereka? Melainkan jika kita berpendapat tidak perlu pun mencontohi cara Rasulullah SAW dalam berzikir.

Sekarang ini heboh pula diperbahaskan isu zikir sambil 'menari'. Pihak yang berautoriti menguruskan hal ehwal agama pula sekejap mengeluarkan kenyataan melarang. Kemudian ada yang kata diharuskan. Sekali lagi, orang ramai kebingungan.

Sekiranya kita bersetuju mengatakan cara zikir yang terbaik ialah seperti yang ditunjukkan Rasulullah SAW dan sahabat, mari kita tanya adakah Rasulullah SAW selalu mengadakan majlis zikir sambil 'menari' bersama dengan sahabat? Selepas kewafatan Baginda SAW, adakah ada kalangan sahabat yang sering mengadakan majlis zikir sambil 'menari' sesama mereka? Kemudian adakah amalan itu diteruskan oleh generasi tabiin dan tabi’ tabiin?
SELALU Ingat ALLAH

Kita disuruh mengingati ALLAH pada setiap keadaan dalam kehidupan. Jadi hidup seorang Muslim tidak boleh sunyi daripada zikir kepada ALLAH. ALLAH menggambarkannya sama ada dalam keadaan duduk, berdiri atau berbaring, ingatlah ALLAH.

Ada perbezaan jika kita katakan: "Dalam apa jua tindakan dan gerak geri kamu, ingatlah ALLAH" dengan "Jika kamu ingat ALLAH, maka lakukanlah dengan pelbagai tindakan dan gerak geri".
ALLAH berfirman: "(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati ALLAH semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan perihal kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka." (Surah Ali‘Imran: 191)

Imam Ibn Kathir menghuraikan ayat ini: "Maksudnya mereka tidak putus-putus berzikir dalam semua keadaan, sama ada dengan hati mahu pun dengan lisan mereka". (Rujuk: Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/581)

Ayat al-Quran diturunkan kepada Rasulullah SAW dan sahabat hidup di zaman penurunan wahyu. Adakah Rasulullah SAW dan sahabat apabila mendengar ayat ini mereka memahaminya boleh berzikir sambil menari seperti yang dilakukan oleh sebahagian golongan sufi dan tarikat pada hari ini? Tidak ada riwayat yang menjelaskannya.

Jadi, berhujah dengan ayat ini bagi mengharuskan zikir sambil menari adalah pendalilan yang janggal dari maksud sebenar. ulama tafsir terkemuka tidak memahaminya sebegitu.

 Zikrullah tegakkan amanah

Zikirlah kepada ALLAH dalam setiap sisi kehidupan kita. Berselawatlah kepada Rasulullah SAW seperti yang Baginda SAW sendiri ajarkan. Bernasyid dan berqasidahlah sebagai hiburan sampingan dan mungkin sebagai salah satu wadah dalam berdakwah. Cuma, janganlah keasyikan kita berqasidah sampai terlupa ada ramai insan yang susah dan resah akibat kenaikan kos sara hidup yang semakin parah.  Belum dikira lagi hutang negara yang bertambah dan pengurusan harta negara yang tidak amanah.


Penulis adalah bekas pensyarah Fakulti Sains Sosial, Kolej Islam  Antarabangsa. Berkelulusan sarjana dan ijazah sarjana dalam bidang Ilmu Wahyu, UIA

0 Komentar untuk " Nak zikir atau menari? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ