Hanya berdaftar boleh kenakan GST - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hanya berdaftar boleh kenakan GST

JANGAN terpedaya! Pengguna perlu lebih berhati-hati terhadap sebarang caj cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan khususnya terhadap servis.

Harus diingat, tidak semua syarikat menyediakan servis berdaftar dengan GST. Industri perkhidmatan tidak boleh mengenakan sebarang GST kecuali berdaftar. Itu sudah sedia termaktub di dalam undang-undang yang dikuatkuasakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam).

Namun, sejak sebulan lalu, ada juga kalangan peniaga yang tidak mendaftar GST mengenakan caj kepada pelanggan. Banyak aduan yang diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Kastam mengenai perkara ini.

Sebagai pengguna, teleitilah terlebih dahulu pusat servis yang dikunjungi supaya tidak menjadi mangsa peniaga yang mengambil kesempatan.

Setelah sebulan pelaksanaan GST di negara ini, pelbagai aduan diterima. Bagaimanapun, kementerian dan agensi terlibat masih meneruskan pelbagai program untuk memberikan kefahaman kepada rakyat dan pemain industri di negara ini.

Ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga bagi setiap perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat ada juga yang menanggung kos GST.

Ada alasan tertentu

Pastinya pelaksanaan GST memberikan impak negatif dan positif kepada pelbagai pihak. Pengguna salahkan peniaga naikkan harga, peniaga salahkan pembekal yang mengenakan caj kepada mereka. Itu senario yang berlaku.

Bagi yang mendaftar Kastam , pastinya enam peratus tersebut akan diperolehi semula. Bagaimana pula peniaga yang tidak berdaftar dengan pihak berkuasa tetapi mengenakan GST 'atas kertas' atau harga tinggi terhadap setiap perkhidmatan yang diberikan kepada pengguna seiring dengan berkuatkuasanya GST.

Tinjauan ke beberapa kedai yang menyediakan perniagaan servis seperti salon, kedai jahit, bengkel kereta mahupun tukang kasut di kawasan di ibu negara mendapati kebanyakannya ada alasan tertentu menaikkan harga.

Rata-rata mereka terpaksa menaikkan harga kerana terbeban menanggung harga barang yang dibeli dari pembekal. Ada pula pengusaha yang tidak tahu, apa syarat perlu daftar GST.

Sebagai pengguna, mereka tidak boleh mengelak daripada menjadi mangsa kepada pengusaha yang mengambil kesempatan. Tidak salah bertanya dahulu dan membandingkan harga sebelum menggunakan perkhidmatan mereka.

Naik harga ikut keadaan semasa

Bagi pengusaha servis salon rambut di Petaling Jaya, yang dikenali sebagai B Muniandy berkata, dia menaikkan harga perkhidmatan yang disediakan antara RM3 hingga RM15 sahaja.

Katanya, harga dinaikkan selepas peniaga lain menaikkan harga sebulan sebelum pelaksanaan GST pada April lalu.

“Saya bukan mengambil kesempatan tetapi itu adalah senarionya. Jika tidak naik sedikit, saya rugi sebab terpaksa tanggung kos membeli syampu, tuala, gunting dan pewarna rambut.

"Harga barang-barang tersebut naik antara RM1 hingga RM3. Selepas GST, saya dapati kunjungan pelanggan semakin berkurang hampir 10 peratus. Saya berharap masalah tersebut tidak berlarutan sehingga menjelang akhir tahun ini," katanya.

Katanya, GST memberikan impak kepada perniagaannya. Setakat ini, pelanggan setia yang tinggal di kawasan sekitar tetap datang walaupun dia menaikkan harga.

"Pada mulanya, mereka mempersoalkannya kerana menganggap saya mengambil kesempatan berikutan pelaksanaan GST,” katanya.

Bagaimanapun katanya, selepas memberi penerangan mengenai sebab kenaikan harga berikutan keadaan semasa, mereka diam.

“Saya memaklumkan terlebih dahulu beberapa produk yang digunakan berlaku kenaikan harga sedikit berbanding sebelum ini,” katanya.

Katanya, kebanyakan kedai gunting rambut adalah di bawah nilai RM500,000.

Kebanyakan pelanggannya juga mendapatkan perkhidmatan mewarnakan dan menggunting rambut serta membuat rawatan kuku tangan dan kaki.

Harga naik sekali ganda

Pereka pakaian Muslimah dan kanak- kanak, Khairun Bariah Abdullah berkata, setiap tempahannya mengalami sedikit kenaikan harga antara RM5 hingga RM20 mengikut barang yang digunakan.

“Saya tidak berdaftar GST tetapi turut menerima kesan daripada peruncit. Kebanyakan barang yang saya guna harganya naik sebanyak 30 peratus antaranya 'kain lining', benang dan zip.

“Dahulu, semeter lace untuk dibuat hiasan RM15 sahaja kini RM20 dan ke atas. Material yang sama tetapi harga naik selepas GST. Saya terpaksa naikkan harga pakaian yang ditempah,” katanya.

Khairun Bariah berkata, jika sebelum ini harga sepasang baju kurung adalah RM28, dia terpaksa naikkan menjadi RM35.

“Saya meletakkan harga jubah RM35 sehelai tetapi kini RM50. Jika pelanggan meminta hiasan, harganya akan bertambah mengikut material yang digunakan. Saya yakin, jika di Kuala Lumpur, harganya lebih mahal,” katanya.

0 Komentar untuk " Hanya berdaftar boleh kenakan GST "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ