Dari pelajar kepada bisnes - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Dari pelajar kepada bisnes

ESRINA Syahira Syahrin baru berusia 18 tahun ketika diminta ibunya untuk mengendalikan perniagaan. Meskipun mengambil jurusan perdagangan ketika di tingkatan lima, gadis muda ini seperti remaja lain yang lebih meminati kecantikan.

Memikirkan masih jauh perjalanan yang perlu ditempuh dalam kehidupan, Syahira atau mesra disapa Syira mengambil keputusan meneruskan legasi ibunya. Di samping melanjutkan pelajaran di bidang berkaitan pada masa hadapan secara sambilan.

“Pada awalnya saya membantah kerana ingin sambung belajar. Saya mahu bersama kawan-kawan yang lain ke universiti tapi Mummy pujuk dan selalu beri nasihat.

“Saya mula akui kata-kata mummy. Bila saya fikir-fikir semula kenapa tidak saya berniaga dari muda? Belajar bila-bila pun boleh tapi bukankah mencebur diri dalam bisnes juga satu pelajaran hidup?” kata Syira memulakan perbualan.

Gadis cantik ini merupakan pengusaha pusat kecantikan Jentayu Spa & Salon Secret yang berkonsepkan tradisional di Taman Bukit Teratai Ampang.

Eksklusif tetapi murah

Bertitik tolak daripada pengalaman ibunya, Syira nekad menjayakan perniagaan spa tersebut meski pun terlalu banyak yang perlu dipelajari.

Hari demi hari, ternyata Jentayu Spa meraih perhatian ramai lantaran kejayaan konsep eksklusif tetapi murah yang diperkenalkan Syira sejak Januari lalu.

“Ya saya ketengahkan dekorasi eksklusif tetapi servis harga murah. Dari segi dekorasi dan persekitaran, tema eksklusif dan moden kontemporari merupakan elemen utama spa ini. Kalau orang masuk memang tak akan sangka pakej rawatan seluruh badan ada yang serendah RM38.

“Malah saya khaskan pakej pelajar berharga RM30 untuk tiga rawatan iaitu sauna, body scrub dan full body massage. Memang murah,” katanya tersenyum.

Bersandarkan pengalaman diri ketika masih belajar dahulu, Syira berkata dia selalu berangan-angan mahu ke spa dan mendapatkan rawatan belaian diri. Namun kerana kekangan wang, hajat dan angan-angan itu tidak kesampaian.

“Sebab itu saya wujudkan pakej ini. Saya mahu kawan-kawan saya dapat ke spa macam saya. Semua yang pelanggan terima adalah setanding dengan spa mewah sedia ada. Saya berani jamin sebab saya sudah cuba di tempat lain dan saya implementasi di spa ini,” katanya.

Produk jenama sendiri

Walaupun menyedari risiko dalam perniagaan, gadis muda ini tidak gentar mencuba cabang baru. Seiring dengan pembukaan spanya, empat produk jenama Jentayu turut dikeluarkan. Antaranya, Hot Slimming Cream, Butter Chocolate Shower Gel, Detox Foot Patch dan Anti-Stress Oin Massage.

Jentayu Spa juga menjadi stokis produk keluaran Prof Emeritus Dr Norhisham Wahab.

Dua bulan membuka spa, Syira optimis mendapat pulangan pelaburan dalam tempoh kurang setahun.

“Saya membuat jangkaan sebegini berdasarkan sambutan yang diterima. Walaupun lokasi terletak sedikit jauh dari bandar Ampang tetapi promosi menerusi Instagram dan Facebook juga iklan di surat khabar membantu meningkatkan tempahan.

“Alhamdulillah setelah empat bulan beroperasi, saya berpuas hati dengan pencapaian bisnes saya. Dan berharap ia akan terus berkembang. Pada masa sama, saya menyertai pelbagai kursus dan bengkel berkaitan pengurusan dan kecantikan untuk masa depan perniagaan,” katanya yang memperuntukkan kurang RM100,000 untuk pembukaan spa.

0 Komentar untuk " Dari pelajar kepada bisnes "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ