Bergegaslah melakukan amalan soleh - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bergegaslah melakukan amalan soleh

SEBAGAI orang Islam, kita dituntut supaya sentiasa memperkukuhkan takwa kepada ALLAH SWT dengan melakukan amal soleh. Tiada keselamatan dan tiada manfaat kecuali dengan-Nya. Ia adalah bekalan di akhirat dan jalan menuju ke syurga.

Bahkan, kerana-Nyalah kita dicipta. Kita diberi ruang dan peluang yang begitu banyak. Kita diberi kesihatan dan kekayaan untuk melakukan amal soleh ini. Sayangnya, ramai yang melepaskan peluang ini sehingga ajalnya tiba.

Firman ALLAH: "Kesudahan golongan yang kufur ingkar apabila sampai ajal maut mereka berkata: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah aku hidup semula di dunia. Supaya aku mengerjakan amal soleh dalam perkara yang aku tinggalkan." Ternyata jawapan yang diberikan:  "Tidak!" (Surah Al-Mukminun: 99-100)

Masihkah ada peluang?

Sekali-kali tidak. Masakan mereka akan diberi peluang untuk dikembalikan ke dunia. Sesungguhnya ALLAH menggalakkan supaya kita melakukan amal soleh dalam al-Quran, hal ini disebut dalam banyak ayat dan dengan pelbagai cara.

Ada juga disebut dengan cara perintah seperti firman-Nya: "Wahai rasul, makanlah daripada benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh." (Surah Al-Mukminun: 51)

Ada pula perintah beramal soleh dinyatakan dengan cara disebutkan ganjaran pahala yang melimpah ruah buat mereka yang melakukannya.

Ada kalanya dengan ditekankan segala-galanya adalah satu kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Sebagaimana firman-Nya: "Demi Masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan dengan kebenaran serta berpesan dengan kesabaran." (Surah Al-Asr: 1-3)

Ada kalanya ALLAH sebutkan segala penciptaan langit dan bumi; kehidupan dan kematian; dan segala kecantikan di atas muka bumi adalah semata-mata sebagai ujian buat manusia untuk melihat siapa yang paling baik amalannya. Firman-Nya:

"Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan untuknya; kerana Kami hendak menguji manusia, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya." (Surah Al-Kahfi: 7)

Cuma di sini kita perlu lihat. Bilakah suatu amalan itu dikatakan baik?

Pengiraan amalan

Perlu diingatkan suatu amalan itu hanya dikira baik dan soleh jika ia menepati dua syarat asas iaitu:

Syarat pertama: Hendaklah amalan itu ikhlas semata-mata kerana ALLAH. Bebas daripada segala bentuk syirik; menyekutukan ALLAH dengan melakukan suatu amalan untuk sesuatu yang lain di samping ALLAH; sama ada syirik besar ataupun syirik
kecil seperti riak menunjuk-nunjuk.

Syarat kedua: Hendaklah amalan itu menepati sunnah Nabi SAW; bebas daripada apa jua unsur tokok tambah dan bidaah.

Kedua syarat itu disebut secara tidak langsung dinyatakan dalam firman-Nya: "Bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada ALLAH, yakni melakukan sesuatu ikhlas kerana-Nya. Sedang dia pula berusaha supaya amalannya baik, yakni dengan
mencontohi cara Nabi SAW. Hasilnya, Maka dia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan mereka tidak berasa bimbang mahupun sedih." (Surah Al-Baqarah: 112)

Kesimpulannya, suatu amalan yang tidak menepati kedua syarat ini atau salah satunya, ia akan menjadi beban atas orangnya tanpa sebarang faedah yang diperolehi.

Firman ALLAH: "Muka (sebahagian orang) pada hari itu tunduk hina. Mereka telah bekerja  berat lagi berpenat lelah. Mereka  menderita bakaran neraka yang amat panas." (Surah Al-Ghasyiah: 2-4)

Jaga ibadah

Betapa perlunya kita menjaga kedua syarat ibadah ini dalam kita melakukan apa jua amal soleh. Ia bagi menjamin amalan kita diterima ALLAH.

Mengenai saranan untuk kita melakukan amal soleh, ALLAH menegaskan bahawa tidaklah jin dan manusia dijadikan melainkan untuk beribadah kepadaNya. Yakni dengan melakukan amal soleh. (Surah Al-Zaariyat: 56)

Lalu dalam ayat berikutnya, ALLAH menjelaskan Dia tidak perlu kepada amal soleh ini, sebaliknya manusia itu sendiri yang perlu kepadanya.

Di samping itu, ALLAH menjelaskan segala amalan akan dicatat, dihitung dan ditulis. Firman-Nya: "Dua malaikat menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menulisnya)." (Surah Qaf: 17-18)

Kita dimaklumkan setiap seorang akan berdiri melihat hasil amalannya dan akan diberi kitab amalnya sama ada dengan tangan kanan atau tangan kirinya. Akhirnya, kesudahan seseorang adalah di antara dua; sama ada bahagia atau sengsara. Ia bergantung kepada jenis amal yang telah dilakukan; baik atau buruk.

Sungguh amalan kita akan ditimbang pada hari kiamat dengan timbangan yang adil lagi benar. Kita perlu sedar bahawa seseorang itu tidak akan mendapat manfaat kecuali daripada amalnya sendiri.

Ingatlah, ALLAH sentiasa memerhatikan kita dan Dia melihat apa yang kita lakukan. Firman-Nya: "Dan ALLAH Maha mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan." (Surah Al-Baqarah: 153)

ALLAH juga mengingatkan: "ALLAH tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan." (Surah Al-Baqarah: 74)

Bahkan ALLAH mengetahui apa yang kita bicarakan dalam hati dan niat kita. Ini menuntut supaya kita memperelok niat hati kita dan cara kita melakukan sesuatu amalan. Hendaklah kita sentiasa memerhatikan ALLAH dan beringat bahawa ALLAH melihat kita.

Dalam masa yang sama, perlu kita ingat bahawa peluang yang datang untuk kita beramal adalah terbatas. Manusia sentiasa terdedah kepada pelbagai bentuk dugaan dan halangan yang akan membataskan amalannya. Oleh itu, sewajarnya kita gunakan ruang dan peluang yang datang sebelum ia berlalu pergi.

Nabi SAW bersabda: "Bergegaslah melakukan amalan soleh sebelum tiba zaman fitnah yang umpama malam yang gelap gelita. Seorang itu di waktu pagi dia beriman dan di waktu petangnya dia jadi kafir. Atau di waktu petangnya dia beriman dan di waktu pagi (esoknya) dia jadi kafir. Dia menjual agamanya untuk habuan dunia." (Riwayat Muslim)

Semoga kita digolongkan dalam kalangan mereka yang beramal soleh sejajar dengan yang diajar Nabi SAW dan tergolong dalam mereka yang mendapat syurga firdaus di akhirat kelak.

Info

BAGI golongan wanita, Nabi Muhammad SAW berpesan. Ada tiga sebab mengapa mereka digesa solat sebaik azan berkumandang.

Antaranya kerana:-

Ajal boleh datang tanpa disangkasangka.

Datangnya haid tanpa dijangka waktunya.

Kedatangan tetamu untuk menziarahi.

Teramat rugi kepada mereka yang sengaja melengahkan solat sebagaimana pesanan Nabi SAW sabdanya: "Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat, sesungguhnya dia sudah menegakkan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat, dia telah meruntuhkan agama." Jelaslah di sini, solat adalah suruhan yang wajib dilakukan setiap umat Islam walau dalam apa keadaan sekalipun.

Sumber: Dipetik daripada buku bertajuk 100 Pesanan Terakhir Rasulullah. Ditulis oleh Muhd Nasruddin Dasuki terbitan Karya Bestari, Grup Buku Karangkraf.

USTAZ IDRIS SULAIMAN
(Ahli Majlis Syura Pertubuhan Ilmuwan Malaysia)

0 Komentar untuk " Bergegaslah melakukan amalan soleh "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ