Tugas guru semakin membebankan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tugas guru semakin membebankan

*SETAKAT Khamis lalu Ustaz Ahmad Awang mengesahkan akan mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi merebut jawatan Presiden Pas pada pemilihan parti itu, bulan depan.

Maka bekas naib presiden parti itu telah memecah tradisi dan mencatat sejarah baru, memandangkan sejak sekian lama jawatan No.1 parti itu memang tidak dicabar, termasuk sepanjang era kepimpinan Hadi selama 13 tahun.

“Saya menerima pencalonan No.1 sebab tidak mahu mengecewakan kawan-kawan yang membuat pencalonan,” kata beliau setelah menyerahkan borang pencalonan, sambil menambah: “Saya hendak buktikan Pas mengamalkan demokrasi!”

Dalam Perlembagaan Pas, untuk bertanding jawatan presiden, seseorang hanya memerlukan minimum dua pencalonan, dan setakat ini Ahmad sudah mendapat lima berbanding Hadi 90 sementara Datuk Husam Musa lapan.

Dalam reaksi segera Hadi berkata dia mengamalkan sikap terbuka, dan tidak akan menghalang sesiapa sahaja yang layak untuk mencabarnya. Di atas kertas, dengan pencalonan yang begitu banyak diterima Hadi, semua orang akan kata peluang Ahmad tipis.

Tetapi apa yang di atas kertas tidak semestinya gambaran sebenar di dewan memilih. Menang atau kalah tetap akan menjadikan muktamar Pas kali ini menjadi tumpuan, insya-ALLAH.

*DENGAN tema "Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak" Hari Guru disambut di seluruh negara hari ini. Tema ini memang mencabar, lebih-lebih lagi dalam era di mana semua orang tahu murid-murid kita semakin rendah pekerti dan disiplin.

Ada murid yang langsung tidak menghormati guru, sehingga berani mencabar cikgu. Sering kali kita dengar kereta cikgu dicalar dengan paku, tayar dipancitkan. Malah ada murid berani membakar bilik guru.

Perangai sesetengah ibu bapa pun tidak mencerminkan penghormatan terhadap golongan pendidik. Sekiranya anak disuruh mengutip sampah di kawasan sekolah, atau membersihkan bilik air, ibu bapa akan kompelin.

Kalau anak dijentik atau dicubit sebab tidak membuat kerja sekolah, ada ibu bapa yang menyerang sekolah, memaki-hamun, membuat laporan polis, malah mengadu kepada menteri.

Jika anak mendapat 15 A, tidak ada pujian untuk cikgu.

Tetapi jika anak gagal peperiksaan, cikgu juga yang dihentam. Ibu bapa kita terlalu memanjakan anak, terlalu memberi muka. Sebab itu anak menjadi kurang ajar dan tidak berdisiplin ketika di sekolah.

Secara peribadi, dulu, kini dan selamanya saya menghormati dan memandang tinggi semua guru saya. Merekalah yang mengajar saya A, B, C, 1, 2, 3, ‘alif’, ‘ba’, ‘ta’. Tanpa mereka siapalah saya. Jasa cikgu tidak akan saya lupa hingga mati. Selamat Hari Guru!

*BANYAK contoh membuktikan akhlak masyarakat kita semakin teruk. Paling klasik ialah apabila ada orang sanggup melakukan seks di tempat terbuka pada siang hari, seperti yang dibuat oleh pasangan di sebuah apartmen mewah di Bangsar.

Tanpa segan – malah mungkin megah! – pasangan berkenaan membuat promosi seks di balkoni rumah pada siang buta, dalam keadaan telanjang bulat, dengan berbagai gaya. Semua orang boleh lihat. Demikianlah tidak malunya pasangan rosak akhlak itu.

Lebih memalukan lagi, ada pula orang telah merakamkan adegan lucah di balkoni rumah itu, kemudian tanpa rasa bersalah telah menyebarkan video seks berkenaan di internet.

Polis sedang menyiasat siapakah pelaku seks tidak tahu malu itu, dan siapakah yang gatal tangan merakam dan mengedarkan adegan lucah itu. Segera tangkap mereka, dan hukum apa yang patut. Kalau tidak gejala teruk akhlak ini akan menjadi perkara biasa.

*AKHIR kalam, masih mengenai akhlak. Seorang penumpang warga Jerman dalam keadaan mabuk telah membuat onar dan mengganggu staf penerbangan pesawat MAS ketika di udara.

Gangguan tidak berakhlak itu telah memaksa pesawat berkenaan berpatah balik ke KLIA, dan penumpang berusia 54 tahun itu diserahkan kepada pihak berkuasa. Rabu lalu si penumpang, Dietmar Ross, dihadapkan ke mahkamah sesyen, dan Hakim Aizatul Akmal Maharani menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan ke atas penumpang tersebut.

Semoga apa yang berlaku ke atas penumpang berkenaan menjadi teladan kepada mana-mana penumpang pesawat MAS, tidak kira warganegara mana. Mereka kena ikut tertib kita, jangan kurang ajar ikut suka.

- TOK PERAK

0 Komentar untuk " Tugas guru semakin membebankan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ