ANAK anugerah Yang Esa. Ia adalah amanah ALLAH SWT kepada kita yang perlu dijaga dan dibentuk dengan sebaiknya. Anak perlu dididik atas alasan amanah kepada pencipta bukannya atas alasan anugerah. Anak bukan hak kita tetapi hak Yang Maha Kuasa.
Anak lahir ibarat kain putih bersih yang sempurna tanpa sebarang cacat dan cela. Ibu bapa perlu mencorakkan dan mewarnakannya dengan corak dan warna sepatutnya. Cantik corak dan warna di kain tersebut maka besarlah anak itu dengan akhlak yang baik.
Sebaliknya jika buruk corak dan warna di kain putih itu maka lahirlah anak-anak yang bakal menghadapi pelbagai masalah menyebabkan mereka lupa akan penciptanya.
Fitrah ialah suci iaitu lawan kepada kufur dan ingkar kepada ALLAH. Selepas dilahirkan barulah kedua ibu bapa mewarnakan anak itu dan menjadikannya apa yang sepatutnya.
Sejak kebelakangan ini, banyak cerita remaja yang kurang enak didengari terpampang di dada akhbar dan media massa. Pelbagai aktiviti yang tidak sihat dilakukan mereka dan pelbagai akhlak yang tidak baik dipertontonkan mereka. Mereka dihukum masyarakat dengan pelbagai tohmahan tetapi jika difikirkan kembali adakah mereka yang perlu dipersalahkan? Sedangkan yang mewarnakan mereka ialah kedua ibu bapanya.
Seorang anak remaja bercerita, semasa kecil dia menunggang motosikal bersama bapanya. Ketika itu bapanya menghisap rokok dan dia berada di belakang bapanya. Asap rokok tersebut terkena pada mukanya dan sejak peristiwa itu, terdetik di hatinya ingin merokok.
Ketika berusia 12 tahun remaja itu mula berjinak-jinak dengan rokok.
Berdasarkan cerita ini, bukankah si bapa yang sepatutnya menjadi contoh kepada anak ini untuk tidak merokok? Itu baru rokok, bagaimana pula jika si bapa itu penagih dadah? Ada kemungkinan si anak boleh terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Hal ini memang terjadi dalam masyarakat kita. Si bapa menghisap dadah di rumah menyebabkan anak itu ingin mencuba. Lalu diambilnya dadah tersebut tanpa pengetahuan bapanya dan dicubanya. Salah siapa? Si anak yang masih mentah atau si bapa yang bermasalah? Hal ini dikatakan
bapa 'membunuh' atau pun 'derhaka kepada anak'.
Diheretnya sekali si anak ke dalam kancah masalahnya. Di'bunuhnya' si anak dengan menonjolkan akhlak tidak sepatutnya.
Apa yang kita lihat dewasa ini dengan masalah kegawatan ekonomi, ibu bapa terutamanya daripada golongan pertengahan dan ke bawah begitu sibuk bekerja untuk menampung kehidupan keluarga. Keduanya bekerja. Keluar awal pagi dan pulang lewat malam. Anak di rumah membawa haluan masing-masing kerana tiada pemantauan. Mereka bosan berada di rumah lalu keluar berpelesiran bersama rakannya.
Daripada situ bermulalah segala kegiatan yang tidak sihat seperti merokok, merempit, melepak, mencuri, meragut, menonton video lucah, seks bebas dan pelbagai perbuatan yang tidak bermoral. Mereka tidak betah duduk di rumah walaupun waktu malam yang sepatutnya dimanfaatkan untuk menelaah pelajaran, sebaliknya digunakan untuk berpelesiran dengan teman.
Ada juga kalangan ibu bapa tidak ambil peduli sikap anak remaja ini. Tidak dipeduli anak itu ke mana, dengan siapa dia keluar dan pukul berapa dia pulang. Anak diberi kebebasan sepenuhnya. Sesibuk mana pun mencari rezeki, anak perlu diutamakan. Walaupun anak-anak ini boleh mengurus diri sendiri namun mereka tetap perlu dipantau, ditanya khabar, dididik, ditunjuk ajar dan yang paling penting sekali ialah disayangi.
Memang tidak dapat disangkalkan lagi, pendidikan agama dapat membendung remaja daripada terjerumus ke aktiviti yang tidak sihat. Memang betul di sekolah terdapat subjek pendidikan agama Islam dan pendidikan moral tetapi tidak adil jika pendidikan agama anak-anak kita dilepaskan kepada ustaz, ustazah dan guru di sekolah.
Bukankah kita sebagai ibu bapa perlu mencorakkan anak dan juga memegang amanah daripada Yang Esa dalam mendidik anak-anak? Perkara ini menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan anak mendapat pendidikan agama sepatutnya. Akibat kealpaan sesetengah ibu bapa, ramai remaja kita tidak tahu ibadat solat dengan betul.
Pernah ada beberapa remaja mengadu mereka tidak tahu membaca bacaan dalam solat. Hal ini kerana ibu bapa mereka langsung tidak menghiraukan perihal ibadat solat anak. Jika amalan solat tidak diamalkan, jiwa seseorang itu kosong dan menggamit si anak ke kancah tidak bermoral.
Dalam mendidik anak, Rasulullah SAW ialah insan sepatutnya menjadi ikutan ibu bapa. Mendidik anak memerlukan ilmu pengetahuan yang cukup dan suri teladan untuk diteladani.
Terdapat empat peringkat mendidik anak mengikut sunnah Rasulullah SAW:
Peringkat pertama iaitu ketika anak-anak berusia 0-6 tahun. Pada masa ini, Rasulullah SAW menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih sayang tidak berbatas.
Peringkat kedua iaitu ketika anak berusia 7-14 tahun. Kita mula menanamkan nilai disiplin dan tanggungjawab kepada anak.
Peringkat ketiga, ketika anak berusia 15-21 tahun. Inilah fasa remaja yang penuh sikap memberontak. Pada tahap ini, ibu bapa seeloknya mendekati anak dengan menjadi kawan. Banyakkan berborak dengan mereka mengenai perkara yang mereka hadapi. Sekiranya tidak
bersetuju dengan sebarang tindakan mereka, elakkan mengherdik atau memarahi mereka terutama di hadapan adik-beradik yang lain.
Peringkat keempat iaitu ketika anak berusia 21 tahun dan ke atas. Inilah masa ibu bapa untuk memberikan sepenuh kepercayaan kepada anak dengan membuat keputusan mereka sendiri.
Remaja memerlukan ibu bapa dalam setiap aspek kehidupan. Ketika masih kecil, ibulah yang akan menjadi tempat anak bermanja-manjaan dan mengadu cerita tetapi di kala anak memasuki alam remaja, bapa yang sepatutnya menjadi insan yang rapat kepada anak-anak ini terutamanya anak lelaki yang memerlukan bapa sebagai teladan.
Baik bapa, baiklah anak, bak kata pepatah 'bapa borek, anak rintik.' Oleh itu wahai bapa, tepuk dada, tanya iman, anak macam mana yang mereka inginkan. Jika inginkan anak berakhlak mulia, maka bapa perlulah berakhlak mulia.
NORUL AINI SULAIMAN, (Penulis adalah penuntut sarjana kaunseling dari Open University Malaysia

0 Komentar untuk " Anak bukan hak ibu bapa "